Oleh MOHD KHAIRI WAN ALI
Apabila disebut media, apa yang akan tergambar di minda warga Malaysia kini ialah blog dan bloggers. Blog, salah satu daripada bentuk komunikasi media letronik, menjadi begitu hangat diperkatakan adalah kerana kenyataan yang dibuat oleh pihak kerajaan, yang mendapati blog danbloggers (individu atau sekumpulan yang mempunyai dan menjadi pengamal laman blog internet) mempengaruhi orang ramai dalam menentukan kemenangan pada seseorang calon pilihan raya.
Kenyataan peri pengaruhnya blog ini seterusnya disahkan lagi apabila Barack Obama difaktakan sebagai menggunakan laman blog untuk meraih kemenangan dalam pemilihan presiden Amerika yang lalu. Kini, media yang sama – blog – dijadikan sebagai antara bentuk komunikasi terpenting dalam merapatkan hubungan diplomatik antarabangsa, apabila Obama menghantar utusan ucapan menyambut hari ulang tahun Revolusi Iran, melalui blog. Begitulah juga dengan Israel.
Sesiapa yang mempunyai luangan masa dan melawati blog-blog yang ada, mereka akan mempunyai maklumat, berita, fakta, pandangan, komen, kritikan, hujahan dan sebagainya selain blog yang khusus dalam bidang fotografi, pendidikan, sains, agro, robot, ikan, tisu kultur, dan… apa saja yang ada dalam persada ilmu dan pengetahuan masa kini.
Dengan spektrum peranan media yang sebegini luas, terkini, terarah, dan fokus, dan dapat disebarkan pula dalam sekelip mata ataupun hanya dengan jejari, sudah tentu impaknya amat besar terhadap masyarakat, hatta negara.
Dasar Langit Terbuka, ternyata bukan saja merancakkan lagi sebaran dan tebaran ilmu serta maklumat dan pengetahuan melalui media, tetapi turut menyulitkan usaha untuk mengawalnya.Dunia tanpa sempadan, global, telus dan bermaklumat, yang bergerak di atas landasan kebebasan bersuara, hak asasi manusia, terutamanya paksi manusia adalah bersaudara, menjanjikan suatu pembaharuan dan perubahan bakal berlaku dalam satu-satu masyarakat, juga negara.
Sememangnya, menjadi hasrat dan cita-cita mana-mana negara untuk memanfaatkan media ini bagi pembangunan negara. Jika ada negara yang menafikannya, maka tunggulah pelbagai tindakan, baik dari pihak kerajaan mahupun NGO terutamanya, yang akan bangkit membangkang dan menentangnya. Terpentingnya, suara penentangan ini tersebar dalam beberapa saat saja, dan ruang sebarannya adalah seluruh dunia!
Bagi negara seperti Malaysia, yang masih lagi berusaha untuk menjadi sebuah negara yang maju, dan mesti terus kekal membangun dari segi ekonominya, peranan media menjadi semakin ditagih. Tujuannya ialah untuk pembangunan negara… dan status negara-bangsa yang tertempel bersamanya, menjadikan usaha menarik peranan media ke dimensi pembangunan negara bangsa begitu mencabar.
Sebabnya, Malaysia adalah sebuah negara yang agak unik. Pertamanya, Malaysia adalah pada asalnya negara bangsa Melayu, tetapi mempunyai warganegara yang berasal daripada keturunan lain seperti Cina dan India.
Keduanya, selepas 50 tahun memerintah sendiri, rakyatnya yang berbilang itu, sudah bertukar wajah, selaras dengan perubahan di negara-negara lain, terutamanya Barat yang juga mempunyai kisah kerakyatan yang sama. Mereka menuntut supaya mereka dilayan setaraf dengan bangsa Melayu kerana walaupun mereka berketurunan pendatang, mereka telah dilahirkan di Malaysia.
Ketiganya, alunan hak asasi manusia sejagat, keadilan, kesamarataan, keterbukaan, merupakan arus mega bertaraf global semasa. Ini diikuti oleh penentangan terhadap diskriminasi dan korupsi, yang begitu popular di negara-negara yang masih dalam program pembangunan. Projek dan program kemajuan yang dilaksanakan begitu banyak, besar dan serentak. Ini mengundang masalah dalam pelaksanaan, dan terbuka kepada pelbagai rupa korupsi dan kroni. Apatah lagi, apabila mereka yang terbabit dalam barah pembangunan negara ini ialah para pemimpin dan warga politik utama negara.
Penggabungan ketiga-tiga fakta di atas menjadikan wajah warganegara Malaysia terdiri daripada pelbagai faction (puak). Antaranya ialah:
- puak yang mempertahankan hak bangsa asal – Melayu dan bumiputera lain;
- puak yang menuntut supaya negara-bangsa Malaysia menjadi milik warganegara Malaysia secara totalnya, iaitu bangsa Malaysia;
- puak campuran, iaitu yang terdiri dari golongan Melayu yang sudah bersedia untuk menerima warga lain sebagai taraf yang sama;
- menerima warga lain sebagai taraf yang sama; dan
- puak yang mengasaskan perjuangan berteraskan kemanusiaan, dan bersedia menerima nilai-nilai agama.
Dengan yang demikian, pembangunan negara-bangsa di Malaysia, menjadi begitu penting dan besar. Bahkan berada di persada teratas daripada pelbagai agenda lain. Berbekalkan taraf pendidikan yang ada, ruang kebebasan yang diizinkan, dan kehadiran kecanggihan media yang sedia terhidang dan sering diperkasakan, maka peranan mereka yang terlibat dalam media massa begitu besar dan penting, terutamanya menjaga negara terus membangun dan dapat dinikmati oleh semua rakyat.
Ini menjadikan pemain media ini perlulah terdiri daripada mereka yang benar-benar berkelayakan. Mereka ini perlu mempunyai kefahaman mendalam tentang kenegaraan; mempunyai pengetahuan yang luas dalam hal pentadbiran dan pemerintahan termasuklah undang-undang, khususnya Perlembagaan.
Aspek di atas hanyalah untuk mengatasi atau menjawab isu-isu semasa yang dicetuskan oleh pelbagai pihak, terutamanya cetusan negatif dari golongan pembangkang dan penentang kerajaan, yang ‘terpelihara’ akibat ruang demokrasi, yakni ruang fahaman politik kenegaraan Malaysia.
Bagi aspek-aspek yang lebih mendasar ialah falsafah, ideologi, dan pemikiran, yang menjadi premis utama untuk melihat negara terus membangun di atas paksi dan landasan yang kukuh, tahan lasak dan berpanjangan. Ini diperlukan kerana cabaran semasa juga perlu difahami. Lagipun, cabaran semasa ini boleh merencatkan segala strategi dan perancangan yang telah dilakarkan, yang bererti hanya jauhari yang kenal manikam.
Biasanya, aspek yang mendasar inilah yang sukar difahami oleh massa, dan pengamal media pula akan mudah terpesona dengan pejuang-pejuang politik yang dangkal, berkepentingan dan tidak faham pun tentang kenegaraan. Ini boleh bukan saja membantut pembangunan, malah mengancam kedaulatan negara itu sendiri. Sebabnya, anasir luar amat berminat untuk membiayai mereka yang mudah lupa daratan dan kulit asalnya.
Pengamal media mesti mampu mengenalinya demi pembangunan negara-bangsa