Showing posts with label Artikel Asli Pilihan. Show all posts
Showing posts with label Artikel Asli Pilihan. Show all posts

Tuesday, February 21, 2012

Pendidikan Usaha Terbaik Menangani Masalah Sosial

Artikel ini asli daripada laman web http://www.haluan.org.my


Memperkasa Sistem Pendidikan Bagi Menangani Masalah Sosial


Permasalahan sosial yang sedang meruncing kini seharusnya mendapat perhatian semua pihak yang cintakan negara ini dan mereka yang mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju contoh. Samada secara sedar atau tidak, peningkatan kes-kes yang dikategorikan sebagai gejala sosial kini berada pada tahap yang agak membimbangkan, malah mungkin juga “mencemaskan”. Ini dapat dibuktikan melalui pendedahan dan laporan harian media massa mengenai peningkatan kes-kes berkenaan. Setiap hari kita akan mendengar atau membaca berita serta liputan mengenai kes-kes gejala sosial
Sudah sampai masanya kita sebagai rakyat Malaysia melihat usaha membendung dan menyelesaikan masalah ini sebagai suatu agenda yang perlu diberi keutamaan. Selain perlunya meningkatkan penguatkuasaan undang-undang terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan, kita tidak seharusnya mengabaikan peranan pendidikan bagi membantu membendung gejala berkenaan daripada berleluasa. Malah rakyat seluruhnya perlu mempunyai kesedaran bahawa gejala ini adalah permasalahan kita bersama, bukan semata-mata permasalahan kerajaan atau kaum keluarga pesalah-pesalah yang terlibat dengan tindakan-tindakan ganas itu. 
Apa yang dimaksudkan sebagai tindakan bersama, adalah perlunya kerjasama semua pihak tanpa mengira kaum dan agama untuk bersama-sama membenteras perlakuan salah laku atau gejala sosial ini daripada terus menjadi barah yang akan melumpuhkan sistem bermasyarakat di negara ini. Dengan lain perkataan, kita sama sekali tidak boleh membenarkan keadaan ini berlangsung sewenang-wenangnya di atas nama gaya hidup masyarakat maju. Kita harus menetapkan agenda bahawa kemajuan kita bukanlah menyamai kemajuan di Barat.
Masalah sosial adalah suatu tindakan yang merangkumi pelbagai perlakuan negatif masyarakat yang tidak membawa kekuatan serta keuntungan kepada sesebuah negara, samada kepada struktur sosial, politik mahupun sistem ekonomi negara berkenaan. 
Perlakuan yang menyimpang daripada nilai dan norma masyarakat mengundang kerisauan dalam masyarakat berkenaan kerana ia boleh memecahkan struktur nilai yang dipegang oleh sebahagian besar komuniti tersebut.
Banyak kajian telah dilakukan oleh pelbagai pihak mengenai gejala sosial ini. Satu kajian yang dilakukan oleh Amaludin Abd. Rahman dan Khadijah Alawi merumuskan bahawa terdapat sekurang-kurangnya 28 jenis masalah sosial yang dihadapi oleh golongan remaja masa kini. Masalah berkenaan dapat diperincikan melalui senarai berikut :
Bil.Masalah SosialBil.Masalah SosialBil.Masalah Sosial
1Merokok2Tonton video lucah3Tonton filem lucah
4Mencuri5Lari dari rumah6Minum arak
7Putus cinta8Pil khayal9Berjudi
10Simpan gambar lucah11Hubungan jenis luar nikah12Peras ugut
13Pecah rumah14Hisap dadah15Rogol
16Samun17Rasuah18Maksiat
19Bercerai20Jenayah bunuh21Seks rambang
22Bohjan23Homoseks24Bohsia
25Lesbian26Pelacur/Dilacur27Gugur anak
28Buang anak    
Kajian berkenaan juga mendapati bahawa penglibatan remaja dalam masalah sosial sangat berkait rapat dengan latar belakang dan cara hidup mereka dalam keluarga. Walau bagaimanapun terdapat faktor-faktor lain yang menentukan remaja terjebak dalam kegiatan ini. Antaranya ialah faktor psikologi individu itu sendiri serta pengaruh persekitaran.
Tarikan yang kuat terhadap pergaulan bebas dan pengaruh rakan sebaya dikenal pasti menjadi sebab utama remaja mudah melanggar nilai dan norma masyarakat. Keadaan ini sangat berkait rapat dengan pengaruh emosi yang sangat mudah meresapi jiwa remaja, iaitu mahukan melakukan sesuatu yang menyeronokkan, mencabar dan memberi kepuasan diri.
Akibat daripada suasana dan persekitaran hidup yang sentiasa menyuburkan budaya keseronokan dan kesenangan, maka lahirlah generasi yang dangkal pemikiran dan gagal memanfaatkan kekuatan jasad, akal dan rohani yang ada pada mereka. Akibatnya, sering kita perhatikan apabila mereka dilanda kekecewaan atau dugaan seperti putus cinta, konflik diri ataupun tekanan pelajaran, mereka akan begitu mudah mencari penyelesaian yang sebenarnya bukan jawapan kepada permasalahan yang dihadapi. Maka bertambahlah kes membunuh diri, dadah, arak, lari dari rumah dan zina, kononnya sebagai jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.
Dalam tempoh pembangunan yang semakin pesat serta persaingan yang bersifat global, anak muda atau remaja kini semakin diorientasi dengan kemewahan. Kesannya mereka kurang berminat dengan program-program pemantapan jati diri serta pengukuhan peribadi mereka dalam menghadapi cabaran. Ini seterusnya mengakibatkan mereka gagal mencari jalan penyelesaian yang kreatif dan berhikmah terhadap cabaran dan dugaan yang mendatang.
Kajian Amaludin dan Khadijah juga mendapati bahawa sejarah keluarga adalah antara faktor yang ketara dalam menyumbang kepada peningkatan masalah sosial . Bilangan kes perceraian ibu bapa misalnya, dan kurangnya kemahiran dalam mendidik memberikan kesan negatif ke atas perkembangan syaksiah dan mentaliti anak-anak. Mereka terasa terpinggir, terabai dan jauh daripada kasih sayang.
Keengganan sebahagian pasangan mendalami ilmu kemahiran keibubapaan (parenting) adalah suatu tindakan yang merugikan. Pendedahan yang terhad ini menyebabkan kaedah mengurus hal ehwal keluarga menjadi kurang mantap dan kucar-kacir. Selain itu, akibat kurangnya tumpuan terhadap aspek pembangunan keluarga sebagai salah satu aspek penting pembangunan modal insan, telah menyebabkan berlakunya kes-kes keganasan rumah tangga. Melalui data di bawah, kita dapati bahawa negeri-negeri yang mempunyi tahap kemajuan ekonomi lebih pesat mencatatkan kes keganasan rumah tangga yang tinggi. Ini termasuklah di Selangor, Johor dan Pulau Pinang.
Negeri20012002200320041
Perlis27393227
Kedah179177179114
Pulau Pinang431269231137
Perak18513512356
Selangor855942805421
Kuala Lumpur1621319653
Negeri Sembilan318242301131
Melaka56676837
Johor379187234227
Pahang16120218899
Terengganu2910912
Kelantan36471914
Sabah86856955
Sarawak203222201114
Jumlah3107275525551497
Jadual 1 : Kes Keganasan Rumah Tangga Mengikut Negeri, sehingga Jun 2004
Sumber : Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman

Persekitaran masyarakat amat bermakna bagi perkembangan fizikal, mental dan rohani seorang remaja. Suasana yang tidak soleh memudahkan nafsu remaja terangsang untuk bertindak seperti rakan-rakan sekumpulannya. Peranan media juga amat kuat dalam mempengaruhi pembentukan minda remaja yang sihat. Aksi yang ganas dan kurang bermoral boleh didapati dengan mudah melalui VCD, video, majalah dan televisyen. Kesan sampingan aktiviti-aktiviti ini ialah pengikisan nilai-nilai murni dan adab masyarakat. Lama kelamaan nilai-nilai berkenaan digantikan dengan nilai-nilai Barat yang berbeza daripada masyarakat Timur.

Di samping itu program televisyen yang tidak ditapis dengan berhati-hati oleh pihak berwajib terutama pada siaran televisyen berbayar (kabel) akan mendedahkan golongan muda dan remaja belasan tahun kepada tabiat buruk dan amalan berisiko tinggi seperti gejala pergaulan bebas, penagihan dadah atau seks bebas. Menurut satu kajian lagi yang dilakukan oleh Norliah Kudus dan Mahadi Hassan merumuskan, ruangan di media yang membincangkan soal seks dan hubungan suami isteri secara terbuka mendedahkan anak-anak kepada mesej seks yang belum sampai masanya untuk mereka ketahui. Biarpun secara purata kes-kes rogol yang dicatatkan menurun sehingga tahun 2004, ini tidak bermakna bahawa kita harus leka untuk terus membenterasnya.
Negeri2001200220032004
Perlis1013116
Kedah12313211970
Pulau Pinang75737053
Perak7910011861
Selangor269253280162
Kuala Lumpur971207754
Negeri Sembilan82626945
Melaka43576755
Johor234235312162
Pahang79797061
Terengganu48453830
Kelantan74706639
Sabah9411511164
Sarawak79777146
Jumlah138614311479908
Jadual 2 : Kes Rogol Mengikut Negeri, sehingga Jun 2004
Sumber : Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman
Perkembangan negara yang pesat sejak tahun 1980-an telah memberi manfaat yang sangat besar kepada masyarakat Malaysia. Limpahan pembangunan ini turut membawa perubahan ke atas cara hidup keluarga dan pembangunan sosial. Kualiti hidup semakin baik dan rakyat Malaysia boleh merasai jangka hayat yang lebih panjang. Perangkaan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat 2004 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mencatatkan pertumbuhan penduduk Malaysia dari 13.88 juta pada tahun 1980 kepada 25.58 juta pada tahun 2004. Pertambanhan penduduk ini dijangka meningkat kepada 28.9 juta pada 2010 dengan kadar purata pertumbuhan 2.2 peratus setahun (Fatimah Saad, 2005). Kumpulan umur 15-64 tahun membentuk 62.9 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia diikuti 0-14 tahun (32.9 peratus) dan berumur 65 tahun dan lebih (4.2 peratus). Manakala penduduk bandar semakin meningkat dari 34.2 peratus (1980) kepada 62.8 peratus (2004). Pertambahan ini adalah disebabkan pelbagai faktor seperti perbandaran, peluang pekerjaan dan tahap pendidikan yang lebih baik.
 1980199120002004
Penduduk Pertengahan Tahun1juta13.8818.5523.2725.58
Kumpulan Umur     
 0-14%39.937.233.332.9
15-64%56.559.262.862.9
64 dan lebih%3.63.63.94.2
Penduduk Bandar%34.250.762.062.8
Penduduk Luar Bandar%65.849.338.037.2
Jadual 3 : Ringkasan Perangkaan Penduduk. Anggaran penduduk tahun 2003 dan 2004 adalah berdasarkan kepada data Banci Penduduk dan Perumahan 2000 yang telah disesuaikan kadar-kadar kurang penghitungan. Sumber : Jabatan Perangkaan Malaysia

Pembangunan pesat bandar-bandar di Malaysia telah melebarkan kawasan penempatan. Kemungkinan 15 tahun yang akan datang penduduk di bandar akan meningkat lebih banyak kesan daripada dasar kerajaan yang hendak menjadikan Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020. Perubahan ini sedang berlaku sedikit demi sedikit dari utara hingga ke selatan dan timur Malaysia. Kawasan bandar ini telah mengubah corak tradisional masyarakat kampung kepada metropolitan yang memberi kesan terhadap pengaruh politik, pembangunan fizial dan pengenalan sosial. Contoh yang mudah ialah struktur rumah di bandar sangat berbeza dengan kampung iaitu pembinaan rumah sangat rapat dan tidak ada ruangan yang mencukupi untuk interaksi sosial di kalangan keluarga di luar rumah.

Perkembangan perbandaran turut mengambil tempat dalam perubahan struktur ekonomi dan menjadi punca terhadap perubahan sikap dan sistem nilai. Amalan agama masih kuat di kawasan luar bandar dan boleh dilihat kerana masyarakatnya berpegang kuat pada nilai dan tradisi sedia ada. Walau bagaimanapun keadaan ini tidak banyak membawa makna kepada kehidupan bandar kerana nilai dan sikap yang telah berubah. Pertumbuhan ekonomi menyebabkan kebergantungan terhadap keperluan mencari wang diutamakan walaupun terpaksa mengorbankan nilai dan budaya sebelumnya.
Langkah utama mengatasi masalah sosial di Malaysia ialah sentiasa menambahbaik sistem pendidikan supaya menjadikan nilai sebagai teras. Seorang pakar pendidikan, Musgrave (1978) dalam bukunya The Moral Curriculum : A Sociological Analysis menegaskan agenda penting pendidikan dalam sesebuah negara haruslah merangkumi usaha membangunkan aspek-aspek moral individu dan masyarakat.
Manakala seorang pengkaji pendidikan dan kemasyarakatan Lickona turut bersetuju bahawa penekanan tradisional pendidikan ialah mencorakkan perkembangan dan pembentukan watak seseorang bagi melahirkan individu yang baik.
Sekolah adalah institusi penting dalam pembentukan nilai kerana para pelajar menghabiskan masa selama enam hingga lapan jam sehari di situ. Para pelajar tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang mempelajari nilai-nilai baru setiap hari dalam aktiviti yang dilakukan bersama. Mereka belajar tentang peraturan, menghormati, kasih sayang, etika dan kerjasama melalui silibus pendidikan yang dibentuk secara berhati-hati, diajar oleh guru yang terlatih dan melalui proses komunikasi setiap hari. Perkara pokok dalam pembentukan nilai ini ialah pendidikan nilai tidak boleh dihalang oleh sesiapa sahaja walaupun ia cuba berbuat demikian. Sebaliknya nilai ini perlu didedahkan dengan sebaik-baiknya.
Kepentingan pendidikan dan persekolahan sebagai institusi sosial yang membentuk nilai disokong kuat oleh Narol (1983) yang mengemukakan Teori Moral Order. Beliau menganggap masalah sosial yang berlaku boleh diatasi jika wujud moral order atau tatacara moral yang mempengaruhi situasi dan mendasari segala masalah sosial manusia. Oleh itu institusi sekolah berperanan menegakkan moral order ini khususnya golongan remaja. Sekolah sebagai institusi pendidikan formal merupakan agen yang bertanggungjawab memindahkan nilai-nilai masyarakat kepada kanak-kanak dan generasi muda.
Kekuatan dan kehebatan sesuatu masyarakat dan negara banyak bergantung kepada perubahan nilai yang berlaku. Mahu ataupun tidak, pendidikan adalah faktor utama bagi membina dan menanam nilai-nilai positif yang akan mendorong kepada kemajuan sosial negara. Pendidikan yang dilihat sebagai agen perubahan sosial wajar berkembang selari dengan perubahan ekonomi, politik dan teknologi semasa supaya nilai-nilai yang sedia ada boleh ikut selari dengan perubahan-perubahan tersebut.
Golongan muda harus didedahkan dengan nilai-nilai yang baik dan diterima oleh masyarakat sejak kecil lagi. Walaupun keluarga adalah penentu masa depan anak-anak, dengan peningkatan masalah sosial hari ini yang melibatkan remaja, timbul persoalan sama ada keluarga mempunyai cukup kekuatan bagi membentuk adab dan akhlak yang mulia pada anak-anak. Di sinilah peranan kerajaan yang harus bertanggungjawab mengatasi masalah sosial ini melalui pendidikan formal, penguatkuasaan dan pemulihan.
Sebagai sebuah negara yang sedang meningkat maju, Malaysia harus bijak menyusun pembangunan dan pemodenan supaya masalah sosial ini tidak akan mengganggu kesejahteraan dan kebahagian masyarakat keseluruhannya

Media Massa

Hanya untuk perkongsian : dari laman web http://ummatanwasatan.net



Peranan media dalam pembangunan negara


Oleh MOHD KHAIRI WAN ALI
Apabila disebut media, apa yang akan tergambar di minda warga Malaysia kini ialah blog dan bloggers. Blog, salah satu daripada bentuk komunikasi media letronik, menjadi begitu hangat diperkatakan adalah kerana kenyataan yang dibuat oleh pihak kerajaan, yang mendapati blog danbloggers (individu atau sekumpulan yang mempunyai dan menjadi pengamal laman blog internet) mempengaruhi orang ramai dalam menentukan kemenangan pada seseorang calon pilihan raya.
Kenyataan peri pengaruhnya blog ini seterusnya disahkan lagi apabila Barack Obama difaktakan sebagai menggunakan laman blog untuk meraih kemenangan dalam pemilihan presiden Amerika yang lalu. Kini, media yang sama – blog – dijadikan sebagai antara bentuk komunikasi terpenting dalam merapatkan hubungan diplomatik antarabangsa, apabila Obama menghantar utusan ucapan menyambut hari ulang tahun Revolusi Iran, melalui blog. Begitulah juga dengan Israel.
Sesiapa yang mempunyai luangan masa dan melawati blog-blog yang ada, mereka akan mempunyai maklumat, berita, fakta, pandangan, komen, kritikan, hujahan dan sebagainya selain blog yang khusus dalam bidang fotografi, pendidikan, sains, agro, robot, ikan, tisu kultur, dan… apa saja yang ada dalam persada ilmu dan pengetahuan masa kini.
Dengan spektrum peranan media yang sebegini luas, terkini, terarah, dan fokus, dan dapat disebarkan pula dalam sekelip mata ataupun hanya dengan jejari, sudah tentu impaknya amat besar terhadap masyarakat, hatta negara.
Dasar Langit Terbuka, ternyata bukan saja merancakkan lagi sebaran dan tebaran ilmu serta maklumat dan pengetahuan melalui media, tetapi turut menyulitkan usaha untuk mengawalnya.Dunia tanpa sempadan, global, telus dan bermaklumat, yang bergerak di atas landasan kebebasan bersuara, hak asasi manusia, terutamanya paksi manusia adalah bersaudara, menjanjikan suatu pembaharuan dan perubahan bakal berlaku dalam satu-satu masyarakat, juga negara.
Sememangnya, menjadi hasrat dan cita-cita mana-mana negara untuk memanfaatkan media ini bagi pembangunan negara. Jika ada negara yang menafikannya, maka tunggulah pelbagai tindakan, baik dari pihak kerajaan mahupun NGO terutamanya, yang akan bangkit membangkang dan menentangnya. Terpentingnya, suara penentangan ini tersebar dalam beberapa saat saja, dan ruang sebarannya adalah seluruh dunia!
Bagi negara seperti Malaysia, yang masih lagi berusaha untuk menjadi sebuah negara yang maju, dan mesti terus kekal membangun dari segi ekonominya, peranan media menjadi semakin ditagih. Tujuannya ialah untuk pembangunan negara… dan status negara-bangsa yang tertempel bersamanya, menjadikan usaha menarik peranan media ke dimensi pembangunan negara bangsa begitu mencabar.
Sebabnya, Malaysia adalah sebuah negara yang agak unik. Pertamanya, Malaysia adalah pada asalnya negara bangsa Melayu, tetapi mempunyai warganegara yang berasal daripada keturunan lain seperti Cina dan India.
Keduanya, selepas 50 tahun memerintah sendiri, rakyatnya yang berbilang itu, sudah bertukar wajah, selaras dengan perubahan di negara-negara lain, terutamanya Barat yang juga mempunyai kisah kerakyatan yang sama. Mereka menuntut supaya mereka dilayan setaraf dengan bangsa Melayu kerana walaupun mereka berketurunan pendatang, mereka telah dilahirkan di Malaysia.
Ketiganya, alunan hak asasi manusia sejagat, keadilan, kesamarataan, keterbukaan, merupakan arus mega bertaraf global semasa. Ini diikuti oleh penentangan terhadap diskriminasi dan korupsi, yang begitu popular di negara-negara yang masih dalam program pembangunan. Projek dan program kemajuan yang dilaksanakan begitu banyak, besar dan serentak. Ini mengundang masalah dalam pelaksanaan, dan terbuka kepada pelbagai rupa korupsi dan kroni. Apatah lagi, apabila mereka yang terbabit dalam barah pembangunan negara ini ialah para pemimpin dan warga politik utama negara.
Penggabungan ketiga-tiga fakta di atas menjadikan wajah warganegara Malaysia terdiri daripada pelbagai faction (puak). Antaranya ialah:
-      puak yang mempertahankan hak bangsa asal – Melayu dan bumiputera lain;
-      puak yang menuntut supaya negara-bangsa Malaysia menjadi milik warganegara Malaysia secara totalnya, iaitu bangsa Malaysia;
-      puak campuran, iaitu yang terdiri dari golongan Melayu yang sudah bersedia untuk menerima warga lain sebagai taraf yang sama;
-      menerima warga lain sebagai taraf yang sama; dan
-      puak yang mengasaskan perjuangan berteraskan kemanusiaan, dan bersedia menerima nilai-nilai agama.
Dengan yang demikian, pembangunan negara-bangsa di Malaysia, menjadi begitu penting dan besar. Bahkan berada di persada teratas daripada pelbagai agenda lain. Berbekalkan taraf pendidikan yang ada, ruang kebebasan yang diizinkan, dan kehadiran kecanggihan media yang sedia terhidang dan sering diperkasakan, maka peranan mereka yang terlibat dalam media massa begitu besar dan penting, terutamanya menjaga negara terus membangun dan dapat dinikmati oleh semua rakyat.
Ini menjadikan pemain media ini perlulah terdiri daripada mereka yang benar-benar berkelayakan. Mereka ini perlu mempunyai kefahaman mendalam tentang kenegaraan; mempunyai pengetahuan yang luas dalam hal pentadbiran dan pemerintahan termasuklah undang-undang, khususnya Perlembagaan.
Aspek di atas hanyalah untuk mengatasi atau menjawab isu-isu semasa yang dicetuskan oleh pelbagai pihak, terutamanya cetusan negatif dari golongan pembangkang dan penentang kerajaan, yang ‘terpelihara’ akibat ruang demokrasi, yakni ruang fahaman politik kenegaraan Malaysia.
Bagi aspek-aspek yang lebih mendasar ialah falsafah, ideologi, dan pemikiran, yang menjadi premis utama untuk melihat negara terus membangun di atas paksi dan landasan yang kukuh, tahan lasak dan berpanjangan.  Ini diperlukan kerana cabaran semasa juga perlu difahami. Lagipun, cabaran semasa ini boleh merencatkan segala strategi dan perancangan yang telah dilakarkan, yang bererti hanya jauhari yang kenal manikam.
Biasanya, aspek yang mendasar inilah yang sukar difahami oleh massa, dan pengamal media pula akan mudah terpesona dengan pejuang-pejuang politik yang dangkal, berkepentingan dan tidak faham pun tentang kenegaraan. Ini boleh bukan saja membantut pembangunan, malah mengancam kedaulatan negara itu sendiri. Sebabnya, anasir luar amat berminat untuk membiayai mereka yang mudah lupa daratan dan kulit asalnya.
Pengamal media mesti mampu mengenalinya demi pembangunan negara-bangsa

Tuesday, May 10, 2011

Perubahan Iklim

Sumber : http://www.konsumerkini.net.my
KESAN PERUBAHAN IKLIM DAN BANJIR KEPADA PENGGUNA
 
Pada 16 Februari 2011, ahli sains telah membentangkan dua buah jurnal sains yang membuktikan bahawa perlakuan manusia mempunyai kaitan dengan kejadian banjir dan perubahan iklim. Laporan tersebut mengatakan bahawa pemanasan global dan perubahan iklim akan menyumbang kepada peningkatan sebanyak 20 peratus kejadian banjir yang berlaku di seluruh dunia.

Berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh nstitut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), perubahan iklim telah menyebabkan corak hujan di Malaysia berubah. Di bahagian tengah dan selatan Semenanjung Malaysia, lebih banyak hujan akan turun dan tertumpu pada kawasan-kawasan tertentu sahaja, berbanding kepada pada masa dahulu yang tersebar luas di seluruh kawasan. Salah satu contoh adalah hujan lebat dan banjir besar yang berlaku di Johor pada akhir tahun 2006. Catatan hujan yang turun di Johor Bahru mencapai 289mm dalam masa sehari sahaja, iaitu catatan jumlah isipadu hujan yang turun di Johor Bahru iaitu 2400mm setahun.

Terdapat banyak sebab yang menyumbang kepada peningkatan kejadian banjir di Malaysia.
Kebanyakan sebab-sebab ini berpunca daripada perubahan iklim dan projek-projek mitigasi banjir yang kurang berkesan. Fenomena La Nina yang kerap kali berlaku semenjak beberapa tahun kebelakangan ini telah membawa lebih banyak hujan ke negara ini. Hujan yang turun sangat lebat dalam masa yang singkat dan tertumpu kepada satu-satu kawasan. Keadaan ini telah menyebabkan sistem perparitan yang sedia ada tidak dapat menampung isipadu air hujan yang tinggi. Sungai-sungai tidak dapat menampung air hujan tersebut sehingga melimpah, dan akhirnya banjir berlaku. Selain itu, sampah sarap juga dibuang ke dalam sungai oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah menyebabkan sungai tercemar dan tersekat.

Menurut kajian Jabatan Meteorologi Malaysia, corak cuaca sekarang memang sukar untuk diramalkan. Punca utama berlakunya banjir adalah disebabkan oleh cuaca. Namun, kesannya telah jelas dapat dilihat di hadapan mata. Pada awal bulan ini kejadian banjir besar telah melanda hampir keseluruhan bahagian di bahagian selatan Semenanjung Malaysia.

Hujan lebat yang berpanjangan telah menyebabkan sungai-sungai di kawasan tersebut melimpah dan menyebabkan banjir berlaku. Kawasan yang paling teruk terjejas adalah Johor yang menyebabkan hampir 40,000 penduduk terpaksa berpindah ke pusat permindahan banjir sementara. Banjir ini juga mengingatkan mimpi ngeri penduduk Johor yang dilanda banjir besar pada tahun 2006/2007. Mujurnya, banjir besar 2006/2007 telah mengajar penduduk-penduduk tersebut untuk lebih berwaspada terhadap banjir besar. Oleh itu kerugian yang dialami semasa banjir besar awal bulan ini tidaklah teruk sangat.

Kesan banjir besar awal bulan ini amat dirasai kerana ia berlaku semasa sambutan perayaan Tahun Baru Cina. Ramai yang ingin balik kampung di bahagian selatan Semenanjung Malaysia terpaksa membatalkan rancangan mereka kerana landasan kereta api dan jalan raya telah ditenggelami air.

Selain itu, harga barangan juga naik disebabkan bekalan yang tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan di pasaran. Salah satu contoh lagi ialah banjir besar yang berlaku di Pantai Timur Australia. Banjir besar tersebut telah menyebabkan tapak penggalian arang batu tertutup dan menyebabkan kerosakan hingga berbilion dollar Amerika. Bencana alam yang berlaku di negara maju tersebut turut menunjukkan bahawa bencana yang berkait rapat dengan iklim ini boleh berlaku di mana-mana sahaja, tanpa mengira status negara tersebut.

Sebagai salah negara yang mengimpot arang batu daripada Australia, Malaysia terpaksa mencari negara yang lain untuk membekalkan arang batu untuk keperluan penjanaan tenaga negara. Ini menyebabkan kos penghasilan tenaga meningkat.

Untuk mengatasi isu banjir ini , peranan kerajaan amat penting. Projek Mitigasi Banjir di kawasan ”hotspot” banjir yang telah dirancang seharusnya disiapkan dalam masa yang paling singkat. Selain itu, maklumat-maklumat semasa berlaku banjir besar amatlah diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir dan agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab. Sistem penyebaran maklumat ini haruslah dipastikan supaya tidak tergendala semasa berlakunya banjir. Sistem amaran banjir sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga perlu dilaksanakan dan disiapkan pada masa yang ditetapkan.

Kedua ialah peranan pengguna. Salah satu tanggungjawab pengguna adalah tanggungjawab terhadap alam sekitar. Pengguna harus menjaga kebersihan sungai kerana ia merupakan sistem perparitan semula jadi dan membekalkan air minuman. Sampah yang dibuang ke dalam sungai hanya akan menyebabkannya pencemaran dan boleh menyebabkan masalah tersumbat. Apabila ia tersumbat, ia akan hilang fungsinya dan menyebabkan banjir. Di samping itu, pengguna juga seharusnya berani memberi kritikan yang membina dan membuat aduan kepada pihak yang berkuasa apabila mendapati tiada apa-apa usaha yang dijalankan bagi mengatasi banjir ini.

Ketiga adalah peranan pihak swasta. Pihak swasta terutamanya syarikat pembekal air hendaklah memainkan peranan yang lebih aktif dalam rancangan pencegahan banjir kerana mereka merupakan pakar dalam bidang ini. Selain itu, mereka juga harus memastikan air minuman yang bersih masih dapat dibekalkan kepada penduduk-penduduk apabila berlakunya kejadian banjir.

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia



       

Pembuangan Bayi

Sumber : Dewan Masyarakat

Pembuangan Bayi Meninggalkan Kesan yang Parah

Penulis tertarik untuk memberi maklum balas terhadap rencana “Apabila Hilangnya Sifat Kemanusiaan …” oleh Aninah Janang dalam Dewan Masyarakat April 2010. Penulis bersetuju dengan Aninah yang menggambarkan masalah pembuangan bayi merupakan penyakit sosial segelintir masyarakat kita yang tandus nilai kemanusiaan. Masalah ini tidak sepatutnya berlaku di negara kita yang berpegang pada agama sebagai tunjangnya.

Kes pembuangan bayi diibaratkan sebagai penyakit sosial yang akan membelenggu negara kita daripada menjadi masyarakat yang bersifat penyayang yang merupakan salah satu daripada sembilan cabaran wawasan 2020. Pembangunan dari segi kerohanian pasti terbantut disebabkan nilai kemanusiaan diketepikan.

Penyakit sosial ini turut mencerminkan kerapuhan pegangan agama dan ketandusan nilai kemanusiaan segelintir anggota masyarakat sehingga keliru antara amalan yang mulia dan yang berdosa. Sebenarnya, setiap manusia yang hidup memang mendapat dorongan dan panduan daripada agama masing-masing. Nilai murni sentiasa diberikan penekanan. Malangnya nafsu dan perasaan negatif telah mengaburi jiwa dan minda manusia sehingga bertindak di luar batasan kemanusiaan.

Bayi merupakan golongan yang tidak berdosa. Bayi ibarat sehelai kain putih dan memerlukan kesabaran dan ketelitian orang dewasa untuk mencorakkannya. Mereka mestilah dijaga dengan penuh kasih sayang. Janganlah manusia bertindak mengikut perasaan dan berlaku zalim terhadap mereka. Perlu disedari bahawa mereka akan membesar dan menjadi dewasa, seterusnya menjadi peneraju yang membawa hala tuju negara.Lantaran itu, menjadi satu kerugian kepada negara apabila masalah pembuangan bayi semakin berleluasa.

Memandangkan masalah pembuangan bayi meninggalkan kesan buruk dalam masyarakat, pelbagai langkah dan inisiatif perlu diambil bagi membendung penyakit sosial ini. Ibu bapa mestilah memainkan peranan yang sewajarnya terhadap anak-anak dari sudut pergaulan sesama rakan agar tidak melampaui batas. Nilai murni dan kemanusiaan serta pegangan agama yang kukuh haruslah disalurkan dalam jiwa anak-anak sejak mereka kecil kerana melentur buluh biarlah ketika rebungnya. Insan yang berakhlak mulia sejak kecil pasti tidak sanggup bertindak di luar norma kehidupan untuk melakukan sesuatu perlakuan yang negatif. Selain itu, pendedahan kepada pendidikan moral dan agama merupakan langkah yang wajar kerana dapat menerapkan nilai-nilai mulia.

Undang-undang bagi kes pembuangan bayi mesti diperketat lagi. Hukuman juga mestilah setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan. Tindakan perundangan ini diharap dapat memberi kesedaran kepada segelintir masyarakat supaya tidak melakukan sesuatu dengan sesuka hati.

Kesimpulannya, negara kita yang sedang membangun pasti tidak dapat mencapai pembangunan yang sebenar jika gejala sosial tersebut terus berlaku. Pembangunan fizikal haruslah diseimbangkan dengan pembangunan nilai kemanusiaan sebagai tunjangnya demi membawa kesejahteraan dan keharmonian yang sebenar kepada masyarakat sejagat.





Loh Chun Chuan
Pulau Pinang
.

 

Kebanjiran Warga Asing

Sumber : Dewan Masyarakat

Kebanjiran Warga Asing Mendatangkan Keburukan?

Penulis terpanggil untuk memberikan pendapat dalam kolum “Mengapa Malaysia Dibanjiri Warga Asing” dalam Dewan Masyarakat keluaran April 2010.

Pembangunan yang pesat di negara ini telah membuka peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor. Bidang perindustrian dan perkilangan merupakan sektor yang memerlukan jumlah pekerja yang banyak. Memandangkan rakyat tempatan tidak berminat dalam sektor berkenaan kerana gaji yang ditawarkan sedikit atau pihak berkenaan ingin mengurangkan kos, maka pekerja asing menjadi tumpuan mereka.

Tidak dapat dinafikan pekerja asing telah membantu masyarakat Malaysia dalam melengkapkan visi dan misi pembangunan negara. Namun begitu, kebanjiran pekerja asing juga menyebabkan negara ini mengalami kerugian. Pelbagai masalah timbul disebabkan kebanjiran pekerja asing. Antaranya ialah masalah tempat tinggal. Segelintir majikan menyediakan tempat tinggal kepada pekerjanya, manakala sebahagiannya tidak. Ini menyebabkan penempatan setinggan kian bertambah dan menimbulkan suasana pemandangan yang jelek.

Sekiranya pelancong asing melihat pemandangan yang kotor serta kedaifan dan kemiskinan warga asing yang mendiami kawasan tersebut, pastinya mereka beranggapan bahawa Malaysia sebuah negara miskin dan mengamalkan budaya hidup yang tidak sihat. Situasi seumpama ini mendatangkan kesan yang negatif dari sudut kehadiran pelancong, seterusnya menjatuhkan imej negara di mata dunia.

Kehadiran pekerja asing di negara kita juga antara penyebab kadar jenayah semakin meningkat. Perkara sebegini pasti mendatangkan kebimbangan dan kerisauan masyarakat kerana keselamatan mereka tergugat. Kes kecurian, pergaduhan dan pembunuhan sering berlaku akhir-akhir ini. Kegiatan pelacuran dan perdagangan manusia juga semakin meningkat.

Selain itu, negara kita menanggung kerugian lebih daripada RM4 bilion melalui aliran keluar mata wang secara besar-besaran oleh pekerja asing yang menghantar wang kepada keluarga mereka. Hal ini menjejaskan imbangan pembayaran negara dan membantutkan perkembangan ekonomi negara. Manakala dari segi putaran modal pula, negara mengalami kerugian kerana kebanyakan wang yang dikeluarkan dalam bentuk gaji tidak digunakan untuk dibelanjakan di negara ini. Pihak hospital juga turut menanggung kerugian kerana ramai antara pekerja asing tidak melunaskan bil tuntutan yang dikenakan ke atas mereka. Sebagai contoh, pada 2006, pihak hospital di seluruh negara mengalami kerugian sebanyak RM6.75 juta bil hospital yang belum dibayar oleh pekerja asing. Manakala pada 2007, jumlahnya semakin meningkat kepada RM7.17 juta.

Kesimpulannya, walaupun kita tidak mampu untuk mengawal jumlah kemasukan pendatang asing, namun tindakan yang tegas dan bijaksana harus diambil oleh pihak kerajaan untuk menangani kebanjiran warga asing ini, agar memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Malaysia seluruhnya terus terpelihara.


Muhammad Zahid Mohd. Zain
Pasir Mas, Kelantan
.

 



Sunday, April 24, 2011

Perspektif Wawasan 2020

Isu Utama yang Harus Dihadapi Bagi Membolehkan Malaysia 
Mencapai Taraf Negara Maju

Rujukan Artikel : http://pmr.penerangan.gov.my

(i)  Pembentukan Satu Negara Bangsa Malaysia 
Konsep satu negara bangsa mempunyai makna yang dalam kerana ia bermaksud sebuah negara berdaulat yang rakyatnya tidak dapat diidentifikasikan melalui kaum, keturunan atau warna kulit. Pembentukan satu negara bangsa adalah menjadi pra-syarat kepada kemajuan kerana tanpa rakyatnya mempunyai satu pemikiran terhadap satu negara dan bangsa, sebarang bentuk kerjasama untuk maju tidak akan terjalin. Bagi mengisi konsep ini istilah seperti perpaduan negara, kesetiaan kepada negara, keharmonian dan toleransi perlulah difahami dan diamalkan.
(ii)  Negara Perindustrian 
Negara yang telah berjaya mengubah corak ekonomi dan kehidupannya daripada pertanian kepada perindustrian adalah mempunyai status negara maju. Wawasan 2020 berkehendakkan rakyat Malaysia meneruskan proses transformasi ini yang telah dimulakan sejak merdeka lagi kerana pencapaian sekarang masih lagi di pertengahan jalan. Ini adalah kerana proses ini bukan sahaja melibatkan transformasi daripada kehidupan bertani kepada perindustrian malah ia juga melibatkan perubahan teknologi, ekonomi, sosial dan kebudayaan.   
Masyarakat negara maju adalah masyarakat yang didokong oleh kemahiran dan kepakaran sains dan teknologi yang tinggi yang bukan setakat boleh mencedok atau mengubahsuai sahaja tetapi ia mestilah boleh mencipta, menambah dan memperbaharui. Bagi mencapai taraf negara perindustrian pertumbuhan ekonomi yang amat pesat amatlah penting. Ia sudah tentunya berkait dengan sumbangan sektor perdagangan dan komersial yang secara langsung melibatkan soal modal, pelaburan, daya saing, kualiti tenaga kerja, berdikari dan kekentalan menghadapi cabaran-cabaran. Di peringkat ini peranan sektor swasta amatlah besar kerana ia akan menjadi jentera Pertumbuhan.
   
(iii)  Keadilan Ekonomi dan Sosial 
Penwujudan satu masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi dan sosial memang tidak dapat disangkal sebagai satu cabaran besar yang perlu dihadapi bagi penwujudan satu negara maju dan bersatu. Ini ialah kerana dalam sebuah negara maju tidak patut wujud keadaan di mana satu golongan rakyat mempunyai segala-galanya sedangkan satu golongan lagi tercicir.
Pernyataan Wawasan ini adalah mempakan penegasan semula keatas isu yang sentiasa diberi dan meminta perhatian utama iaitu pembasmian kemiskinan, keseimbangan sosioekonomi di antara kaum, di antara wilayah, di antara negeri dan diantara bandar dan luar bandar. Dalam konteks ini Wawasan 2020 sebenarnya telah meminta semua rakyat Malaysia tidak salah tafsir terhadap bantuan yang diberikan kepada sesuatu kaum golongan sebagai tidak adil, sebaliknya hendaklah menganggapnya sebagai satu usaha bagi memperbaiki ketidak-adilan. Kesungguhan bagi mencapai tahap keseimbangan ini seterusnya telah diterjemahkan ke dalam objektif Dasar Pembangunan Nasional dan dilaksanakan melalui program dan projek Rancangan Malaysia Keenam.
(iv)  Moral dan Etika 
Berlainan dengan konsep negara maju yang ada sekarang yang lebih bercirikan kebendaan, negara maju ala-Malaysia yang dicita-citakan seharusnyalah berpegang kepada falsafah moral dan etika yang tinggi berasaskan kepercayaan agama. Penganutan falsafah ini adalah penting kerana kemajuan kebendaan tanpa nilai-nilai moral dan etika tidak akan mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian yang berkekalan sebaliknya banyak membawa keburukan. Pengamalan nilai-nilai murni (seperti di dalam Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam) akan menjadi faktor penghalang dalaman untuk tidak menyalahgunakan kemahiran atau kekayaan yang dimiliki.
(v)  Pembangunan Masyarakat Berdasarkan Sistem Kekeluargaan 
Wawasan ini telah mengetengahkan perkara pokok sistem sosial iaitu pembangunan keluarga berdasarkan hakikat bahawa keluarga menjadi asas pembentukan masyarakat dan masyarakat pula menjadi asas pembinaan negara. Ini membawa maksud bahawa kekuatan dan kemajuan sesebuah negara itu bermula dan terletak pada keluarga dan masyarakat. Penegasan ini amatlah benar kerana keluarga (rumah tangga) dan masyarakatlah yang mencorakkan kualiti individu yang menjadi rakyat dan pemimpin sesebuah negara. Budaya bangsa yang merangkumi sistem nilai dan cara hidup (termasuk masyarakat penyayang dan budaya menyayangi) sebagaimana yang dicita-citakan dalam Wawasan ini hendaklah digerakkan dari awal lagi dan ini memerlukan rakyat menyedari kepentingan institusi keluarga dalam memajukan negara dan mengambil langkah-langkah perlu bagi mewujudkan keluarga dan masyarakat yang sempurna   . 

Penutup
Sekali imbas Wawasan 2020 seolah-olah merupakan wawasan ekonomi semata-mata kerana ia mementingkan persoalan pembangunan ekonomi untuk Malaysia menjadi negara perindustrian, tetapi jika dihalusi ia sebenarnya lebih daripada itu oleh kerana ia juga menyentuh perkara-perkara berkaitan dengan aspek sosial dan cara hidup seperti pembentukan dan keperibadian bangsa, moral dan etika, kebudayaan kebangsaan, pembangunan sumber manusia dan lain-lain.
Wawasan 2020 bukanlah slogan untuk dilaung-laungkan, tetapi ia lebih merupakan rangka kerja tindakan framework of action bagi setiap rakyat untuk mengambil langkah-langkah tertentu bagi memastikan Malaysia menjadi negara yang benar-benar maju dan makmur. Dalam konteks ini Wawasan tersebut memerlukan beberapa perisian penting, di antaranya ialah kualiti tenaga kerja yang dihasilkan oleh sistem pendidikan, perubahan sikap dan nilai, penekanan keada sains dan teknologi, perancangan, dan peranan sektor swasta yang lebih dinamik.

Monday, March 21, 2011

Bencana Alam Dan Kesannya (Laman Web haluan.org.my)

Pengurusan Bencana Alam dan Kesannya Kepada Pembangunan Sosial

Masyarakat tidak sepatutnya terlalu alpa dengan keamanan dan kestabilan negara. Bencana tsunami yang melanda kawasan Lautan Hindi pada 26 Disember 2004 telah memberi pelbagai pengajaran dan pengalaman pahit kepada negara-negara yang terlibat. Seluruh dunia amat terkejut dengan kesan ombak maut ini yang bukan sahaja telah mengakibatkan banyak kematian tetapi juga memusnahkan bandar, pekan dan kampung serta mempunyai implikasi sosial yang begitu dahsyat terhadap mangsa, keluarga, masyarakat dan negara. Dilaporkan lebih 250,000 orang telah terkorban, ribuan lagi masih hilang dan ramai yang cedera serta tersentak dengan kepiluan dan kesedihan. Dianggarkan lebih lima juta orang telah kehilangan tempat tinggal dan rumah kediaman di Indodonesia, Sri Lanka, India, Thailand, Malaysia, Filipina dan negara-negara kecil di Lautan Hindi. Kesan daripadanya ialah kelaparan dan penyakit berjangkit telah mula menular di kawasan-kawasan yang dilanda malapetaka tersebut.
Satu pengajaran yang kita semua boleh pelajari adalah persiapan serta cara terbaik untuk menyediakan diri sebelum, semasa dan selepas kejadian bencana. Apa yang kita dapat lihat ialah semasa ombak tsunami mengganas, banyak negara tidak menjangka dan jelas tidak bersedia menghadapi bencana tersebut. Hal ini telah mengakibatkan banyak nyawa terkorban dan berbilion harta benda musnah sama sekali. Kehilangan nyawa yang begitu ramai dan kemusnahan harta benda yang begitu banyak dalam sejarah akibat bencana sebenarnya boleh dielakkan sekiranya kita lebih bersedia menghadapi kejadian ini dengan efisyen dan efektif bukan secara piece-meal dan ad-hoc semata-mata.
Malaysia adalah antara 11 buah negara yang turut terlibat dengan bencana tsunami pada kadar kematian lebih kurang 68 orang dan 40 orang lagi masih dilaporkan hilang. Kita kini sedang menghadapi cabaran baru untuk menangani kesan terhadap mangsa, keluarga dan komuniti yang terlibat dari segi mental, fizikal, psikologikal, sosial dan ekonomi.
Kejadian banjir besar yang berlaku di Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak sejak Disember 2006 hingga Januari 2007 yang lalu telah juga melibatkan kemusnahan yang teruk. Infrastruktur, harta benda, ternakan dan tanaman pertanian mengalami pelbagai jenis kerosakan yang kekal. Tidak dapat disangkal lagi, bencana yang dialami memberi kesan yang buruk terhadap masyarakat dan menjejaskan pembangunan sosial negara.
Di antara cabaran hebat yang perlu dihadapi untuk menangani bencana alam adalah amaran awal, persediaan, usaha menyelamat, pemulihan dan pembinaan semula. Usaha mengurangkan (mitigating efforts) perlu diberi tumpuan agar kesan langsung, jangka sederhana dan jangka panjang bencana dapat dikurangkan ke tahap yang paling minimum. Pengurusan bencana secara sistematik dapat membantu agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan merencanakan persediaan mereka secara profesional. Di negara-negara Barat, terdapat pelbagai jenis agensi yang aktif menawarkan program pencegahan dan panduan bagi menghadapi bencana alam yang tidak sahaja berkisar tentang banjir malah tanah runtuh, gempa bumi, kebakaran dan alam sekitar.
Di Malaysia, kita harus melihat pengurusan bencana sebagai satu bentuk disiplin yang wajar diberi perhatian. Pada peringkat awal, maklumat dan panduan boleh disebarkan seluas-luasnya kepada orang ramai tentang cara terbaik untuk bertindak apabila menghadapi bencana alam. Kempen ini boleh dilaksanakan melalui sekolah dan media massa secara berterusan dari semasa ke semasa. Seminar, bengkel dan forum dapat dirancang bagi membincangkan pengurusan krisis bencana alam dari segi usaha bantuan, menyelamat, pemulihan dan pembinaan semula (relief efforts, rescue, recovery, reconstruction and rehabilitation). Di samping itu, diketengahkan juga kesan-kesan sosial seperti mengurangkan kemusnahan dan kadar kematian (mortality) serta penyakit (morbidity) akibat bencana alam yang berlaku ini.
Sistem pengurusan bencana yang teratur merupakan teras kepada pemulihan emosi dan jiwa mangsa-mangsanya. Usaha mengumpul dana bantuan yang sering dilakukan sekarang perlu dipusatkan dan tidak perlu terlalu banyak karenah birokrasi apabila mangsa-mangsa yang terlibat memohon untuk mendapatkannya. Kesan terlalu banyak sekatan dan kesukaran mendapatkan bantuan daripada tabung seperti ini telah menggerakkan pihak swasta khususnya badan penyiaran swasta dan media cetak untuk mengadakan tabung bantuan mereka sendiri yang sentiasa mendapat sambutan berbanding yang dianjurkan oleh pihak kerajaan kerana maklumat yang cepat dan kemudahcapaian kepada tabung berkenaan.
Bagi menggerakkan peranan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan swasta bersama-sama berganding bahu memperkasa sistem pengurusan bencana alam di Malaysia, persidangan peringkat kebangsaan untuk menguruskan bencana alam ini dapat membantu mewujudkan jaringan pelbagai hala supaya setiap pihak akan lebih bersedia menghadapi cabaran pada masa hadapan. Maklumat daripada persidangan ini boleh dibukukan dalam bentuk prosiding yang lengkap dan diserahkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Yayasan Kebajikan Negara dan Majlis Bencana Alam Negara bagi tindakan susulan.
Haluan Malaysia sedia bersama-sama dengan pihak kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai membantu meringankan beban mangsa-mangsa bencana supaya pembangunan masyarakat tidak terjejas di samping menyumbang kepada pengurusan bencana alam yang profesional di Malaysia.