MAHASISWA Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencadangkan perbahasan dan perbincangan berkaitan tenaga nuklear dibincangkan secara terbuka dalam usaha memberi kefahaman kepada masyarakat.
Presiden Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM), Ahmad Muzzammil Muhd Hairi berkata, kefahaman itu penting supaya masyarakat dapat memperoleh maklumat sebenar dan tidak meninggalkan persoalan tidak terjawab.
Menurutnya, tanpa kefahaman itu, masyarakat akan terus menolak cadangan tanpa usul periksa kerana hanya terpengaruh dengan tanggapan negatif sedangkan kebaikannya tidak diketahui dan disebarkan.
“Tenaga nuklear termasuk dalam kategori tenaga hijau, ada pro dan kontra, justeru pelaksanaannya di negara ini perlu dibahaskan secara terbuka dan kepada semua lapisan masyarakat agar mendapat gambaran sebenar.
“Dalam hal berkaitan tenaga nuklear, orang ramai masih tidak mendapat kefahaman dan penjelasan tepat serta mudah membuat telahan bersifat sensasi dan tidak bertanggungjawab. Sebab itu, ia perlu diimbangkan dengan penerangan yang betul,” katanya.
Beliau turut mencadangkan penganjuran siri penerangan mengenainya diperluaskan semua pihak selain pihak terbabit memainkan peranan proaktif bagi membantu pihak lain.
Bantuan media massa juga penting kerana pengaruhnya begitu meluas dan mudah diterima ramai.
“Siri penerangan perlu dilakukan dengan kaedah mudah difahami supaya maklumat ingin diberikan mampu difahami. Perbahasan mengenai tenaga dan teknologi nuklear boleh diadakan dengan menekankan pelbagai aspek pemahaman dan melihatnya dari sudut perspektif berbeza.
“Ini bertujuan menentukan kebaikan dan keburukan sesuatu perkara dengan kaedah fleksibel dan universal supaya tidak ada pihak boleh mensensasikannya atau menjadikannya lebih peribadi.
“PMUKM percaya jika semua pihak mendapat pengetahuan dan maklumat sebenar, mereka tidak mudah mempertikaikannya, selain memudahkan pihak tertentu menjalankan usaha jika ia benar-benar membawa kebaikan kepada masyarakat dan negara,” katanya.
1 comment:
saya ingin berkongsi maklumat dengan cikgu sue.
Post a Comment