Tuesday, May 10, 2011

Perubahan Iklim

Sumber : http://www.konsumerkini.net.my
KESAN PERUBAHAN IKLIM DAN BANJIR KEPADA PENGGUNA
 
Pada 16 Februari 2011, ahli sains telah membentangkan dua buah jurnal sains yang membuktikan bahawa perlakuan manusia mempunyai kaitan dengan kejadian banjir dan perubahan iklim. Laporan tersebut mengatakan bahawa pemanasan global dan perubahan iklim akan menyumbang kepada peningkatan sebanyak 20 peratus kejadian banjir yang berlaku di seluruh dunia.

Berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh nstitut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), perubahan iklim telah menyebabkan corak hujan di Malaysia berubah. Di bahagian tengah dan selatan Semenanjung Malaysia, lebih banyak hujan akan turun dan tertumpu pada kawasan-kawasan tertentu sahaja, berbanding kepada pada masa dahulu yang tersebar luas di seluruh kawasan. Salah satu contoh adalah hujan lebat dan banjir besar yang berlaku di Johor pada akhir tahun 2006. Catatan hujan yang turun di Johor Bahru mencapai 289mm dalam masa sehari sahaja, iaitu catatan jumlah isipadu hujan yang turun di Johor Bahru iaitu 2400mm setahun.

Terdapat banyak sebab yang menyumbang kepada peningkatan kejadian banjir di Malaysia.
Kebanyakan sebab-sebab ini berpunca daripada perubahan iklim dan projek-projek mitigasi banjir yang kurang berkesan. Fenomena La Nina yang kerap kali berlaku semenjak beberapa tahun kebelakangan ini telah membawa lebih banyak hujan ke negara ini. Hujan yang turun sangat lebat dalam masa yang singkat dan tertumpu kepada satu-satu kawasan. Keadaan ini telah menyebabkan sistem perparitan yang sedia ada tidak dapat menampung isipadu air hujan yang tinggi. Sungai-sungai tidak dapat menampung air hujan tersebut sehingga melimpah, dan akhirnya banjir berlaku. Selain itu, sampah sarap juga dibuang ke dalam sungai oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah menyebabkan sungai tercemar dan tersekat.

Menurut kajian Jabatan Meteorologi Malaysia, corak cuaca sekarang memang sukar untuk diramalkan. Punca utama berlakunya banjir adalah disebabkan oleh cuaca. Namun, kesannya telah jelas dapat dilihat di hadapan mata. Pada awal bulan ini kejadian banjir besar telah melanda hampir keseluruhan bahagian di bahagian selatan Semenanjung Malaysia.

Hujan lebat yang berpanjangan telah menyebabkan sungai-sungai di kawasan tersebut melimpah dan menyebabkan banjir berlaku. Kawasan yang paling teruk terjejas adalah Johor yang menyebabkan hampir 40,000 penduduk terpaksa berpindah ke pusat permindahan banjir sementara. Banjir ini juga mengingatkan mimpi ngeri penduduk Johor yang dilanda banjir besar pada tahun 2006/2007. Mujurnya, banjir besar 2006/2007 telah mengajar penduduk-penduduk tersebut untuk lebih berwaspada terhadap banjir besar. Oleh itu kerugian yang dialami semasa banjir besar awal bulan ini tidaklah teruk sangat.

Kesan banjir besar awal bulan ini amat dirasai kerana ia berlaku semasa sambutan perayaan Tahun Baru Cina. Ramai yang ingin balik kampung di bahagian selatan Semenanjung Malaysia terpaksa membatalkan rancangan mereka kerana landasan kereta api dan jalan raya telah ditenggelami air.

Selain itu, harga barangan juga naik disebabkan bekalan yang tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan di pasaran. Salah satu contoh lagi ialah banjir besar yang berlaku di Pantai Timur Australia. Banjir besar tersebut telah menyebabkan tapak penggalian arang batu tertutup dan menyebabkan kerosakan hingga berbilion dollar Amerika. Bencana alam yang berlaku di negara maju tersebut turut menunjukkan bahawa bencana yang berkait rapat dengan iklim ini boleh berlaku di mana-mana sahaja, tanpa mengira status negara tersebut.

Sebagai salah negara yang mengimpot arang batu daripada Australia, Malaysia terpaksa mencari negara yang lain untuk membekalkan arang batu untuk keperluan penjanaan tenaga negara. Ini menyebabkan kos penghasilan tenaga meningkat.

Untuk mengatasi isu banjir ini , peranan kerajaan amat penting. Projek Mitigasi Banjir di kawasan ”hotspot” banjir yang telah dirancang seharusnya disiapkan dalam masa yang paling singkat. Selain itu, maklumat-maklumat semasa berlaku banjir besar amatlah diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir dan agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab. Sistem penyebaran maklumat ini haruslah dipastikan supaya tidak tergendala semasa berlakunya banjir. Sistem amaran banjir sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga perlu dilaksanakan dan disiapkan pada masa yang ditetapkan.

Kedua ialah peranan pengguna. Salah satu tanggungjawab pengguna adalah tanggungjawab terhadap alam sekitar. Pengguna harus menjaga kebersihan sungai kerana ia merupakan sistem perparitan semula jadi dan membekalkan air minuman. Sampah yang dibuang ke dalam sungai hanya akan menyebabkannya pencemaran dan boleh menyebabkan masalah tersumbat. Apabila ia tersumbat, ia akan hilang fungsinya dan menyebabkan banjir. Di samping itu, pengguna juga seharusnya berani memberi kritikan yang membina dan membuat aduan kepada pihak yang berkuasa apabila mendapati tiada apa-apa usaha yang dijalankan bagi mengatasi banjir ini.

Ketiga adalah peranan pihak swasta. Pihak swasta terutamanya syarikat pembekal air hendaklah memainkan peranan yang lebih aktif dalam rancangan pencegahan banjir kerana mereka merupakan pakar dalam bidang ini. Selain itu, mereka juga harus memastikan air minuman yang bersih masih dapat dibekalkan kepada penduduk-penduduk apabila berlakunya kejadian banjir.

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia



       

Pembuangan Bayi

Sumber : Dewan Masyarakat

Pembuangan Bayi Meninggalkan Kesan yang Parah

Penulis tertarik untuk memberi maklum balas terhadap rencana “Apabila Hilangnya Sifat Kemanusiaan …” oleh Aninah Janang dalam Dewan Masyarakat April 2010. Penulis bersetuju dengan Aninah yang menggambarkan masalah pembuangan bayi merupakan penyakit sosial segelintir masyarakat kita yang tandus nilai kemanusiaan. Masalah ini tidak sepatutnya berlaku di negara kita yang berpegang pada agama sebagai tunjangnya.

Kes pembuangan bayi diibaratkan sebagai penyakit sosial yang akan membelenggu negara kita daripada menjadi masyarakat yang bersifat penyayang yang merupakan salah satu daripada sembilan cabaran wawasan 2020. Pembangunan dari segi kerohanian pasti terbantut disebabkan nilai kemanusiaan diketepikan.

Penyakit sosial ini turut mencerminkan kerapuhan pegangan agama dan ketandusan nilai kemanusiaan segelintir anggota masyarakat sehingga keliru antara amalan yang mulia dan yang berdosa. Sebenarnya, setiap manusia yang hidup memang mendapat dorongan dan panduan daripada agama masing-masing. Nilai murni sentiasa diberikan penekanan. Malangnya nafsu dan perasaan negatif telah mengaburi jiwa dan minda manusia sehingga bertindak di luar batasan kemanusiaan.

Bayi merupakan golongan yang tidak berdosa. Bayi ibarat sehelai kain putih dan memerlukan kesabaran dan ketelitian orang dewasa untuk mencorakkannya. Mereka mestilah dijaga dengan penuh kasih sayang. Janganlah manusia bertindak mengikut perasaan dan berlaku zalim terhadap mereka. Perlu disedari bahawa mereka akan membesar dan menjadi dewasa, seterusnya menjadi peneraju yang membawa hala tuju negara.Lantaran itu, menjadi satu kerugian kepada negara apabila masalah pembuangan bayi semakin berleluasa.

Memandangkan masalah pembuangan bayi meninggalkan kesan buruk dalam masyarakat, pelbagai langkah dan inisiatif perlu diambil bagi membendung penyakit sosial ini. Ibu bapa mestilah memainkan peranan yang sewajarnya terhadap anak-anak dari sudut pergaulan sesama rakan agar tidak melampaui batas. Nilai murni dan kemanusiaan serta pegangan agama yang kukuh haruslah disalurkan dalam jiwa anak-anak sejak mereka kecil kerana melentur buluh biarlah ketika rebungnya. Insan yang berakhlak mulia sejak kecil pasti tidak sanggup bertindak di luar norma kehidupan untuk melakukan sesuatu perlakuan yang negatif. Selain itu, pendedahan kepada pendidikan moral dan agama merupakan langkah yang wajar kerana dapat menerapkan nilai-nilai mulia.

Undang-undang bagi kes pembuangan bayi mesti diperketat lagi. Hukuman juga mestilah setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan. Tindakan perundangan ini diharap dapat memberi kesedaran kepada segelintir masyarakat supaya tidak melakukan sesuatu dengan sesuka hati.

Kesimpulannya, negara kita yang sedang membangun pasti tidak dapat mencapai pembangunan yang sebenar jika gejala sosial tersebut terus berlaku. Pembangunan fizikal haruslah diseimbangkan dengan pembangunan nilai kemanusiaan sebagai tunjangnya demi membawa kesejahteraan dan keharmonian yang sebenar kepada masyarakat sejagat.





Loh Chun Chuan
Pulau Pinang
.

 

Kebanjiran Warga Asing

Sumber : Dewan Masyarakat

Kebanjiran Warga Asing Mendatangkan Keburukan?

Penulis terpanggil untuk memberikan pendapat dalam kolum “Mengapa Malaysia Dibanjiri Warga Asing” dalam Dewan Masyarakat keluaran April 2010.

Pembangunan yang pesat di negara ini telah membuka peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor. Bidang perindustrian dan perkilangan merupakan sektor yang memerlukan jumlah pekerja yang banyak. Memandangkan rakyat tempatan tidak berminat dalam sektor berkenaan kerana gaji yang ditawarkan sedikit atau pihak berkenaan ingin mengurangkan kos, maka pekerja asing menjadi tumpuan mereka.

Tidak dapat dinafikan pekerja asing telah membantu masyarakat Malaysia dalam melengkapkan visi dan misi pembangunan negara. Namun begitu, kebanjiran pekerja asing juga menyebabkan negara ini mengalami kerugian. Pelbagai masalah timbul disebabkan kebanjiran pekerja asing. Antaranya ialah masalah tempat tinggal. Segelintir majikan menyediakan tempat tinggal kepada pekerjanya, manakala sebahagiannya tidak. Ini menyebabkan penempatan setinggan kian bertambah dan menimbulkan suasana pemandangan yang jelek.

Sekiranya pelancong asing melihat pemandangan yang kotor serta kedaifan dan kemiskinan warga asing yang mendiami kawasan tersebut, pastinya mereka beranggapan bahawa Malaysia sebuah negara miskin dan mengamalkan budaya hidup yang tidak sihat. Situasi seumpama ini mendatangkan kesan yang negatif dari sudut kehadiran pelancong, seterusnya menjatuhkan imej negara di mata dunia.

Kehadiran pekerja asing di negara kita juga antara penyebab kadar jenayah semakin meningkat. Perkara sebegini pasti mendatangkan kebimbangan dan kerisauan masyarakat kerana keselamatan mereka tergugat. Kes kecurian, pergaduhan dan pembunuhan sering berlaku akhir-akhir ini. Kegiatan pelacuran dan perdagangan manusia juga semakin meningkat.

Selain itu, negara kita menanggung kerugian lebih daripada RM4 bilion melalui aliran keluar mata wang secara besar-besaran oleh pekerja asing yang menghantar wang kepada keluarga mereka. Hal ini menjejaskan imbangan pembayaran negara dan membantutkan perkembangan ekonomi negara. Manakala dari segi putaran modal pula, negara mengalami kerugian kerana kebanyakan wang yang dikeluarkan dalam bentuk gaji tidak digunakan untuk dibelanjakan di negara ini. Pihak hospital juga turut menanggung kerugian kerana ramai antara pekerja asing tidak melunaskan bil tuntutan yang dikenakan ke atas mereka. Sebagai contoh, pada 2006, pihak hospital di seluruh negara mengalami kerugian sebanyak RM6.75 juta bil hospital yang belum dibayar oleh pekerja asing. Manakala pada 2007, jumlahnya semakin meningkat kepada RM7.17 juta.

Kesimpulannya, walaupun kita tidak mampu untuk mengawal jumlah kemasukan pendatang asing, namun tindakan yang tegas dan bijaksana harus diambil oleh pihak kerajaan untuk menangani kebanjiran warga asing ini, agar memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Malaysia seluruhnya terus terpelihara.


Muhammad Zahid Mohd. Zain
Pasir Mas, Kelantan
.

 



Monday, May 9, 2011

Biodiversiti : Cabaran & Langkah Pemeliharaan

Biodiversiti (Edisi 3)
Sumber : http://gegeplace.blogspot.com
&
Perbincangan Pelajar, Guru SMK Agama Sibu

Apakah masalah dan cabaran biodiversiti dunia? Antaranya ialah :
Kegiatan pembangunan dan eksploitasi ekonomi oleh manusia telah mengubah dan sekaligus menghapuskan habitat dan keseimbangan biodiversiti. Banyak aktiviti yang boleh merosakkan yang berlaku menyebabkan terjejasnya biodiversiti. Akibatnya, banyak spesis yang belum lagi dikenalpasti telah pupus. Ada di antara spesis ini telah disenaraikan dalam ketegori sepsis terancam. Jika tidak ditangani awal dari sekarang, biodiversiti yang ada sekarang akan terjejas teruk dan mungkin hilang buat selamanya.

Kerakusan penerokaan hutan khasnya Hutan Hujan Khatulistiwa dan Hutan Tropika dengan tujuan mengaut keuntungan juga menjejaskan biodiversiti. Contohnya kemunculan pelancong berasaskan alam semulajadi atau pelancongan eko adalah satu aktiviti penting yang bolkeh mendatangkan hasil kepada negara membangun. Namun andainya pelancongan eko tidak dilaksanakan dengan teratur boleh menyebabkan kerosakan biodiversiti. Kemusnahanhabitat akibat penukaran tanah untuk pertanian, perlombongan, penempatan, pembinaan dan sebagainya untuk tujuan pembangunan juga bakal memusnahkan kekayaan biodiversiti dunia.

Namun begitu, keadaan dan perubahan iklim dunia dan faktor semulajadi sepeti bencana alam juga merupakan cabaran bagi pengekalan biodiversiti dunia.Antaranya ialah seperti tanah runtuh, banjir, kemarau, tsunami di Malaysia (2004) dan sebagainya menyebabkan kemusnahan kepada kepelbagaian biologi daratan dan akuatik dunia.

Malah, sikap pengguna yang menggunakan sumber biologi secara tidak lestari atau tidak mesra alam seperti aktiviti pembalakan dan pemburuan yang tidak terkawal menjadi satu agenda kepada kepupusan kepelbagaian biologi.

Apakah langkah untuk memelihara biodiversiti ini?
Untuk mengawal kemusnahan biodiversiti ini, langkah seperti mengadakan bengkel mengenai pengurusan biodiversiti perlu diperbanyakkan dan secara telus tanpa mengira sempadan tempat. Contohnya, Bengkel mengenai pengurusan biodiversiti : Isu Dasar dan Cabaran kepada Malaysia yang telah dilangsungkan pada 17 Ogos 1999 dianjurkan bersama oleh Institut Kajian Pembangunan (SABAH), Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia(MIER) dan Queen’s University, Kingston, Canada. Bengkel tersebut dibiayai oleh Agensi Pembangunan Antarabangsa Kanada (CIDA), NGO’s dan badan-badan swasta. Antara isu yang disentuh adalah mengenai biodiversiti, bioprospek, pengurusan dan pengawasan pelancongan eko dan perlindungan spesis terancam. Dengan adanya bengkel seperti ini boleh memberi maklumat dan pendedahan kepada masyarakat tentang kepentingan penjagaan kepelbagaian biologi.

Selain itu, kita juga perlu menggalakkan dan memperbanyakkan penubuhan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).Contohnya Taman Teknologi Malaysia(TPM) sedang giat menjalankan kajian terhadap potensi-potensi yang boleh digunakan daripada hasil khazanah alam negara. Pusat-Pusat penyelidikan seperti Pusat Biodiversiti Raub menjalankan kerja-kerja mengutip, memelihara dan menjalankan kerja-kerja kajian farmakologi sampel, pemprosesan dan penghasilan benih.Ini boleh membantu memelihara kepelbagaian biologi dunia.

Pada waktu yang sama, kerajaan juga perlu mengetatkan kawalan dan melakukan pemantauan yang lebih telus. Antara teknologi konservasi biodiversiti yang paling praktikal dan digunakan secara meluas pada masa kini adalah secara penentuan dan pemantauan menerusi satelit. Aktiviti pembalakan dan pemburuan haram misalnya perlu dikawal lebih ketat. Begitu juga dengan biodiversiti akuatik Malaysia yang mempunyai nilai yang tinggi, pengawalan terhadap hidupannya termasuk terumbu karang perlulah dilakukan dengan lebih mantap supaya tidak merugikan negara.

Biodiversiti : Kepentingan & Fungsi

Biodiversiti (Edisi 2)
Sumber : http://gegeplace.blogspot.com 
perbincangan guru, pelajar di SMK Agama Sibu

Majalah estidotmy, February 2007 menulis definisi biodiversiti sebagai kepelbagaian biologi atau “biodiversity” didefinisikan sebagai keanekaan antara organisma hidup dari pelbagai sumber dari daratan mahupun samudera dan lain-lain yang melangkau ekosistem akuatik dan sebahagian daripada ekosistem yang kompleks termasuk didalam kelompok spesis dan antara sepsis dan ekosistemnya.

Kepentingan atau peranan biodiversiti ini terbahagi kepada 2 iaitu : Kepentingan kepada manusia dan kepentingan kepada alam.

Kepentingan Kepada Alam :
Biodiversiti sangat penting untuk mengekalkan kitaran hidrologi. Hal ini demikian kerana hidupan semulajadi berfungsi sebagai penyerapan. Air dari tanah akan dibebaskan melalui proses transpirasi. Hutan, padang rumput dan tanah lembab akan menyerap air apabila jumlahnya banyak dan membebaskannya sedikit demi sedikitbila air bertakung. Ini sekaligus mengawal banjir dan kejadian bencana alam lain seperti tannah runtuh, banjir lumpur dan sebagainya.

Selain itu,  biodiversiti juga memberi khidmat ekosistem seperti mengatur perjalanan cuaca dan iklim (modifikasi iklim). Tumbuhan misalnya, juga menyerap radiasi daripada cahaya matahari dan membebaskan wap. Keadaan ini akan mempengaruhi keadaan iklim dan sekaligus menyederhanakan suhu. Oleh itu, kestabilan iklim akan berlaku dengan adanya fungsi oleh kepelbagaian biologi biodiversiti ini.

Biodiversiti juga mempu menghalang hakisan tanah. Hal ini demikian kerana, daun dan sampah hutan boleh menyerap dan mengurangkan impak air hujan. Keadaan ini sekaligus menghalang tanah menjadi pecah.Selain itu, akar berfungsi “mengikat tanah”dan membantu menghalang berlakunya hakisan terutamanya di kawasan tanah tinggi. Manakala tumbuhan, haiwan kecil dan mikroorganisma menyumbang kepada pembentukan tanah. Di kawasan yang berombak, paya bakau berfungsi mengurangkan kesan puklan ketika rebut. Ini bukan sahaja menjaga kontur pantai malah dapat menyelamatkan harta benda dan nyawa. Oleh itu, kepelbagaian biologi boleh mengawal dari berlakunya bencana alam.

Tumbuhan juga boleh menghasilkan oksigen untuk pernafasan dan respirasi. Manakala mikrob pula membantu menambah kesuburan tanah serta penetapan kandungan nitrogen dalam tanah. Kepelbagaian biodiversiti juga boleh menghalang tompokan sebatian nitrogen seperti unsur-unsur Ammonium dan Nitrat yang boleh mengganggu kesuburan tanah. Dengan kata lain, biodiversiti berperanan menyelenggara kitaran Oksigen dan Nitrogen.

Kepentingan Kepada Manusia :
Biodiversiti berguna kepada manusia. Hal ini demikian kerana, kini sebanyak 3000 spesis tumbuhan di dunia ini dikenalpasti berfungsi sebagai anti-kanser. Dijangkakan sumbangan kekayaan kepelbagaian biodiversiti ini menyumbangkan US$8 BILION setahun untuk menghasilkan ubat bagi syarikat yang mengendalikan bidang ini. Contohnya, ANTHROPOSENTRIK, digunakan dalam memajukan Bank Genetik khasnya untuk memajukan sktor pertanian, perhutanan, akuakultur dan penternakan. Ia juga boleh digunakan sebagai sumber perubatan yang menyumbang jutaan ringgit setahun kepada ekonomi negara. Jelas bahawa kekayaan kepelbagaian spesis biodiversiti ini mampu memperbaiki tahap kesihatan masyarakat dan meningkatkan jangka hayat manusia.
 
Selain itu, kepelbagaian biodiversiti ini juga mempunyai “nilai intrinsik" atau nilai yang tersendiri dan setiap benda hidup di atas muka bumi ini mempunyai "hak untuk hidup. Setiap benda hidup tidak kira haiwan, tumbuhan dan manusia mempunyai “hak asasi” masing-masing. Benda hidup mempunyai ingatan, emosi dan kesakitan. Oleh itu, ia perlu dijaga kerana mempunyai hak dan peranan sebagaimana manusia.