Sunday, July 10, 2011

Kesesakan Jalan Raya

Pembangunan yang begitu pesat di sesuatu kawasan akan menjana aktiviti ekonomi kawasan tersebut. Hal ini akan menarik lebih ramai penduduk terutamanya penduduk luar bertumpu ke kawasan tersebut. Keadaan ini menyebabkan timbulnya beberapa masalah seperti setinggan,  kesesakan lalu lintas dan sebagainya. Keadaan ini juga tidak kurangnya berlaku di Malaysia.

Sumber :http://mazlan66.wordpress.com 
Banyak faktor yang menyumbang kepada kesesakan ini. Salah Baru puncanya ialah tidak keseimbangan kadar pertambahan antara jumlah kenderaan dengan pertambahan keluasan jalan raya. Setiap hari jumlah kenderaan bertambah, sedangkan penambahan keluasan jalan raya boleh dikatakan amat perlahan. Ketidakseimbangan ini menjadikan kepadatan kenderaan di jalan raya semakin tinggi. Oleh itu, berlaku kesesakan jalan raya.

Faktor lain yang tidak kurang pentingnya ialah pertambahan pesat penduduk yang  mendiami bandar besar itu sendiri. Pertambahan pesat penduduk bandar ini berpunca daripada penghijrahan penduduk dari kawasan luar bandar. Pada tahun 1970, hanya 13.8 peratus daripada penduduk Malaysia tinggal di bandar. Pada tahun 1980 pula, kira-kira 26.3 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia tinggal di bandar-bandar besar. Bagi  bandar raya Kuala Lumpur, penduduknya telah meningkat daripada 500 000 orang pada tahun 1970 kepada 1 000 000 orang pada tahun 1980. Bandar besar yang lain juga telah mengalami pertambahan penduduk yang pesat. Pertambahan pesat penduduk memerlukan lebih banyak kawasan untuk dijadikan tempat tinggal. Jadi, banyak kawasan yang sepatutnya dikhaskan sebagai persediaan untuk membesarkan jalan raya terpaksa digunakan untuk petempatan penduduk.


Kemalangan jalan raya juga merupakan punca terjadinya kesesakan jalan raya. Apabila kemalangan terjadi, ia akan menghalang lalu lintas dan menyebabkan kesesakan. Memandangkan Malaysia ialah salah sebuah negara yang mempunyai kadar kemalangan  jalan raya yang tinggi di dunia, ia secara langsung mempengaruhi fenomena kesesakan jalan raya.

Kesesakan jalan raya menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk. Salah satunya ialah masalah masa. Akibat kesesakan lalu lintas, banyak masa yang terbuang. Golongan yang bekerja terpaksa keluar dari rumah awal-awal lagi dan pulang ke rumah lewat petang. Banyak masa yang sepatutnya dihabiskan di rumah bersama anak-anak terbuang bigitu sahaja. Selain pembaziran masa, ia menyebabkan tenaga kerja negara tidak produktif. Ini sekali gus merugikan negara dari segi ekonomi.

Kerja-kerja yang sepatutnya boleh dilakukan dalam masa yang singkat boleh tergendala akibat kesesakan jalan raya. Banyak urusan ekonomi dan perniagaan seperti penghantaran barang dari satu tempat ke tempat yang lain sering tergendala dan mengambil masa yang lama untuk sampai ke destinasinya walaupun melibatkan jarak yang dekat.

Satu lagi akibat daripada kesesakan jalan raya ialah berlakunya penyakit fizikal. Kesesakan jalan raya yang serius boleh menyebabkan pencemaran paru-paru, sesak nafas dan pening kepala. Bunyi bising enjin kenderaan boleh menyebabkan kerosakan pendengaran dan masalah gangguan konsentrasi. Selain itu, kesesakan jalan raya juga boleh menimbulkan ketegangan psikologi. Ini terjadi kerana para pengguna jalan raya terpaksa menghabiskan masa berjam-jam di jalan raya. Kajian yang dijalankan oleh pakar psikologi menunjukkan bahawa masyarakat bandar sering terdedah kepada masalah ketegangan akibat daripada kesesakan jalan raya, pencemaran alam sekitar dan bunyi bising.

Umumnya, semua pihak terbabit perlu bertindak segera menangani masalah ini sebelum ia menimbulkan kesan sosioekonomi yang lebih serius.

Skim Cepat Kaya

Skim cepat kaya merupakan satu skim di mana sejumlah wang akan didepositkan atau dilaburkan kepada penganjur skim cepat kaya dangan janji dan syarat bahawa wang deposit tersebut akan dipulangkan kembali dengan faedah atau keuntungan yang dijanjikan bagi wang yang didepositkan selalunya lebih tinggi daripada apa yang ditawarkan oleh institusi-institusi kewangan berlesen. Terdapat pelbagai jenis skim cepat kaya, antaranya adalah Skim Piramid dan Skim Pozi Di Malaysia Skim Cepat Kaya yang paling terkenal adalah skim Pak Man Telo (Sekitar 1980-an) . (Sumber : http://ms.wikipedia.org).

Adakah masyarakat kita begitu terdesak atau terhimpit dengan tekanan hidup yang makin mencengkam maka sebagai jalan mudah, segala ruang pelaburan tanpa mengkaji halal dan haramnya turut disertai secara sembrono?   

Mungkinkah atas pengaruh pengiklanan laman-laman web yang semakin gah bermaharaja lela menyebabkan rata-rata rakyat Malaysia menceburi bidang pelaburan atau skim cepat kaya secara online? Mungkinkah juga, akibat dipengaruhi dengan gaya hidup mewah para pengusaha awal pelabur-pelabur internet, maka menyebabkan ramai yang berlumba-lumba untuk mencuba nasib?

Bercakap tentang Skim cepat kaya internet ini, jika dilihat pula daripada analisa yang dihasilkan oleh alexa.com menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara yang teratas dalam senarai penglibatan rakyatnya dalam pelaburan internet jika dibandingkan negara-negara lain di dunia.  

Apakah Punca Sebenar Penglibatan Masyarakat Dalam  Skim Cepat Kaya Ini :
Sebab utama masyarakat kita menyertai skim ini adalah kerana mereka ingin cepat menjadi kaya. Pelbagai bentuk pulangan seperti 50 peratus, 80 peratus dan 100 peratus daripada modal dijanjikan oleh pengusaha skim ini. Oleh itu, mereka berasa bodoh seandainya melepaskan peluang ini. Melalui skim ini, mereka akan menjadi kaya-raya. Yang perlu difikirkan ialah bonus setiap dua minggu sekali ataupun sebulan sekali itu perlu dilaburkan lagi. Pelaburan yang berganda akan memberikan keuntungan yang semakin bertambah. Dengan kekayaan, mereka boleh melakukan apa-apa sahaja kerana apabila `ada duit, semua kerja menjadi, apabila ada beras, semua kerja menjadi deras’.  (Sumber :http://mazlan66.wordpress.com)
 
Selain itu, ada juga kalangan masyarakat kita yang menyertai skim ini kerana ingin mencuba dan menguji kehandalan mereka dalam menepis bahana Skim Cepat Kaya. Oleh itu, mereka telah `menyediakan payung sebelum hujan’. Dengan kata lain, mere mi akan melabur dalam satu-satu skim untuk seketika sahaja. Apabila untung diperoleh, mereka akan lari dan menyertai Skim Cepat Kaya yang lain pula. Tindakan mereka yang berterusan ini menjadikan mereka sentiasa `menang’. Pelabur jenis ini tidak akan mudah `gelap mata’ dengan keuntungan yang diberi dan sanggup berhenti daripada menyertai Skim Cepat Kaya seandainya mereka rasakan perlu. (Sumber :http://mazlan66.wordpress.com) 

Apakah Kesan Skim Cepat Kaya?
Banyak kesan buruk yang menimpa para pelabur yang terlibat dalam Skim Cepat Kaya. Kesan yang paling ketara ialah apabila pelabur itu ditimpa kerugian apabila pusat Skim Cepat Kaya yang dilaburi diserbu polis. Akhirnya, mereka hanya mendapat rasa malu yang menebal sebagai pulangan pelaburan. Sesetengahnya pula terpaksa lari atau bersembunyi apabila kerap dikunjungi pemiutang. Lebih parah lagi apabila ada antara pelabur menjadi sasau dengan asyik menghitung daun kayu yang disangkakan wang. Begitulah tekanan yang dihadapi oleh mereka yang kecundang dalam Skim Cepat Kaya            
(Sumber :http://mazlan66.wordpress.com).

Selain itu, Skim Cepat Kaya juga boleh mengeruhkan hubungan antara keluarga, jiran tetangga dan masyarakat sekeliling. Akibat gagal dalam Skim Cepat Kaya, pernah berlaku suami isteri yang bergaduh dan bercerai. Tidak kurang juga mentua dan ipar-duai yang saling bermasam muka sesama sendiri. Semua ini berlaku kerana masing-masing berasa tertipu apabila duit yang dilaburkan telah hangus begitu sahaja. Pertelagahan juga boleh terjadi sesama kawan dan jiran kerana masing-masing menganggap diri mereka telah diperdaya untuk melabur. Fenomena-fenomena ini sudah pasti boleh membawa kekeruhan hubungan dalam masyarakat.
(Sumber :http://mazlan66.wordpress.com)
 
Akhir sekali, kesan buruk juga turut dialami oleh pengusaha Skim Cepat Kaya. Pengusaha yang sudah arif dengan risiko kegiatan mereka pasti kerap diserang rasa risau dan khuatir. Apabila kegiatan berkenaan terbongkar, sudah pasti mereka berasa takut dan akan bersembunyi daripada pihak polis. Persembunyian yang tiada kesudahannya ini tentulah menyukarkan hidup mereka. Lambat-laun mereka pasti tertangkap dan didakwa di bawah Akta Bank atau Institusi-institusi Kewangan (BAFI 1989). Mereka boleh didenda sehingga RM250 000 atau 3 tahun penjara atau kedi duanya sekali. Hukuman ini pasti menimbulkan rasa gerun mereka untuk terus bergiat dalam Skim Cepat Kaya.
(Sumber :http://mazlan66.wordpress.com)
 
Umumnya, Skim Cepat Kaya tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada  masyarakat. Usaha-usaha pembanterasan perlu dipergiat agar masyarakat kita sedar akan padah di sebalik skim ini. Kempen-kempen menghindari Skim Cepat Kaya oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHP) memang dialu-alukan dan kena pada masanya.
 




Thursday, July 7, 2011

PELANCONGAN KESIHATAN : Artikel daripada Utusan Online

Malaysia tempat ke-3 Pelancongan Kesihatan

SUBANG 22 Jun - Malaysia berada di kedudukan ketiga selepas India dan China dalam industri pelancongan kesihatan bagi tahun ini menurut kaji selidik A.T. Kearney Global Services Location Index (GSLI).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kedudukan tersebut berdasarkan pengurusan kewangan, kemahiran pekerja dan persekitaran perniagaan yang baik di kebanyakan hospital.

"Kita menyasarkan lebih daripada 1,000 ujian dijalankan di bawah Kajian Klinikal Malaysia (CRM) bagi menarik lebih ramai pelabur dalam industri berkenaan menjelang 2020.

"Walaupun kita masih baru dalam bidang ini, namun tahun lalu lebih 1,000 kakitangan hospital termasuk doktor dan jururawat mempunyai kelayakan Kemahiran Klinikal Cemerlang (GCP)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan CRM 2011 sempena Persidangan Kebangsaan Kajian Klinikal kali kelima di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman dan Pengarah CRM 2011, Dr. Goh Pik Pin.

Jelas Tiong Lai, sebanyak sembilan hospital awam akan dijadikan Pusat Kajian Terbaik (CoRE) bagi melatih kakitangan hospital dalam pelbagai bidang untuk menggiatkan lagi industri tersebut.

Beliau berkata, hospital terlibat ialah Hospital Sarawak, Hospital Queen Elizabeth di Sabah, Hospital Tengku Bainun di Perak, Hospital Pulau Pinang, Hospital Serdang, Selayang dan Ampang di Selangor manakala di Wilayah Persekutuan adalah Hospital Putrajaya dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dalam pada itu, beliau turut bimbang mengenai kegiatan tidak bertanggungjawab beberapa klinik swasta yang memberi pengesahan kesihatan kepada segelintir pemandu kenderaan awam dan perdagangan tanpa perlu menjalani pemeriksaan doktor.

"Sekiranya pemandu kenderaan awam tidak menjalani pemeriksaan kesihatan, mereka tidak boleh mendapat sebarang sijil pengesahan kesihatan dari klinik kerana bimbang akan membahayakan keselamatan orang ramai," katanya.

Ini kerana katanya, kemungkinan pemandu kenderaan awam di negara ini mempunyai penyakit kronik seperti mempunyai masalah penglihatan, menghidap sawan atau menagih dadah.

Tiong Lai berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu sebelum membuat sebarang keputusan dan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.

PELANCONGAN KESIHATAN : Dipetik daripada laman web cuti-cuti malaysia

Kepakaran perubatan di Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia dan kebanyakan hospital persendirian di negara ini mempunyai taraf dan kualiti yang diiktiraf antarabangsa. Ini termasuk standard MS ISO9002 dan pengiktirafan Kualiti Kesihatan dari Persatuan Perubatan Malaysia (MSQH). Kesemua pusat perubatan di sini perlu mendapat kelulusan dan lesen dari Kementerian Kesihatan.
 
Dengan berkembangnya reputasi Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk penjagaan kesihatan dan rawatan perubatan, semakin ramai pelawat tiba dari serata dunia mencari penawar untuk pelbagai masalah kesihatan. Antaranya termasuk perkhidmatan perubatan kritikal serta rawatan kosmetik dan pemulihan.
 
Caj perubatan dan kos penginapan hospital di sini amat kompetitif berbanding negara maju yang lain dan tahap kepakaran yang ada merupakan antara yang tertinggi di dunia. Sebagai contoh, kos pembedahan pemintasan jantung (CABG) lazimnya adalah di antara USD6,000 hingga USD7,000.
 
Terdapat pelbagai pilihan pusat perubatan persendirian yang lengkap dengan peralatan canggih dan pegawai perubatan yang berpengetahuan tinggi. Kesemua pusat perubatan ini dilengkapi kemudahan mengenalpasti dan merawat penyakit, antara lain termasuk bilik endoskopik, pusat haemodialisis, pengkateteran jantung dan MRI. Pakar perubatan di sini terdiri dari para profesional yang mempunyai kelayakan bertaraf antarabangsa dan dibantu oleh kakitangan separa-perubatan yang terlatih.
 
Kebanyakan hospital di Malaysia menawarkan pelbagai jenis pilihan penginapan dari yang selesa hingga yang mewah, termasuk bilik persendirian dan bilik serangkai. Hidangan makanan disertakan dan kos penginapan hospital adalah berdasarkan tahap perkhidmatan yang diperlukan kerana ada pusat perubatan yang menawarkan khidmat pelayan persendirian dan jururawat sepenuh masa. Kemudahan bermalam juga disediakan untuk pasangan atau teman pesakit. Tambahan lagi, dengan kos perkhidmatan yang rendah serta taraf kehidupan yang tinggi di sini, lawatan jangkamasa panjang menjadi pilihan menarik bagi pelawat asing.
 
Namun demikian, perkara yang paling menarik bagi pelawat yang menerima rawatan perubatan di Malaysia ialah tempoh rehat dan penyembuhan yang dihabiskan di sini. Pesakit berpeluang bersiar-siar dan menikmati aktiviti pelancongan sambil mereka menunggu tempuh untuk sembuh. Lawatan ke tepi pantai boleh diatur, lebih-lebih lagi kerana terdapat beberapa pusat perubatan di sini yang terletak berhampiran pantai atau kawasan pelancongan yang terkenal. Kemungkinan sesetengah pesakit lebih cepat sembuh jika mereka bersiar-siar atau mengambil masa untuk pergi membeli-belah!

PELANCONGAN KESIHATAN : Diskusi pelajar & Info dari beberapa Laman web

Pelancongan kesihatan dimaksudkan apabila seorang individu atau pesakit yang melancong ke negara lain untuk mendapatkan rawatan atau perkhidmatan kesihatan.  Perkhidmatan tersebut biasanya mrangkumi prosedur-prosedur elektif dan juga prosedur-prosedur kompleks dan pakar seperti pembedahan kardiak, pembedahan pergigian, dan pembedahan kosmetik. Perkhidmatan–perkhidmatan lain seperti rawatan psikiatri, perubatan alternatif, dan juga perkhidmatan pengebumian boleh didapati di luar negara.
 
 Menurut Association of Private Hospitals Malaysia, pada tahun 2006, pendapatan negara daripada industri pelancongan kesihatan adalah sebanyak RM 203.66 juta  (USD 59 million). Kadar pelancong ke Malaysia untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan telah meningkat sebanyak 25.3% dari tahun 1998 ke tahun 2008 (International Medical Travel Journal). 
 
Pelancongan kesihatan di Malaysia terbahagi kepada dua kategori iaitu pelancongan perubatan dan program kesihatan. Seseorang pesakit boleh memilih untuk mendapatkan rawatan di  mana-mana hospital yang dikenali di peringkat antarabangsa dan tinggal di Malaysia sehingga sembuh atau mereka boleh melancong ke Malaysia untuk mengunjungi hospital-hospital untuk melihat infrastruktur yang disediakan dan yang sesuai bagi mereka sebelum menjalani perubatan.
 
Dua faktor penting yang menyebabkan Malaysia menjadi pilihan untuk pelancongan perubatan adalah disebabkan oleh kos perubatan yang kompetitif dan rendah serta kemudahan infrastruktur yang canggih dan moden. Sebagai contoh, pembedahan jantung di Malaysia adalah dalam lingkungan RM 18000 ke RM 21000 berbanding di Amerika Syarikat yang bernilai RM 60000.

Di Malaysia, Pulau Pinang sedang menjadi pusat utama bagi sektor ini, diikuti oleh Langkawi.Pelancongan perubatan mempunyai pelbagai kebaikan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa risiko dan isu etika yang perlu diberi perhatian oleh pihak-pihak yang berkepentingan.