Showing posts with label Keratan Estidotmy. Show all posts
Showing posts with label Keratan Estidotmy. Show all posts

Wednesday, March 16, 2011

Klon -- Penyelamat binatang terancam?







Klon -- Penyelamat binatang terancam?



MAMPUKAH kaedah pengklonan mengatasi masalah kepupusan binatang di muka bumi ini? Kajian-kajian yang pernah dilakukan di negara barat mendapati kaedah ini mempunyai potensi walaupun ia menemui beberapa kegagalan.

Kematian bebiri Dolly yang merupakan binatang pertama yang diklon mengugat sedikit sebanyak keyakinan terhadap kemampuan teknik pengklonan meneruskan kelangsungan binatang-binatang yang terancam.

Bagaimanapun baru-baru ini dua ekor lembu liar daripada spesies Banteng berjaya dilahirkan di Iowa, Amerika Syarikat hasil teknik pengklonan.

Salah satu daripada anak lembu jantan itu mempunyai berat badan dua kali lebih daripada apa yang dijangkakan.

Kejayaan ini memberi harapan bahawa teknik pengklonan kacukan silang ini mampu mengatasi masalah kepupusan lebih 100 spesies.

Di samping itu kejayaan ini juga memberi harapan untuk menambahkan lagi kepelbagaian genetik bagi meningkatkan populasi binatang.

Jika berjaya hidup dengan selamat, binatang-binatang ini akan dibawa ke Taman Hidupan Liar San Diego untuk dibiakkan lagi.

Banteng adalah antara binatang yang diancam kepupusan. Bilangannya kini kurang daripada 8,000 ekor dan kebanyakannya terdapat di Pulau Jawa, Indonesia.

Walaupun teknologi yang digunakan masih diselubungi dengan pelbagai masalah, saintis sebenarnya sangat kagum dengan kejayaan ini. Ini diakui oleh pakar genetik di Pusat Reproduksi Spesies Terancam di Zoo San Diego, Oliver Ryder.

Pada tahun 1977, pihak zoo telah pun memulakan usaha mengawet bahan-bahan genetik daripada beratus-ratus binatang di bawah program ‘Zoo Beku’ atau Frozen Zoo. Kesemua sampel tisu daripada setiap binatang dibekukan dalam cecair nitrogen.

“Ketika itu, kami tidak tahu bagaimana sumber-sumber ini boleh digunakan, tetapi kami tahu ia sangat penting untuk menyelamatkan spesies-spesies terancam,’’ kata Ryder.

Sel kulit beku Banteng yang telah lama disimpan ini di hantar ke sebuah syarikat pengklonan - Advanced Cell Technology di Masschusects untuk proses pengklonan seterusnya.

Sebenarnya, ini bukan merupakan uji kaji keadah pengklonan kacukan silang yang pertama.

Dua tahun lalu, seekor lembu telah melahirkan anak lembu yang diklonkan daripada sejenis kerbau liar dan dinamakan Noah. Noah bagaimanapun mati dua hari selepas itu.

Usaha pengklonan binatang ini sebenarnya ditentang hebat oleh aktivis hak binatang. Mereka mendakwa pengklonan binatang tidak harus dilakukan kerana ia dianggap zalim kerana hasil binatang yang diklonkan itu tidak dapat bertahan lama dan selalunya mempunyai tahap kesihatan yang sangat rendah seperti apa yang dialami oleh bebiri Dolly.

Dolly terpaksa ‘dimati’ pada Februari lalu kerana penyakit paru-paru. Dolly terpaksa dimatikan ketika usianya enam tahun sedangkan bebiri itu dijangka mampu hidup sehingga 12 tahun.
Selain itu, saintis di China juga kini sedang menjalankan kajian untuk menjadikan arnab sebagai ibu tumpang bagi mengklonkan panda.

Dijangkakan panda yang dihasilkan menerusi penyelidikan ini hanya akan mempunyai saiz sebesar sebuku mentega.

Perhilitan -- Pastikan hidupan liar terus bernyawa








KEPENTINGAN memelihara hidupan liar perlu dipupuk sejak dari kecil.




ANCAMAN kepupusan haiwan dan hidupan liar yang menjadi sebahagian daripada sistem ekologi kita bukan lagi satu masalah domestik atau hanya dialami oleh negara-negara dunia ketiga dan membangun.

Ia sebaliknya telah menjadi masalah global dan boleh dikatakan setiap negara di seluruh negara mempunyai agensi atau institusi khusus untuk memastikan masalah kepupusan terkawal.

Malah tidak cukup dengan agensi-agensi kerajaan ini, badan-badan bukan kerajaan (NGO) juga turut memperjuangkan masalah kepupusan haiwan dan hidupan liar.

Di negara ini, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) adalah agensi kerajaan yang begitu aktif menunaikan tanggungjawabnya memulihara spesies hidupan liar dan habitatnya melalui program-program konservasi.

Program konservasi yang dimaksudkan melibatkan penyelidikan dan konservasi, penguatkuasaan undang-undang, ekopelancongan dan kawasan perlindungan.

Penyelidikan dan konservasi
Bahagian ini yang beroperasi di ibu pejabat Perhilitan bertanggungjawab terhadap kerja-kerja penyelidikan dan pengurusan hidupan liar, terutama sekali kepada spesies-spesies terancam dan habitat mereka.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha untuk memulihara populasi yang sedia ada.

Sehingga kini, aktiviti penyelidikan tertumpu kepada 13 spesies hidupan liar iaitu:

  • Gaur atau seladang
  • Harimau
  • Entomologi
  • DNA dan Parasit
  • Avifauna
  • Mamalia kecil
  • Gajah
  • Badak Sumatera
  • Kera /Monyet


Penguatkuasaan Undang-Undang
Di bawah Perhilitan, diwujudkan bahagian perundangan dan penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan hidupan liar dilindungi undang-undang.

Binatang-binatang liar di negara ini dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar No. 76 Tahun 1972, Akta 

Taman Negara 1980 dan juga ke atas Enakmen Taman Negara 1938/39, serta peraturan yang ditentukan di bawah setiap Akta dan Enakmen tersebut.

Ia juga mengawal aktiviti pertukaran di peringkat antarabangsa untuk hidupan liar melalui Konvensyen Pertukaran Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna Yang Terkawal (CITES), yang mana Malaysia merupakan salah sebuah negara ahli.

Bahagian ini terbahagi kepada tiga unit iaitu:

1.Penguatkuasaan
2.Operasi
3.Pemuliharaan Antarabangsa


Ekopelacongan
Ekopelancongan atau bidang rekreasi melibatkan sumber semula jadi seperti flora dan fauna adalah antara program galakan yang dimajukan oleh Perhilitan bagi mencapai objektif konservasi hidupan dan tumbuhan semula jadi.

Selain merancang pelbagai program pelancongan berteraskan alam sekitar, Perhilitan juga terlibat menyelaraskan program dan aktiviti taman zoologi.

Garis panduan pengurusan Taman-Taman Zoologi yang disediakan oleh Perhilitan bertujuan memastikan setiap zoo di negara ini diuruskan dengan baik mengikuti spesifikasi dan tahap antarabangsa.

Antara yang ditekankan ialah aspek reka bentuk sangkar, penjagaan kesihatan haiwan, kebersihan keselamatan dan pemakanan haiwan liar yang dipelihara dalam zoo.

Kawasan perlindungan
Kawasan perlindungan diwujudkan untuk mengekalkan semula jadi spesifikasi ekosistem, habitat dan spesies untuk menyediakan pemantauan, penyelidikan saintifik, pembelajaran, pendidikan alam semula sekitar.

Selain itu, kawasan perlindungan juga memelihara, mengurus dan membiak spesies flora dan fauna yang mengalami kepupusan.

Semenanjung Malaysia mempunyai 40 kawasan perlindungan dari sebelas negeri meliputi 751,413 hektar.
Taman Negara Pahang merupakan kawasan perlindungan yang terbesar iaitu 4343 hektar merangkumi tiga buah negeri seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Laman web rujukan:

http://www.wildlife.gov.my
http://www.endangeredworld.envy

Kepupusan fauna -- Mahukah kita bertanggungjawab?






Kepupusan fauna -- Mahukah kita bertanggungjawab?

Kemusnahan hutan sama ada secara semula jadi ataupun untuk tujuan komersial menjadi antara punca utama kepupusan haiwan.









KITA sering diberi pilihan sama ada kita mahu mengekalkan flora (tumbuh-tumbuhan) dan fauna (hidupan binatang) ataupun tidak langsung menikmati penambahan kemudahan infrastruktur.


Bagi kebanyakan kita mengalah kepada tuntutan pemodenan dan kemajuan. Kita korbankan flora dan fauna di sekeliling kita bagi memberi laluan kepada pembangunan.

Implikasinya seperti yang kita lihat sekarang, banyak spesies-spesies flora dan fauna yang semakin diancam kepupusan.

Selain itu, ancaman terhadap spesies-spesies flora dan fauna ini juga sebenarnya turut menjejaskan kitaran ekologi secara keseluruhan kerana kedua-dua unsur itu dan juga manusia sendiri adalah sebahagian daripada elemen yang perlu ada untuk mewujudkan keseimbangan semula jadi.

Jika kita kaji secara mendalam, punca masalah kemusnahan flora dan fauna ini adalah manusia sendiri.
Di bawah dikemukakan faktor-faktor yang menyumbang kepada masalah ini dengan tumpuan kepada masalah pemusnahan fauna.


Kemusnahan dan perubahan habitat


Seperti yang dinyatakan tadi, aktiviti-aktiviti manusia adalah punca utama kepupusan haiwan. Contoh aktiviti pemusnahan manusia yang paling jelas ialah pembalakan dan penerokaan kawasan baru untuk pembangunan.

Aktiviti-aktiviti ini akan memusnahkan sesuatu habitat dan spesies haiwan dalam sesuatu jangka masa tertentu.

Penerokaan kawasan-kawasan hutan boleh memusnah atau mengecilkan habitat haiwan tertentu seperti harimau dan gajah yang memerlukan kawasan yang luas untuk aktiviti-aktiviti hidup.

Kawasan hutan yang kecil akan mengurangkan kemampuan haiwan-haiwan ini mencari makanan dan juga mencari pasangan untuk tujuan pembiakan.

Kematian dan pengurangan bilangan adalah kesan utama yang akan berlaku disebabkan masalah ini.

Pembakaran hutan


Pembakaran hutan secara terbuka seperti yang berlaku di Kalimantan dan Sumatera menyebabkan spesies-spesies yang terancam yang ada di kawasan tersebut akan musnah.

Lebih menyedihkan, kebakaran hutan yang besar dan tidak dapat dikawal akan memusnahkan sesuatu spesies haiwan selama-lamanya.

Pemburu haram

Pemburuan secara haram yang berleluasa di hutan-hutan negara ini juga adalah faktor kemusnahan habitat dan spesies haiwan.


Pemburuan haram berlaku akibat permintaan tinggi daripada negara-negara luar seperti Amerika Syarikat, Britian dan Eropah terhadap haiwan-haiwan eksotik yang hanya terdapat di negara ini.

Sukarnya menyeludup haiwan ini daripada dihidu oleh pihak berkuasa menyebabkan haiwan-haiwan ini sering disembunyikan dalam keadaan yang amat menyedihkan.

Menurut kajian yang pernah dilakukan, daripada 10 haiwan yang diseludup, biasanya hanya seekor sahaja yang sampai ke tangan pembeli dalam keadaan selamat.

Hal ini menyebabkan nilai haiwan tersebut sangat tinggi dan ini menggalakkan lagi pemburuan haram.

Menyedihkan juga kerana haiwan-haiwan daripada golongan primat seperti monyet dijual kepada institusi-institusi tertentu untuk tujuan penyelidikan.

Dianggarkan hampir 200,000 primat digunakan setiap tahun untuk tujuan penyelidikan sehingga menyebabkan beberapa jenis primat hampir pupus kini.

Keperluan barangan berasaskan haiwan


Gaya hidup manusia turut menjurus kepada kemusnahan haiwan. Semua sedia maklum, walaupun pelbagai undang-undang dan peraturan diperkenalkan, masalah memburu binatang untuk mendapatkan kulit, gading dan bahagian-bahagian badan binatang yang dikatakan memberi kekuatan pada manusia terus berleluasa.

Harimau, memerang, paus, badak, dan gajah adalah antara binatang yang diburu untuk tujuan tersebut

Pemburu haram ini bukan sahaja mengeksploitasikan bintang ini malahan mengaut keuntungan yang banyak melalui kegiatan ini.

Permintaan yang tinggi melalui pasaran antarabangsa dan tempatan terhadap binatang ini menjadi punca utama kegiatan ini berleluasa.

Harimau Malaya merupakan satu spesies yang kian terancam kerana pemburuan terhadapnya. Permintaan yang tinggi terutama dalam bidang perubatan Cina menyebabkan Harimau Malaya kini hanya tinggal sejumlah yang sedikit sahaja.

Pencemaran


Pencemaran yang teruk menyebabkan kepupusan haiwan dan tumbuhan, terutamanya hidupan laut.

Hidupan seperti ikan lumba-lumba dan paus pembunuh (killer wale) semakin pupus disebabkan pencemaran air terutama disebabkan oleh tumpahan minyak di laut dan kegiatan manusia yang suka mengotorkan laut.

Beruang Panda yang merupakan antara habitat yang istimewa yang hanya terdapat di negara China kian terancam kepupusannya disebabkan pencemaran alam. Kepupusan pokok buluh juga menjadi penyebab kepupusan hidupan ini kerana pokok buluh merupakan makanan utama habitat ini.


Perubahan suhu dunia

Faktor ini mungkin satu-satunya punca yang tidak boleh dikaitkan dengan aktiviti manusia.

Fenomena El-Nino umpamanya menyebabkan peningkatan suhu dunia yang mendadak ini menyebabkan ada sesetengah spesies haiwan dan tumbuhan yang terancam terutama haiwan dan tumbuhan dan tidak sesuai dengan cuaca panas.

Faktor ini akan menyebabkan kepupusan hidupan ini.