Thursday, July 7, 2011

PELANCONGAN KESIHATAN : Diskusi pelajar & Info dari beberapa Laman web

Pelancongan kesihatan dimaksudkan apabila seorang individu atau pesakit yang melancong ke negara lain untuk mendapatkan rawatan atau perkhidmatan kesihatan.  Perkhidmatan tersebut biasanya mrangkumi prosedur-prosedur elektif dan juga prosedur-prosedur kompleks dan pakar seperti pembedahan kardiak, pembedahan pergigian, dan pembedahan kosmetik. Perkhidmatan–perkhidmatan lain seperti rawatan psikiatri, perubatan alternatif, dan juga perkhidmatan pengebumian boleh didapati di luar negara.
 
 Menurut Association of Private Hospitals Malaysia, pada tahun 2006, pendapatan negara daripada industri pelancongan kesihatan adalah sebanyak RM 203.66 juta  (USD 59 million). Kadar pelancong ke Malaysia untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan telah meningkat sebanyak 25.3% dari tahun 1998 ke tahun 2008 (International Medical Travel Journal). 
 
Pelancongan kesihatan di Malaysia terbahagi kepada dua kategori iaitu pelancongan perubatan dan program kesihatan. Seseorang pesakit boleh memilih untuk mendapatkan rawatan di  mana-mana hospital yang dikenali di peringkat antarabangsa dan tinggal di Malaysia sehingga sembuh atau mereka boleh melancong ke Malaysia untuk mengunjungi hospital-hospital untuk melihat infrastruktur yang disediakan dan yang sesuai bagi mereka sebelum menjalani perubatan.
 
Dua faktor penting yang menyebabkan Malaysia menjadi pilihan untuk pelancongan perubatan adalah disebabkan oleh kos perubatan yang kompetitif dan rendah serta kemudahan infrastruktur yang canggih dan moden. Sebagai contoh, pembedahan jantung di Malaysia adalah dalam lingkungan RM 18000 ke RM 21000 berbanding di Amerika Syarikat yang bernilai RM 60000.

Di Malaysia, Pulau Pinang sedang menjadi pusat utama bagi sektor ini, diikuti oleh Langkawi.Pelancongan perubatan mempunyai pelbagai kebaikan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa risiko dan isu etika yang perlu diberi perhatian oleh pihak-pihak yang berkepentingan.



 


Tuesday, July 5, 2011

Plastik dan Kesannya

Kecenderungan negara ini menggunakan botol air mineral plastik secara berulang kali untuk menjimatkan kos, sebenarnya boleh mengundang maut.

Ini kerana kajian menunjukkan penggunaan botol dan pembungkus plastik polyvinyl chloride (PVC) berulang kali akan mendedahkan penggunanya terhadap unsur kimia seperti ‘vinyl cloride monomer’ (VCM) dan ‘phthalates’. VCM dikenalpasti mengandungi karsinogen yang boleh menyebabkan barah.

Pensyarah Kesihatan Persekitaran di Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Jamal Hisham Hashim, berkata botol plastik air mineral atau minuman ringan hanya boleh digunakan semula sekali atau dua sebelum dibuang.

Selain VCM dan phthalates, bekas plastik mengandungi bahan logam berbahaya seperti kadmium yang digunakan sebagai ‘plastisizer’ iaitu untuk meningkatkan kualiti plastik supaya warnanya cerah dan tidak kekuningan biarpun lama digunakan. Penggunaan secara berulang boleh menyebabkan kadmium di dalamnya terhakis dan mencemarkan makanan atau minuman,” katanya.

“Pembungkus makanan daripada bahan PVC sepatutnya tidak boleh mengandungi lebih daripada satu miligram per kilogram (mg/kg) VCM.

“Makanan yang dibungkus dengan PVC dan dicemari VCM melebihi 0.05mg/kg tidak sesuai dimakan kerana boleh mendatangkan kesan mudarat pada kesihatan,” katanya.

Dr Jamal berkata, beg plastik makanan diperbuat daripada polyethylene (PE) dan PE tidak mengandungi VCM. Jadi penggunaannya tidak menyebabkan barah, namun masih tidak sesuai digunakan berulang-ulang.

Katanya, botol minuman diperbuat daripada polyethylene terephthalate (PET) selamat digunakan dalam keadaan biasa, namun memanaskannya boleh mengeluarkan ‘phthalates’.

Phthalates disyaki boleh meniru hormon manusia, tetapi ia tidak menyebabkan barah, namun ia boleh mengganggu fungsi hormon manusia.

“Jika peraturan ini tidak dipatuhi, ia boleh mendatangkan kesan negatif kepada pengguna. Peraturan mengenai pembungkus dan bekas makanan daripada PVC terkandung di dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985.

“Namun tidak ramai menyedarinya kerana kesedaran terhadap penggunaan barangan plastik untuk pembungkusan atau menyimpan makanan atau air masih rendah,” katanya.

Dr Jamal berkata, penggunaan botol plastik mengundang bahaya lain seperti jangkitan kuman kerana bakteria boleh membiak berikutan bahan itu sukar dicuci bersih dan melekat daki.

“Jika ragu-ragu mengenai jenis plastik yang boleh digunakan secara berulang untuk menyimpan makanan, sila rujuk kepada Bahagian Kawalan Mutu Kementerian Kesihatan,” katanya.

Kenyataan Dr Jamal mengesahkan laporan Buletin Pengguna mengenai bahaya penyalahgunaan botol plastik serta bekas makanan diperbuat daripada stirofom dan polisterin.

Buletin itu diterbitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Pengarah Komunikasi Fomca yang juga Timbalan Ketua Sidang Pengarang Buletin Pengguna, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pihaknya mengetengahkan bahaya penggunaan botol plastik berulang kali kerana ramai menggunakan botol air mineral sebagai bekas minuman di dalam peti sejuk.

“Lebih berbahaya, ramai menjadikan botol itu sebagai bekas minuman anak ke sekolah, bekal ke pejabat atau untuk beriadah. Sedangkan botol berkenaan hanya boleh digunakan sekali atau dua atau paling lama seminggu sebelum perlu dibuang,” katanya.

Mohd Yusof berkata, kurang pengetahuan dan kesedaran menyebabkan banyak lagi amalan rakyat negara ini mendedahkan mereka kepada pelbagai penyakit kronik.

Katanya, penggunaan kertas akhbar dan majalah, selain bekas makanan diperbuat daripada stirofom atau polisterin, juga boleh mengakibatkan tersebarnya logam ke dalam tubuh.

“Kertas akhbar dan majalah mengandungi timah hitam melebihi had dibenarkan. Apabila timah hitam ini ada dalam tubuh, ia masuk ke saluran pernafasan dan pencernaan, seterusnya sistem peredaran darah sebelum tersebar ke bahagian lain seperti ginjal, hati, otak, saraf dan tulang. Ini cukup berbahaya dan tidak boleh dijadikan pembungkus makanan.

“Bahan pembungkus stirofom dan polisterin pula kini cukup popular, tetapi kajian mendapati ia mengandungi bahan unsur karsinogen,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd, Mohamed Siraj Razack, turut memberi amaran mengenai bahaya penggunaan botol plastik, bekas menyimpan makanan serta bahan pembungkus jenis stirofon atau polisterin yang disifatkannya pembunuh senyap.

“Bahan berasaskan plastik itu boleh digunakan sekali dua saja. Jika dibasuh berulang kali, bahagian dalamnya terhakis dan mengeluarkan bahan kimia yang memudaratkan kesihatan,” katanya.

Mohamed Siraj berkata, bahan kimia dalam bekas plastik mudah terhasil apabila terkena cahaya matahari, misalnya botol mineral bagi mengisi air minuman yang ditinggalkan dalam kereta.

“Bekas plastik terbabit sepatutnya dikitar semula untuk dijadikan barangan berasaskan plastik lain yang tiada kaitan dengan makanan.

“Sebaiknya, untuk menyimpan makanan atau minuman, gunakan bahan dibuat khusus untuk digunakan berulang kali, misalnya termos atau jenis plastik tahan panas dan khusus untuk menyimpan makanan,” katanya.

Mohamad Siraj berkata, kepanasan makanan atau minuman yang disimpan dalam bekas plastik tertentu juga boleh menghasilkan bahan kimia yang memudaratkan kesihatan, misalnya amalan minum teh tarik bungkus.

“Teh tarik seeloknya diminum menggunakan cawan kerana wap yang keluar daripada plastik pembungkus yang bercampur dengan teh boleh menyebabkan tindak balas kimia.

“Kari panas dibungkus menggunakan bahan plastik juga amalan tidak baik dan kesannya sama seperti teh tarik bungkus,” katanya.

Mohamed Siraj berkata, semua barangan plastik diterima oleh pusat kitar semula. Sehubungan itu, kesedaran terhadap bahaya penggunaan bekas plastik secara berulang akan mengalihkan perhatian pengguna untuk mengitar semula barangan terbabit dalam menjaga alam sekitar

Teknologi Hijau : Apa Kepentingannya Kepada Masyarakat & Negara

Temubual Galeri@1, RTM 1
Y. Bhg. Dato’ Dr Halim Bin Man
Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

1. Apakah maksud ‘teknologi hijau’?
Teknologi hijau adalah aplikasi sains alam sekitar untuk memulihara sumber dan alam semulajadi bagi menangani impak negatif aktiviti manusia. Teknologi Hijau adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding dengan teknologi sedia ada. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber seperti tenaga, air dan sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu produk. Oleh yang demikian, apa-apa teknologi yang menyumbang kepada pengurangan pelepasan Gas Rumah Hijau atau digunakan untuk membangunkan produk dan perkhidmatan yang menghasilkan pelepasan Gas Rumah Hijau yang tinggi perlu dikurangkan melalui kesedaran pada peringkat permulaannya dan selanjutnya melalui penguatkuasaan. Aplikasi Teknologi Hijau juga adalah selaras dengan konsep pembangunan mapan (sustainable development) di mana pembangunan yang dilaksanakan perlu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi masa depan. Sehubungan itu, kita bertanggungjawab untuk memastikan generasi akan datang dapat sekurang-kurangnya menikmati kualiti kehidupan yang kita perolehi sekarang atau kualiti yang lebih baik dari sekarang.

2. Mengapakah teknologi hijau diberi penekanan dalam pentadbiran negara?
Pada 9 April lalu, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan pembentukan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi menggantikan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi. Saya percaya penekanan terhadap “teknologi hijau” adalah pendekatan yang tepat dalam menangani masalah alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi. Ia juga selaras dengan agenda utama Kerajaan-Kerajaan di seluruh dunia pada masa kini yang memberi prioriti kepada isu-isu alam sekitar khususnya fenomena perubahan cuaca dunia. Kita sebagai penduduk dunia perlu bertanggungjawab untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjadikan dunia ini a better place to live in.

Dalam mengaplikasi teknologi hijau, faedah terbesar ialah dari segi peningkatan kualiti hidup rakyat dengan menjamin kualiti alam sekitar yang lebih mapan. Pencemaran udara, air, bunyi dan sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat sekiranya masalah tersebut dibiarkan berterusan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam sekitar adalah minima.

Teknologi hijau juga mempunyai potensi besar dalam memacu pembangunan negara. Industri yang menggunakan atau membangunkan produk berhubung teknologi hijau dapat menyediakan peluang-peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan. Kita boleh juga meneroka peluang mengeksport produk ’hijau’ yang telah kita hasilkan. Pasaran untuk teknologi dan produk hijau amat besar, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharu atau renewable energy. Contohnya, industri solar photovoltaic telah dikenalpasti sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru untuk negara kita. Mengikut unjuran kami, menjelang tahun 2020, industri PV dapat menyumbang sebanyak 4 peratus pendapatan daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).

Kerajaan akan menyediakan dasar yang sesuai untuk mempromosikan teknologi hijau. Pihak swasta, para profesional serta penyelidik harus bekerjasama untuk mencipta dan mengkomersilkan teknologi hijau.

3. Apakah kepentingan aplikasi teknologi dan amalan hijau dalam kehidupan kita sebagai orang awam?
Seperti yang telah saya katakan tadi, secara amnya, Teknologi Hijau merupakan satu teknologi yang mesra alam dan merupakan teknologi yang rendah karbon bagi mengurangkan pelepasan gas karbon ke udara yang menyebabkan antara lainnya fenomena perubahan cuaca dunia. Antara kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang kita rasai pada masa kini ialah cuaca yang melampau seperti keadaan cuaca panas yang sedang kita hadapi pada masa ini. Selain itu, kejadian bencana alam seperti ribut taufan, kecairan ais di Kutub Utara dan Selatan,  kenaikan paras dan suhu air laut,  kepupusan spesis flora dan fauna dan sebagainya juga merupakan kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang prominen pada masa sekarang. Oleh yang demikian, mitigasi fenomena perubahan cuaca dunia telah menjadi antara prioriti dalam masyarakat dunia pada masa kini.

Proses perubahan cuaca global sememangnya tidak dapat dihalang. Walau bagaimanapun, usaha-usaha boleh dilakukan untuk melambatkan proses ini. Oleh yang demikian, aplikasi Teknologi Hijau merupakan salah satu langkah yang diambil bagi melambatkan proses perubahan cuaca dunia. Kita sebagai pengguna merupakan salah satu daripada penyumbang terbesar dalam pelepasan gas rumah hijau melalui aktiviti harian dan pilihan yang kita buat sebagai contohnya penggunaan kereta, tenaga elektrik, penggunaan bahan-bahan kimia seperti racun serangga dan sebagainya.

Sehubungan itu, aplikasi teknologi dan amalan hijau seperti penggunaan alat-alat elektrik cekap tenaga, penggunaan kenderaan awam atau bahan api alternatif, penjimatan penggunaan air merupakan antara perkara-perkara yang boleh dipertimbangkan dalam melaksanakan aktiviti harian kita. Walaupun amalan-amalan hijau bukan merupakan satu kebiasaan pada sebahagian daripada kita pada masa kini, kita perlu mengubah minda kita bagi memastikan kita masih akan dapat menikmati kehidupan yang kita nikmati pada hari ini dalam jangka masa panjang. Kita juga harus sedar bahawa pilihan-pilihan yang dibuat oleh kita pada hari ini akan menentukan masa depan yang akan dilalui oleh anak-anak kita di masa akan datang. Oleh yang demikian, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua agar mula mendekati amalan-amalan hijau yang kecil seperti mengitar semula sampah, menggunakan peralatan cekap tenaga, mengamalkan penjimatan tenaga dan air dan sebagainya.

4.  Boleh Y.Bhg Dato’  berikan sedikit saranan dan harapan Datuk kepada masyarakat ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengutamakan teknologi hijau?
Usaha Kerajaan untuk menerapkan teknologi hijau perlu dilihat dari dua aspek. Pertama ialah aspek inovasi, iaitu usaha mencipta atau membangunkan teknologi hijau. Kita tidak semestinya mencipta sesuatu yang komplikated atau kompleks. Produk mudah yang mesra alam serta praktikal untuk negara kita boleh dihasilkan. Adalah penting supaya pelajar-pelajar digalakkan dari peringkat  sekolah lagi untuk mencipta sesuatu. Pada peringkat yang lebih tinggi pula, para penyelidik kita boleh menghasilkan teknologi yang dapat menghasilkan sesuatu produk tanpa membazir sumber-sumber seperti tenaga dan air. Rekaan baru haruslah rekaan praktikal yang boleh dikomersilkan untuk penggunaan tempatan dan untuk tujuan eksport.

Keduanya ialah penggunaan atau aplikasi teknologi hijau sama ada dalam melaksanakan proses kerja atau amalan hidup seharian. Kita harus mengamalkan amalan hijau sebanyak yang boleh, bermula dengan perkara-perkara mudah yang boleh kita laksanakan. Contohnya, kita boleh membawa air minum dalam bekas tanpa keperluan membeli botol-botol air. Kalau kita membeli makanan untuk dibawa balik ke rumah, eloklah kita menggunakan bekas makanan sendiri daripada menggunakan bekas styrofoam atau plastik yang tidak mesra alam. Bawalah beg sendiri ketika membeli-belah.

Pengguna juga harus mengutamakan pembelian peralatan elektrik jenis cekap tenaga. Utamakan penggunaan lampu cekap tenaga. Tindakan sedemikian akan menghasilkan penjimatan tenaga. Walaupun harga peralatan cekap tenaga lebih mahal sedikit berbanding peralatan biasa, namun penjimatan tenaga adalah banyak dan kurang menjejaskan alam sekitar. Yang penting adalah supaya kita mulakan dengan langkah-langkah yang mudah dan murah dahulu. Jadikan amalan hijau budaya hidup. Ibubapa harus menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak supaya mereka akan turut terdorong untuk mengamalkan budaya hijau.

Teknologi Hijau : Usaha Untuk Membangunkannya di Malaysia

Antara usaha yang dilakukan untuk menyokong pembangunan Teknologi Hijau di Malaysia ialah :
Menyediakan Persekitaran Pembangunan Teknologi Hijau yang Kondusif
Pembangunan industri Teknologi Hijau, sama ada dalam sektor pembuatan atau perkhidmatan perlu sokongan dari aspek kewangan dan fiskal. Pada masa yang sama, usahaa memperkukuh pemahaman masyarakat tempatan terhadap industri Teknologi Hijau dan rantaian nilai termasuk industri sokongan melalui pelbagai program peningkatan industri perlu dilakukan untuk memudahkan masyarakat menerima konsep dan objektif teknologi ini. Mempromosikan pelaburan langsung asing (FDIs) terhadap Teknologi Hijau yang membantu perkembangan pelaburan langsung tempatan (DDIs) serta penglibatan dan pembangunan industri tempatan sangat penting. 

Selain itu, menubuhkan hab Teknologi Hijau yang straregik di seluruh Malaysia, yang dikembangkan daripada rantaian nilai utama kepada industri utama merupakan strategi bijak yang perlu dilakukan supaya teknologi ini dapat diperluaskan pembangunannya.

Memperkukuh Pembangunan Modal Insan dalam Teknologi Hijau
Sumber manusia yang mahir, berkelayakan, cekap dan produktif sangat penting untuk pembangunan Teknologi Hijau. Untuk mencapai hasrat ini, bantuan kewangan dan biasiswa untuk pelajar yang mengikuti jurusan Teknologi Hijau di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan pasca ijazah perlu diperkasakan. Selain itu, program melatih semula dan skim pelapis untuk meningkatkan kemahiran sumber manusia yang separa terlatih bagi memenuhi keperluan industri Teknologi Hijau. Penyediaan mekanisme penggredan dan pensijilan bagi pekerja yang cekap dalam bidang Teknologi Hijau dan pengekploitasian program brain gain bagi mengukuhkan kepakaran tempatan dalam sektor Teknologi Hijau juga perlu diperbanyakkan.

Penggiatan Penyelidikan dan Inovasi Teknologi Hijau
Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi dan Pengkomersialan (RDIC) amat penting dalam penghasilan teknologi baru, teknik dan implikasi yang dapat mengurangkan kos Teknologi Hijau dan mempromosikan penggunaannya. Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (RDI) akan ditingkatkan melalui dana kewangan atau bantuan untuk sektor awam dan swasta dalam RDIC. Selain itu, keperluan Teknologi Hijau pada masa hadapan perlu difikirkan agar teknologi ini bukan hanya di mulut sahaja tetapi diaplikasikan.  Penubuhan badan penyelaras yang efektif untuk RDI dan pusat kecemerlangan   atau institut penyelidikan yang baru untuk perkembangan Teknologi Hijau juga wajar dibentuk.

Promosi dan Kesedaran Awam
Promosi yang efektif dan kesedaran awam merupakan dua faktor utama yang mempengaruhi kejayaan pembangunan Teknologi Hijau. Hal ini penting kerana perkara tersebut memerlukan perubahan pemikiran masyarakat melalui pelbagai pendekatan termasuklah promosi berterusan yang efektif, pendidikan dan penyebaran maklumat melalui program yang komprehensif untuk meningkatkan kesedaran awam dalam Teknologi Hijau. Selain itu, penglibatan media, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak berkepentingan yang efektif untuk mempromosikan Teknologi Hijau. Memupuk budaya menghayati Teknologi Hijau dalam kalangan pelajar pada setiap peringkat melalui pembangunan sistem sukatan pelajaran yang efektif serta mengadakan Program demonstrasi secara efektif dalam implikasi Teknologi Hijau supaya memudahkan masyarakat menerima pakai kelebihan teknologi ini.
  
 

Teknologi Hijau : Definisi dan kelebihannya

TEKNOLOGI HIJAU

Definisi
Teknologi Hijau merujuk pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memelihara alam sekitar dan alam semulajadi dan meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia. Teknologi Hijau merujuk produk, peralatan, atau sistem yang memenuhi kriteria-kriteria seperti meminimumkan degrasi kualiti persekitaran. Pada masa yang sama ia mempunyai pembebasan Gas Rumah Hijau (GHG) yang rendah atau sifar dan ia selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan. Teknologi hijau juga menjimatkan tenaga dan sumber asli sekaligus menggalakkan sumber-sumber yang boleh diperbaharui.

Umumnya, Teknologi Hijau memfokuskan kepada empat kebaikan. Dari aspek tenaga, Teknologi Hijau diharapkan dapat membantu mencari ketidakbergantungan tenaga dan mempromosikan kecekapan tenaga negara. Di samping itu, Teknologi Hijau juga dapat memulihara dan meminimumkan kesan kepada alam sekitar. Dari aspek ekonomi, Teknologi ini, mampu meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi dan meningkatkan kualiti hidup untuk semua kehidupan manusia dan biodiversiti umumnya.

Tuesday, May 10, 2011

Perubahan Iklim

Sumber : http://www.konsumerkini.net.my
KESAN PERUBAHAN IKLIM DAN BANJIR KEPADA PENGGUNA
 
Pada 16 Februari 2011, ahli sains telah membentangkan dua buah jurnal sains yang membuktikan bahawa perlakuan manusia mempunyai kaitan dengan kejadian banjir dan perubahan iklim. Laporan tersebut mengatakan bahawa pemanasan global dan perubahan iklim akan menyumbang kepada peningkatan sebanyak 20 peratus kejadian banjir yang berlaku di seluruh dunia.

Berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh nstitut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), perubahan iklim telah menyebabkan corak hujan di Malaysia berubah. Di bahagian tengah dan selatan Semenanjung Malaysia, lebih banyak hujan akan turun dan tertumpu pada kawasan-kawasan tertentu sahaja, berbanding kepada pada masa dahulu yang tersebar luas di seluruh kawasan. Salah satu contoh adalah hujan lebat dan banjir besar yang berlaku di Johor pada akhir tahun 2006. Catatan hujan yang turun di Johor Bahru mencapai 289mm dalam masa sehari sahaja, iaitu catatan jumlah isipadu hujan yang turun di Johor Bahru iaitu 2400mm setahun.

Terdapat banyak sebab yang menyumbang kepada peningkatan kejadian banjir di Malaysia.
Kebanyakan sebab-sebab ini berpunca daripada perubahan iklim dan projek-projek mitigasi banjir yang kurang berkesan. Fenomena La Nina yang kerap kali berlaku semenjak beberapa tahun kebelakangan ini telah membawa lebih banyak hujan ke negara ini. Hujan yang turun sangat lebat dalam masa yang singkat dan tertumpu kepada satu-satu kawasan. Keadaan ini telah menyebabkan sistem perparitan yang sedia ada tidak dapat menampung isipadu air hujan yang tinggi. Sungai-sungai tidak dapat menampung air hujan tersebut sehingga melimpah, dan akhirnya banjir berlaku. Selain itu, sampah sarap juga dibuang ke dalam sungai oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah menyebabkan sungai tercemar dan tersekat.

Menurut kajian Jabatan Meteorologi Malaysia, corak cuaca sekarang memang sukar untuk diramalkan. Punca utama berlakunya banjir adalah disebabkan oleh cuaca. Namun, kesannya telah jelas dapat dilihat di hadapan mata. Pada awal bulan ini kejadian banjir besar telah melanda hampir keseluruhan bahagian di bahagian selatan Semenanjung Malaysia.

Hujan lebat yang berpanjangan telah menyebabkan sungai-sungai di kawasan tersebut melimpah dan menyebabkan banjir berlaku. Kawasan yang paling teruk terjejas adalah Johor yang menyebabkan hampir 40,000 penduduk terpaksa berpindah ke pusat permindahan banjir sementara. Banjir ini juga mengingatkan mimpi ngeri penduduk Johor yang dilanda banjir besar pada tahun 2006/2007. Mujurnya, banjir besar 2006/2007 telah mengajar penduduk-penduduk tersebut untuk lebih berwaspada terhadap banjir besar. Oleh itu kerugian yang dialami semasa banjir besar awal bulan ini tidaklah teruk sangat.

Kesan banjir besar awal bulan ini amat dirasai kerana ia berlaku semasa sambutan perayaan Tahun Baru Cina. Ramai yang ingin balik kampung di bahagian selatan Semenanjung Malaysia terpaksa membatalkan rancangan mereka kerana landasan kereta api dan jalan raya telah ditenggelami air.

Selain itu, harga barangan juga naik disebabkan bekalan yang tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan di pasaran. Salah satu contoh lagi ialah banjir besar yang berlaku di Pantai Timur Australia. Banjir besar tersebut telah menyebabkan tapak penggalian arang batu tertutup dan menyebabkan kerosakan hingga berbilion dollar Amerika. Bencana alam yang berlaku di negara maju tersebut turut menunjukkan bahawa bencana yang berkait rapat dengan iklim ini boleh berlaku di mana-mana sahaja, tanpa mengira status negara tersebut.

Sebagai salah negara yang mengimpot arang batu daripada Australia, Malaysia terpaksa mencari negara yang lain untuk membekalkan arang batu untuk keperluan penjanaan tenaga negara. Ini menyebabkan kos penghasilan tenaga meningkat.

Untuk mengatasi isu banjir ini , peranan kerajaan amat penting. Projek Mitigasi Banjir di kawasan ”hotspot” banjir yang telah dirancang seharusnya disiapkan dalam masa yang paling singkat. Selain itu, maklumat-maklumat semasa berlaku banjir besar amatlah diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir dan agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab. Sistem penyebaran maklumat ini haruslah dipastikan supaya tidak tergendala semasa berlakunya banjir. Sistem amaran banjir sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga perlu dilaksanakan dan disiapkan pada masa yang ditetapkan.

Kedua ialah peranan pengguna. Salah satu tanggungjawab pengguna adalah tanggungjawab terhadap alam sekitar. Pengguna harus menjaga kebersihan sungai kerana ia merupakan sistem perparitan semula jadi dan membekalkan air minuman. Sampah yang dibuang ke dalam sungai hanya akan menyebabkannya pencemaran dan boleh menyebabkan masalah tersumbat. Apabila ia tersumbat, ia akan hilang fungsinya dan menyebabkan banjir. Di samping itu, pengguna juga seharusnya berani memberi kritikan yang membina dan membuat aduan kepada pihak yang berkuasa apabila mendapati tiada apa-apa usaha yang dijalankan bagi mengatasi banjir ini.

Ketiga adalah peranan pihak swasta. Pihak swasta terutamanya syarikat pembekal air hendaklah memainkan peranan yang lebih aktif dalam rancangan pencegahan banjir kerana mereka merupakan pakar dalam bidang ini. Selain itu, mereka juga harus memastikan air minuman yang bersih masih dapat dibekalkan kepada penduduk-penduduk apabila berlakunya kejadian banjir.

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia



       

Pembuangan Bayi

Sumber : Dewan Masyarakat

Pembuangan Bayi Meninggalkan Kesan yang Parah

Penulis tertarik untuk memberi maklum balas terhadap rencana “Apabila Hilangnya Sifat Kemanusiaan …” oleh Aninah Janang dalam Dewan Masyarakat April 2010. Penulis bersetuju dengan Aninah yang menggambarkan masalah pembuangan bayi merupakan penyakit sosial segelintir masyarakat kita yang tandus nilai kemanusiaan. Masalah ini tidak sepatutnya berlaku di negara kita yang berpegang pada agama sebagai tunjangnya.

Kes pembuangan bayi diibaratkan sebagai penyakit sosial yang akan membelenggu negara kita daripada menjadi masyarakat yang bersifat penyayang yang merupakan salah satu daripada sembilan cabaran wawasan 2020. Pembangunan dari segi kerohanian pasti terbantut disebabkan nilai kemanusiaan diketepikan.

Penyakit sosial ini turut mencerminkan kerapuhan pegangan agama dan ketandusan nilai kemanusiaan segelintir anggota masyarakat sehingga keliru antara amalan yang mulia dan yang berdosa. Sebenarnya, setiap manusia yang hidup memang mendapat dorongan dan panduan daripada agama masing-masing. Nilai murni sentiasa diberikan penekanan. Malangnya nafsu dan perasaan negatif telah mengaburi jiwa dan minda manusia sehingga bertindak di luar batasan kemanusiaan.

Bayi merupakan golongan yang tidak berdosa. Bayi ibarat sehelai kain putih dan memerlukan kesabaran dan ketelitian orang dewasa untuk mencorakkannya. Mereka mestilah dijaga dengan penuh kasih sayang. Janganlah manusia bertindak mengikut perasaan dan berlaku zalim terhadap mereka. Perlu disedari bahawa mereka akan membesar dan menjadi dewasa, seterusnya menjadi peneraju yang membawa hala tuju negara.Lantaran itu, menjadi satu kerugian kepada negara apabila masalah pembuangan bayi semakin berleluasa.

Memandangkan masalah pembuangan bayi meninggalkan kesan buruk dalam masyarakat, pelbagai langkah dan inisiatif perlu diambil bagi membendung penyakit sosial ini. Ibu bapa mestilah memainkan peranan yang sewajarnya terhadap anak-anak dari sudut pergaulan sesama rakan agar tidak melampaui batas. Nilai murni dan kemanusiaan serta pegangan agama yang kukuh haruslah disalurkan dalam jiwa anak-anak sejak mereka kecil kerana melentur buluh biarlah ketika rebungnya. Insan yang berakhlak mulia sejak kecil pasti tidak sanggup bertindak di luar norma kehidupan untuk melakukan sesuatu perlakuan yang negatif. Selain itu, pendedahan kepada pendidikan moral dan agama merupakan langkah yang wajar kerana dapat menerapkan nilai-nilai mulia.

Undang-undang bagi kes pembuangan bayi mesti diperketat lagi. Hukuman juga mestilah setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan. Tindakan perundangan ini diharap dapat memberi kesedaran kepada segelintir masyarakat supaya tidak melakukan sesuatu dengan sesuka hati.

Kesimpulannya, negara kita yang sedang membangun pasti tidak dapat mencapai pembangunan yang sebenar jika gejala sosial tersebut terus berlaku. Pembangunan fizikal haruslah diseimbangkan dengan pembangunan nilai kemanusiaan sebagai tunjangnya demi membawa kesejahteraan dan keharmonian yang sebenar kepada masyarakat sejagat.





Loh Chun Chuan
Pulau Pinang
.