Tuesday, March 15, 2011

Gangsterisme


Hasil Perbincangan Pelajar di 

PENDAHULUAN
Isu kes gangsterisme di sekolah telah menimbulkan suasana yang tidak selamat di sekolah. Hampir setiap hari di setiap sekolah di serata dunia akan menghadapi masalah dalam kes disiplin pelajar-pelajar mereka . Kes yang paling popular ialah kes buli. Di Malaysia kita boleh lihat sendiri gejala gangsterisme berlaku dalam sesebuah komuniti . Kes ini telah menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat khususnya para ibu bapa. (Oleh : Rokiah Bt.Haidir)

Faktor Yang Mempengaruhi :
Faktor perdana yang menyebabkan gengsterisma kerap berlaku adalah kerana kelemahan peraturan sekolah. Hal ini berlaku kerana pihak pentadbir sekolah memandang enteng terhadap permasalahan yang dilakukan oleh pelajar.Mereke tidak menganalisis kesalahan pelajar setiap kali pelajar melakukan kesalahan. Hal Ini menyebabkan pelajar sering melakukan kesalahan yang berulang.Tambahan pula,pelajar tidak gerun dengan peraturan sekolah.Maka jelaslah,kelemahan peraturan sekolah menyebabkan masalah disiplin yang melibatkan gengsterisme di sekolah semakin meningkat. (Oleh : Irma, Fitriza, Armila)

Selain itu, terdapat juga kalangan remaja yang tidak takut untuk bergiat aktif di dalam aktiviti gengsterisme kerana sikap ibu bapa sendiri yang mengabaikan tanggunggjawab mereka ke atas anak-anak mereka. Keadaan sosial ini boleh mempengaruhi pendidikan anak-anak dari keluarga ini. Masalah lebih rumit di kalangan keluarga yang mempunyai bapa atau ibu tunggal. Pendapatan dari pekerjaan sering tidak mencukupi dan mengharapkan ahli keluarga lain menampung perbelanjaan kehidupan. Ini berbeza dengan bapa tunggal yang lazimnya dilabel sebagai sukar memberi kasih sayang apatah lagi jika mengabaikan tanggungjawab dan peranan sebagai ketua keluarga. Lantaran itu, remaja ini mencari pilihan lain sebagai tempat untuk mendapatkan perhatian, misalnya di kalangan rakan-rakan. (Oleh : Abd. Wahab B. Musa)

Rakan sebaya juga mempunyai pengaruh yang kuat ke atas kehidupan seseorang kerana kesilapan bergaul dengan rakan-rakan yang salah boleh menyebabkan seseorang remaja terkeluar dari kehidupan yang betul malahan penngaruh kuat rakan-rakan ini akan menyebabkan sebilangannya diambil menjadi anggota kumpulan geng ini. Aktiviti mereka bersifat memberontak seperti mengganggu pengajaran guru-guru, ponteng sekolah, merosakkan harta benda sekolah, ketagihan rokok, dadah dan alkohol. Berpegang kepada ideologi kumpulan menyebabkan masing-masing menunjukkan kesetiaan kepada ahli kumpulan dan sering bersama membantu mengatasi sebarang masalah baik yang melibatkan pergaduhan, kewangan atau mempertahankan kesalahan ahli kumpulan sekiranya kegiatan mereka berjaya dikesan. (Oleh : Noria Bt Dairy)

Pada masa yang sama, pengaruh media massa tidak dapat lari dari menjadi agen penyebab kepada masalah gansterisme ini. Hal ini demikian kerana, maklumat yang disiarkan melalui media massa lebih kepada pengaruh negatif. Media massa berbentuk cetakan,ataupun elektronik sukar dikawal pengedarannya. Pengaruh negatif yang dibawa oleh media massa dalam kalangan pelajar susah untuk dikawal. Contohnya, remaja mudah terpengaruh dengan filem, gambar ataupun tayangan yang tidak bermoral dan ganas yang diimport dari negara-negara barat. Oleh yang sedemikian, budaya dan gaya barat yang tidak beretika dipaparkan melalui media massa telah mempengaruhi kehidupan dan tindakan para remaja sekarang.(Latifah Bt Lat)

KESIMPULAN
Gengsterisme merupakan satu fenomena yang dianggap menular di kalangan remaja dewasa ini. Ia dilihat bukan sahaja berkemampuan menghalang pencapaian pelajar remaja malahan boleh mengganggu-gugat perkembangan remaja dalam arus pembangunan negara. Ia perlu ditangani kerana gengsterisme boleh mempengaruhi pembabitan pelajar di dalam kegiatan lain seperti penagihan dadah, ponteng kelas, keciciran sekolah, kekerasan, ketagihan alkohol dan rogol. (Oleh : Abd. Wahab B Musa)

Saturday, March 12, 2011

PENYELIDIKAN DAN PENBANGUNAN (R&D) : Kepentingan & Cabaran

OLEH: AMINAH BTE CHE JENI
SMK Agama Sibu


A)      KEPENTINGAN

i) PENGHASILAN BARANG YANG KREATIF
R&D akan menghasilkan barangan yang kreatif dan  inovatif. Sebagai contohnya Malaysia mampu menghasilkan lampu bijak (smart lamp) yang dapat padam dan menyala secara automatik. Lampu ini kini dihasilkan secara besar-besaran di seluruh dunia.Pasarannya meluas kerana keistimewaannya. R&D Jerman pula Berjaya menghasilkan beg udara (air bag) dalam kereta.Bagi udara ini dapat melindungi pemandu dan penumpang daripada terhentak pada badan kereta semasa kemalangan.Dengan itu keselamatan pemandu dan penumpang lebih terjamin.Kini beg udara ini digunakan secara meluas dalam semua industri automobil.

          ii) PENINGKATAN PRODUKTIVITI
R&D dapat meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos pengeluaran kos pengeluaran. MARDI,melalui R&D, banyak menghasilkan baka padi yang bermutu tinggi, misalnya MK 188 dan MK 189. Tumbesaran beras ini cepat. Hasilnya lumayan dan berkualiti. Daya tahannya terhadap penyakit yang tinggi.Oleh itu,hasil yang tinggi akan menambah pendapatan petani di samping memenuhi permintaan makanan rakyat. Melalaui R&D robot juga dihasilkan untuk menggantikan tenaga manusia. Robot boleh melakukan kerja dengan lebih cekap tanpa dipengaruhi emosi dan keletihan seperti manusia. Kos pengeluaran juga dapat dikurangkan.                  
                       
iii) MEWUJUDKAN TENAGA MANUSIA BERKEMAMPUAN
Malaysia telah memanfaatkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi melalui Koridor Raya Multimedia, menggalakkan pembangunan Industri Teknologi Maklumat, serta mewujudkan tenaga manusia yang berkemampuan untuk memanfaatkan teknologi tersebut.Generasi muda seharusnya mampu untuk memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran,selaras dengan tuntutan suasan ekonomi semasa. Pembangunan tenaga manusia akan menjadi kunci kepada kejayaan Negara pada alaf baharu. Pengeluaran pelbagai sektor ekonomi serta daya saing negara dalam pasaran global akan ditentukan oleh kecekapan dan kemampuan tenaga pekerja, pengurus, pentadbir, dan juga penyelidik, untuk menggerakkan ekonomi.

iv) PELUANG MEMPERKUKUHKAN EKONOMI
Proses globalisasi akan menular ke dalam masyarakat dan ekonomi Malaysia melalui Lebuh Raya Maklumat serta memberi peluang untuk memperkukuhkan ekonomi. Hal ini menggalakkan para saintis dan penyelidik untuk membangunkan inisiatif baharu dalam bidang-bidang pendidikan, perubatan, dan bioteknologi, yang berpotensi dimanfaatkan di peringkat global, sekali gus menaikkan imej Malaysia di mata dunia, berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju.

B) MASALAH MEMBANGUNKAN R&D
i) KOS TINGGI
Pembangunan dalam bidang teknologi maklumat memerlukan kos yang tinggi. Contohnya dalam tahun 80-an Amerika Syarikat telah membelanjakan sebanyak AS$750 billion untuk meningkatkan prasarana atau infrastruktur  yang berkaitan dengan teknologi maklumat. Sudah pasti kos pada hari ini semakin meningkat. Hal ini akan membawa masalah kepada Negara-negara yang tidak mempunyai teknologi maklumat akan ketinggalan dan secara tidak langsung turut menjejaskan aspek-aspek lain yang berkaitan termasuk perkembangan ekonomi. Jadi,pengagihan kekayaan dunia menjadi tidak smbang dan lebih memihak kepada Negara-negara maju yang tentunya menguasai teknologi maklumat.

ii) MASALAH PELAN PEMBANGUNAN NEGERI
Ketiadaan pelan pembangunan ataupun pelan pembangunan negeri yang sudah terlalu lama dan tidak sesuai lagi digunakn (out-dated) merupakan satu masalah bagi menyelaraskan perancangan dan pembangunan bagi seluruh negeri .Contohnya Pulau Pinang mempunyai satu Pelan Induk yang dibuat pada awal tahun 1970-an dan penyediaan Rancangan Struktur Seberang Perai ialah paa pertengahan 1980-an. Oleh tiu, Pelan Induk yang disediakan sudah ‘out dated’ untuk rujukan dan Rancangan Struktur Seberang Perai yang disediakan tidak menggambarkan keselarasan perancangan.

iii) KETIADAAN RANCANGAN STRUKTUR BERSAMA
Akta 172 memperuntukkan kawasan di bawah kuasa tempatan sahaja perlu disediakan pelan struktur dan tidak memperuntukkan kawasan yang tidak mempunyai pihak berkuasa tenpatan. Oleh itu, ini bermakna kawasan yang diliputi oleh pelan-pelan struktur adalah taburan dan tidak selaras. Pihak Berkuasa Tempatan tidak mempunyai kuasa untuk menyediakan Rancanag Struktur secara bersama iaitu dengan mencantumkan beberapa kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dan seterusnya menyediakan satu sahaja Rancangan Struktur.Ini tidak boleh dilakukan kerana peruntukkan didalam Akta 172.

iv) PENYERTAAN AWAM
Daripada pengalaman penyrtaan awam yang lepas,didapati bahawa sambutan orang ramai untuk mengeluarkan pendapat mereka adalah bebitu dingin. Pelan Struktur yang berbentuk kenyataan bertulis denagn matlamat, objektif dan polisi lazimnya sukar difahami oleh masyarakat awam. Akibatnya tindakbalas kepada penyertaan awan amat rendah,umpamanya penyertaan awam dalam Rancangan Strukrur Pulau Pinang, Cuma 2800 orang sahaja yang melawat pameran iaityu kurang daripada 1% penduduk Pulau Pinang. Walau bagaimanapun implikasi daripada campur tangan politik akan membantutkan proses perlaksanaan dan juga akan menimbulakan persoalan sejauh manakah keberkesanan Rancangan Struktur dan Perancangan Tempatan. 
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                     

SUBJEK MATEMATIK : Fungsi & Peranannya

Oleh : Zakwan Mustapha 
SMK Agama Sibu

Matematik bidang ilmu yang sangat penting. Matematik mengajar manusia berfikir secara logik dan menurut bilangannya atau jenisnya tentang sesuatu masalah, biar masalah abstrak mahupun masalah konkrit. Sebenarnya ,tamadun manusia tidak akan berkembang tanpa matematik.


Sebenarnya, matematik sebati dengan kehidupan kita. Dari membilang wang belanja sekolah sehinggalah jumlah wang simpanan dalam bank, kita memerlukan matematik tanpa Tanpa penguasaan ilmu matematik. yang asas kita akan menghadapi kesulitan untuk menjumlahkan perbelanjaan kita. Berfungsi juga sebagai alat pengukuran dan penilaian, konsep masa sembahyang dan perancangan perjalanan juga memerlukan matematik.

Matematik teras kemajuan sains dan teknologi. Penyelidikan dan pembangunan dalam bidang sains dan teknologi di mulakan dengan matematik. Sebagai contohnya, penghasilan tenaga nuklear dan pelancaran satelit memerlukan kiraan matematik yang tepat. Dalam bidang reka bentuk, pakar yang terlibat juga merupakan pakar matematik. Pembinaan bangunan, jambatan, lebuh raya dan kenderaan juga memerlukan kiraan matematik yang jitu. Tegasnya matematik memajukan bidang sains dan teknologi.

Matematik penting dalam bidang sosioekonomi. Pembangunan sosio ekonomi negara juga bergantung pada matematik. Unjuran ekonomi negara di rumuskan melalui formula matematik. Pengumpulan dan penganalisisan data penduduk juga melibatkan ilmu stastistik dalam matematik. Stastistik penting dalam bentuk graf bar, carta pai, dan graf garis tentang pembangunan negara juga mustahil dapat di lakukan tanpa penguasaan matematik. Kadar pertumbuhanan ekonomi juga di hasilkan melalui ilmu ini. Maklumat yang di paparkan lebih mudah difahami. Seterusnya, perancangan untuk membangunkan sosioekonomi negara dapat dijalankan dengan lebih pesat.

Matematik dapat membentuk sikap jujur dan mendukung kebenaran. Matematik bersifat objektif. jawapan kepada setiap masalah matematik adalah tetap dan kita tidak dapat berdolak-dalik tentangnya. Hal ini berlainan daripada subjek yang lain yang bersifat subjektif. Lama-kelamaan, apabila kita biasa dengan hal ini, kita akan bersifat berterus-terang dalam kehidupan kita. Kita tidak mudah berdolak–dalik dan kurang berbohong. Sifat–sifat murni ini penting untuk melahirkan masyarakat yang sempurna. Subjek ini juga mengajar kita untuk berfikir secara logik, objektif dan sistematik.

Matematik mengajar kita semangat bertungkus–lumus dan pantang mengaku kalah. kita mempelajari matematik melalui penyelesaian masalah matematik. Kita tahu bahawa setiap masalah matematik ini ada jawapannya. Selagi belum kita memperoleh jawapan selagi itulah kita harus berusaha. Latihan sedemikian memberi keyakinan kepada kita. Kita sedar bahawa asalkan kita berusaha, kita akan berjaya akhirnya. Oleh itu, semangat bertungkus–lumus dan tidak mudah mengaku kalah dapat dipupuk. Tambahan pula, mengikut Immanuel Kant , seorang ahli falsafah yang terkenal, matematik merupakan satu–satunya bidang yang menajamkan daya penaakulan manusia.bukankah ini penting untuk melahirkan rakyat Malaysia yang progresif dan dinamik?

Matematik sebati dengan kehidupan kita sehingga kita tidak perasan akan kehadirannya. matematik penting dalam segala perancangan kehidupan kita.kewajipan subjek ini diajarkan di sekolah membuktikan kepentingannya.Walaupun kita tidak berminat untuk menjadi pakar matematik, sekurang–kurangnya kita perlu menguasai matematik asas untuk menyempurnakan kehidupan kita.  

Monday, February 28, 2011

AKHBAR : Peranan dan kepentingannya

Oleh : Nurul Farhana Norinee Bt Ariffin
SMK (A) Sibu

Akhbar ataupun lebih dikenali sebagai “surat khabar” berperanan penting dalam kehidupan masyarakat hari ini. Ia bertindak sebagai media komunikasi massa yang menyalurkan pelbagai maklumat yang boleh mempengaruhi masyarakat pembaca. Lebih-lebih lagi, akhbar merupakan wadah yang paling cepat untuk menyampaikan maklumat terkini kepada orang ramai.

Antara peranan akhbar dalam masyarakat hari ini ialah sebagai perangsang kepada pemikiran baru. Hal ini kerana, akhbar mengandungi pelbagai maklumat yang bernilai positif untuk pembangunan negara. Melalui pembacaan akhbar, mereka mudah untuk berfikiran rasional mengenai sesuatu pembaharuan, kerana akhbar mampu mempengaruhi fikiran mereka. Namun begitu, akhbar juga menjadi medan untuk memprotes dan menghasut masyarakat. Hal ini akan melambatkan proses pembangunan dan perpaduan kaum negara kita. Jelaslah di sini bahawa, akhbar dapat merangsang pemikiran baru masyarakat sama ada dari segi positif mahupun negatif.

Selain itu, akhbar turut berperanan sebagai tempat untuk rakyat meluahkan masalah serta rayuan bantuan. Hal ini kerana, akhbar menyediakan satu ruangan khas kepada rakyat. Melalui ruangan khas ini, rakyat boleh mengadu apa-apa kepada kerajaan ataupun meminta pendapat orang ramai mengenai sesuatu isu. Dengan ini, masalah pembangunan infrastruktur luar bandar boleh diselesaikan dengan langkah yang bijak apabila mengetahui di dalam hati rakyat. Pendek kata, akhbar merupakan wadah untuk rakyat meluahkan masalah mereka.

Di samping itu akhbar merupakan sesuatu sumber dan saluran pelbagai maklumat kepada masyarakat. Hal ini kerana, akhbar memaparkan berbagai-bagai maklumat di dalam atau di luar negara. Ia meliputi pelbagai bidang seperti kesusteraan, pendidikan, dan ekonomi. Dengan adanya maklumat-maklumat ini, masyarakat dapat meluaskan pengetahuan mereka dan tidaklah menjadi katak di bawah tempurung. Melalui akhbar juga, proses untuk mendapat  maklumat menjadi mudah kerana akhbar mudah untuk diperolehi di mana-mana sahaja. Justeru, jelaslah bahawa akhbar berperanan untuk menyampaikan maklumat dan sumber kepada masyarakat.

Akhbar juga dapat meningkatkan dan memartabatkan bahasa. Hal ini kerana, kebanyakkan akhbar di negara kita menggunakan bahasa ibunda iaitu bahasa melayu baku yang mudah untuk dipahami oleh semua rakyat. Melalui pembacaan akhbar, kualiti bahasa akan dapat dipertingkatkan dengan mudah. Contohnya, akhbar seperti Berita Harian dan Utusan Malaysia. Dengan ini, tatabahasa dan kosa kata pembaca dapat ditingkatkan secara tidak langsung. Justeru, usaha untuk memartabatkan bahasa ibunda sendiri dapat diwujudkan melalui peranan akhbar.

Konklusinya, akhbar merupakan wadah penyebaran yang berkesan walaupun pada masa ini kita sudah mengalami perubahan zaman yang menggunakan teknologi yang serba canggih. Akhbar yang bermutu haruslah dihasilkan untuk melahirkan insan yang berpengatahuan luas. Dengan itu, akhbar akan dapat membina minda masyarakat dalam memajukan era globalisasi.

PENDATANG ASING TANPA IZIN : Impak kepada negara

Oleh : Rabiatul Asna Bt Nasir
SMK (Agama) Sibu

Pada zaman yang lebih moden ini, ekonomi Malaysia kini turut berkembang pesat. Manakala projek-projek pembangunan berjalan dengan lancar malah peluang pekerjaan bahagian projek pembangunan turut meluas. Akibat daripada keadaan tersebut, maka timbuk masalah kekurangan tenaga kerja. Oleh itu, Malaysia mencari jalan dengan banyak mengambil pekerja asing dan menimbulkan juga masalah kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin(PATI).

Antara kesan sosial kemasukan pendatang asing tanpa izin ke Malaysia ialah berlakunya kejadian jenayah yang melibatkan kaum pendatang ini. Hal ini demikian kerana kebanyakan pendatang asing melarikan diri ke Malaysia sebagai tempat pelindungan setelah melakukan jenayah. Apabila golongan ini berada di Malaysia, mereka turut melakukan perkara yang sama contohnya yang kerap kita dengar ialah kes-kes rompakan, pembunuhan, pengedaran dadah dan rogol yang sering berlaku. Mereka ini juga mendatangkan masalah di taman perumahan terutama perumahan mewah yang sering menjadi sasaran dimasuki pencuri. Taman perumahan yang kerap dimasuki pencuri ini menimbulkan ketakutan kepada penduduk perumahan tersebut kerana merasakan bahaya yang dilakukan oleh pendatang asing semata-mata untuk mendapatkan wang. Pendek kata, kesab sosial pendatang asing yang merupakan penjenayah membawa keburukan kepada negara.

Selain itu,isu penyebaran penyakit berbahaya juga merupakan kesan kedatangan pendatang asing tanpa izin ke negara kita. Hal ini kerana, pendatang asing tanpa izin memasuki negara ini tidak menjalani pemeriksaan kesihatan. Keadaan ini menjadikan penyakit-penyakit yang terdapat pada diri mereka sukar dikesan. Terdapat di antara mereka yang menghidap AIDS, batuk kering, penyakit kelamin dan lain-lain. Manakala rakyat kita yang bergaul bebas dengan pendatang tanpa izin ini menjadi mangsa penyebaran penyakit berjangkit ini. Keadaan ini bukan sahaja terhadap seseorang individu sahaja malah merebak ke dalam ahli keluarga mangsa, seterusnya ke dalam golongan masyarakat. Akhirnya , masyarakat negara kita berada dalam keadaan yang tidak selamat. Jelaslah di sini bahawa, penyakit-penyakit berbahaya akan merebak dengan meluas akibat kedatangan pendatang asing.

kemasukan pendatang asing tanpa izin ini turut membawa masalah petempatan di negara kita. Hal ini demikian kerana, kedatangan mereka yang mempunyai bilangan yang banyak menyebabkan mereka mendirikan kawasan perumahan secara haram. Kawasan perumahan secara haram ini bukan sahaja menimbulkan banyak masalah malah menyukarkan pihak kerajaan negara. Tambahan pula, mereka juga membuka kawasan hutan sebagai kawasan tempat tinggal mereka. Keadaan ini menjadikan mereka sebagai pesalah kerana menceroboh kawasan menjadi hak negara. Pembukaan kawasan perumahan ini menimbulkan masalah setinggan yang tidak teratur dan kurang kemudahan asas seperti air dan elektrik. Hal ini menunjukkan imej buruk kepada negara lain kerana masalah pencemaran alam sekitar juga akan berlaku. Natijahnya di sini, kemasukan pendatang asing mendatang masalah perumahan kepada negara kita.

Di samping itu, hak rakyat kita juga sedikit sebanyak terjejas akibat kemasukan pendatang asing tanpa izin ini. Hal ini kerana pihak majikan lebih suka mengupah pendatang asing tanpa izin dalam sektor perladangan, pembinaan, dan pembantu rumah kerana gaji mereka jauh lebih murah. Situasi ini pasti menjejaskan peluang pekerjaan rakyat kita sungguhpun bukan semua rakyat kita berminat dalam bidang pekerjaan ini. Tambahan pula, banyak antara mereka juga melibatkan diri dalam perniagaan, misalnya membuka gerai makanan, menjual barang kemas, lampu hiasan, batik dan sebagainya. Keadaan ini menyebabkan ada antara mereka yang menjadi kaya-raya, berumah besar tanpa membayar cukai pendapatan. Pernah pada ketika nilai wang kita jatuh dengan teruknya, peluang pekerjaan rakyat kita juga semakin sempit. Hal ini turut menunjukkan ketidakadilan kepada rakyat kita.Jelaslah di sini bahawa, kemasukan pendatang asing tanpa izin ini sedikit sebanyak menjejaskan hak rakyat negara kita.

Negara kita amat memerlukan tenaga asing dalam pembangunan negara kita pada masa kini. Namun, kehadiran mereka telah menimbulkan banyak masalah di negara ini terutamanya dalam masalah sosial remaja. Kerajaan perlu menangani masalah ini dengan lebih serius bagi kesejahteraan bersama.

PELABURAN ASING

Oleh : Armila Bt Ibrahim
SMK (A) Sibu


Kemelesetan ekonomi dunia yang serius telah menimbulkan beberapa implikasi negatif terhadap negara. Pertumbuhan ekonomi yang lembab telah mengakibatkan pengganguran, kejatuhan eksport dan menambahkan hutang negara. Oleh itu, pihak kerajaan telah menjalankan pelbagai pendekatan baru demi menarik kemasukan pelaburan asing agar dapat membawa manfaat ke arah mempercepatkan kemajuan negara. Kerajaan telah melipatgandakan usaha untuk menggalakkan pelaburan asing di negara ini. 

Teknologi muktahir merupakan salah satu sumbangan pelaburan asing ke Malaysia. Hal ini demikian kerana, pelaburan asing membolehkan pemindahan teknologi moden ke negara ini. Malaysia masih kekurangan sumber kewangan untuk membiayai projek-projek latihan dan penyelidikan demi mencapai teknologi moden. Masalah ini merupakan satu penghalang yang menyekat kemajuan sektor perindustrian. Pelabur- pelabur asing akan membawa bersama teknologi dan sistem pengurusan moden serta tenaga profesional yang pakar dan produktif. Mereka juga akan melaksanakan pelbagai program untuk melatih buruh tempatan demi mengembangkan pengetahuan kepakaran agar pekerja-pekerja tempatan dapat diserapkan ke dalam projek pelaburan mereka. Contohnya, projek mencarigali minyak di Terengganu. 

Selain itu, pendapatan negara akan bertambah dengan adanya kemasukan pelaburan asing ini.Hal ini kerana, pengaliran wang ke luar negera akan berkurangan kerana banyak barangan import telah digantikan dengan barangan tempatan. Sebelum ini, kebanyakan bahan mentah dieksport ke negara-negara maju dengan harga yang rendah. Kemudian bahan mentah ini diproses menjadi barangan siap dan dijual semula semula ke negara ini dengan harga yang lebih tinggi. Kemasukan pelaburan asing membolehkan banyak modal dan kepakaran disalurkan ke kilang-kilang perusahaan tempatan. Bahan-bahan tempatan boleh diproses oleh kilang-kilang di negara ini. Dengan cara ini, harga dan penggunaan bahan mentah tempatan lebih terjamin. 

Antara usaha yang dijalankan oleh kerajaan untuk menarik pelabur asing ialah dengan mengadakan skim galakan kepada pelabur asing. Ini merupakan daya tarikan yang mustahak untuk menggalakkan pelaburan asing. Pihak kerajaan memberikan taraf perintis untuk membolehkan syarikat-syarikat asing yang baru menikmati kemudahan pengecualian cukai, di samping melanjutkan tempoh pengecualian cukai untuk syarikat- syarikat asing yang sedia ada. Dalam usaha menambahkan modal asing, pihak kerajaan juga harus melonggarkan peraturan pelaburan dengan membenarkan rakyat asing memiliki ekuiti yang lebih besar sehingga 100% dalam sesuatu projek. Keistimewaan ini dapat menarik para pelabur asing untuk melabur di Malaysia. Malaysia juga mengamalkan dasar pertukaran wang asing yang liberal. Pelabur-pelabur asing dibenarkan membawa keluar segala keuntungan dan pulangan modal. Ini satu-satunya insentif negara yang dihargai oleh pelabur asing. 

Di samping itu,kerajaan juga boleh memperbanyakkan program rombongan penggalakan pelaburan ke luar negara. Penghantaran rombongan penggalakan pelaburan ke luar negara adalah langkah yang wajar untuk menarik kemasukan pelaburan asing. Sejak bulan Mei 1987, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan industri telah mengetuai banyak rombongan penggalakan ke luar negera. Untuk menyedarkan pelabur asing mengenai potensi pelaburan di Malaysia melalui seminar pelaburan, mesyuarat serta laporan media massa. Maklumat pelaburan untuk pelabur asing juga disampaikan menerusi pejabat Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia di luar negeri dan kedutaan asing. Langkah ini dapat memberi penjelasan mengenai dasar-dasar baru kerajaan dan galakan serta peluang pelaburan kepada bakal pelabur asing. Jelaslah,ini akan menimbulkan minat di kalangan pengusaha asing dan memandang Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan yang menguntungkan. 

Justeru,kemasukan pelabur asing ke negara kita telah memberikan pelbagai impak yang positif .Peranan pihak kerajaan dalam menggalakkan pelaburan asing di negara kita amat penting dalam menjana pembangunan ekonomi negara kita. Dengan adanya kemasukan pelaburan asing ini kita juga dapat mempelbagaikan kegiatan ekonomi negara.

HARTA INTELEK 2

Oleh : Mohd Isa B. Mohamad
SMK (A) Sibu

Harta intelek merujuk kepada penciptaan intelektual, terutamanya rekaan-rekaan teknologi, dan karya-karya seni dan kesusasteraan. Hasil rekaan dan karya di bawah perlindungan hak cipta hany boleh digunakan dengan kebenaran pencipta, pengarang atau pemilik hak cipta. Perlindungan harta intelek dapat mendorong perkembangan innovasi dan kreativiti.

Harta intelek dapat mewujudkan sesuatu produk yang baru. Seseorang tiada hak untuk semata-mata memiliki nama sendiri walaupun beliau ialah seorang pemimpin negara. Tetapi, seseorang mempunyai hak untuk memonopoli jenama bagi sesuatu barangan melalui pendaftaran cap dagangan. Dengan ini, anda dapat menghalang orang lain daripada menggunakan cap dagangan yang sama. Tiada cap dagangan yang sama, maka tiada kekeliruan akan diwujudkan di kalangan orang awam. Apabila jenama anda menjadi popular, maka ia merupakan kepunyaan anda sahaja.

Harta intelek juga dapat membela pembangunan Sumber Manusia dan Kesedaran Awam.Memajukan pembangunan sumber manusia dengan tujuan membentuk sekumpulan pakar-pakar yang besar untuk pengurusan harta intelek di semua peringkat rangkaian aktiviti-aktiviti harta intelek,untuk urusniaga harta intelek dan untuk pengeksploitan komersil harta intelek.Adalah perlu untuk meningkatkan tahap kesedaran awam berkaitan dengan tujuan mengadakan sistem perlindungan harta intelek,peranan penting harta intelek dalam pembangunan sosio-ekonomi dan teknologi negara dan perlunya hak-hak ekslusif pemilik harta intelek yang diberi oleh undang-undang diiktiraf dan dihormat.Pembangunan sumber manusia dan kesedaran awam boleh menyumbang kepada pengurangan pelanggaran hak dan menanam budaya harta intelek.

Harta intelek juga memajukan pelaburan dan pemindahan teknologi asing. Menggalakkan lebih banyak pelaburan dan pemindahan teknologi asing dengan memberi jaminan piawaian perlindungan harta intelek tertinggi yang boleh meyakinkan pelabur-pelabur akan perlindungan harta intelek yang dibawa ke Malaysia,peluang untuk memperolehi pulangan daripada pelaburan mereka dan adanya saluran-saluran perundangan untuk mendapatkan pembetulan dan penyelesaian kes-kes pelanggaran.Dengan adanya teknologi yang diperlukan dapat digalakkan melalui perolehan,pelesenan,francais dan lain-lain.

Dalam hal yang lain juga harta intelek menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi negara. Hal ini kerana keadaan tersebut dapat menaikkan pembangunan ekonomi dengan ketara dan berkesan.Contohnya dalam peringkat antarabangsa seperti Nokia dari Finland, Sony dan Toyota dari Jepun serta PETRONAS dari Malaysia.Hal ini dapat meningkatkan dan membangunkan ekonomi sesebuah negara di peringkat antarabangsa.Oleh itu, harta intelek mampu menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi.

Tuntasnya, harta intelek mampu mewujudkan pembaharuan baru dikalangan rakyat malaysia tentang pentingnya harta intelek dalam pembangunan negara.