Thursday, July 7, 2011

PELANCONGAN KESIHATAN : Diskusi pelajar & Info dari beberapa Laman web

Pelancongan kesihatan dimaksudkan apabila seorang individu atau pesakit yang melancong ke negara lain untuk mendapatkan rawatan atau perkhidmatan kesihatan.  Perkhidmatan tersebut biasanya mrangkumi prosedur-prosedur elektif dan juga prosedur-prosedur kompleks dan pakar seperti pembedahan kardiak, pembedahan pergigian, dan pembedahan kosmetik. Perkhidmatan–perkhidmatan lain seperti rawatan psikiatri, perubatan alternatif, dan juga perkhidmatan pengebumian boleh didapati di luar negara.
 
 Menurut Association of Private Hospitals Malaysia, pada tahun 2006, pendapatan negara daripada industri pelancongan kesihatan adalah sebanyak RM 203.66 juta  (USD 59 million). Kadar pelancong ke Malaysia untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan telah meningkat sebanyak 25.3% dari tahun 1998 ke tahun 2008 (International Medical Travel Journal). 
 
Pelancongan kesihatan di Malaysia terbahagi kepada dua kategori iaitu pelancongan perubatan dan program kesihatan. Seseorang pesakit boleh memilih untuk mendapatkan rawatan di  mana-mana hospital yang dikenali di peringkat antarabangsa dan tinggal di Malaysia sehingga sembuh atau mereka boleh melancong ke Malaysia untuk mengunjungi hospital-hospital untuk melihat infrastruktur yang disediakan dan yang sesuai bagi mereka sebelum menjalani perubatan.
 
Dua faktor penting yang menyebabkan Malaysia menjadi pilihan untuk pelancongan perubatan adalah disebabkan oleh kos perubatan yang kompetitif dan rendah serta kemudahan infrastruktur yang canggih dan moden. Sebagai contoh, pembedahan jantung di Malaysia adalah dalam lingkungan RM 18000 ke RM 21000 berbanding di Amerika Syarikat yang bernilai RM 60000.

Di Malaysia, Pulau Pinang sedang menjadi pusat utama bagi sektor ini, diikuti oleh Langkawi.Pelancongan perubatan mempunyai pelbagai kebaikan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa risiko dan isu etika yang perlu diberi perhatian oleh pihak-pihak yang berkepentingan.



 


Tuesday, July 5, 2011

Plastik dan Kesannya

Kecenderungan negara ini menggunakan botol air mineral plastik secara berulang kali untuk menjimatkan kos, sebenarnya boleh mengundang maut.

Ini kerana kajian menunjukkan penggunaan botol dan pembungkus plastik polyvinyl chloride (PVC) berulang kali akan mendedahkan penggunanya terhadap unsur kimia seperti ‘vinyl cloride monomer’ (VCM) dan ‘phthalates’. VCM dikenalpasti mengandungi karsinogen yang boleh menyebabkan barah.

Pensyarah Kesihatan Persekitaran di Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Jamal Hisham Hashim, berkata botol plastik air mineral atau minuman ringan hanya boleh digunakan semula sekali atau dua sebelum dibuang.

Selain VCM dan phthalates, bekas plastik mengandungi bahan logam berbahaya seperti kadmium yang digunakan sebagai ‘plastisizer’ iaitu untuk meningkatkan kualiti plastik supaya warnanya cerah dan tidak kekuningan biarpun lama digunakan. Penggunaan secara berulang boleh menyebabkan kadmium di dalamnya terhakis dan mencemarkan makanan atau minuman,” katanya.

“Pembungkus makanan daripada bahan PVC sepatutnya tidak boleh mengandungi lebih daripada satu miligram per kilogram (mg/kg) VCM.

“Makanan yang dibungkus dengan PVC dan dicemari VCM melebihi 0.05mg/kg tidak sesuai dimakan kerana boleh mendatangkan kesan mudarat pada kesihatan,” katanya.

Dr Jamal berkata, beg plastik makanan diperbuat daripada polyethylene (PE) dan PE tidak mengandungi VCM. Jadi penggunaannya tidak menyebabkan barah, namun masih tidak sesuai digunakan berulang-ulang.

Katanya, botol minuman diperbuat daripada polyethylene terephthalate (PET) selamat digunakan dalam keadaan biasa, namun memanaskannya boleh mengeluarkan ‘phthalates’.

Phthalates disyaki boleh meniru hormon manusia, tetapi ia tidak menyebabkan barah, namun ia boleh mengganggu fungsi hormon manusia.

“Jika peraturan ini tidak dipatuhi, ia boleh mendatangkan kesan negatif kepada pengguna. Peraturan mengenai pembungkus dan bekas makanan daripada PVC terkandung di dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985.

“Namun tidak ramai menyedarinya kerana kesedaran terhadap penggunaan barangan plastik untuk pembungkusan atau menyimpan makanan atau air masih rendah,” katanya.

Dr Jamal berkata, penggunaan botol plastik mengundang bahaya lain seperti jangkitan kuman kerana bakteria boleh membiak berikutan bahan itu sukar dicuci bersih dan melekat daki.

“Jika ragu-ragu mengenai jenis plastik yang boleh digunakan secara berulang untuk menyimpan makanan, sila rujuk kepada Bahagian Kawalan Mutu Kementerian Kesihatan,” katanya.

Kenyataan Dr Jamal mengesahkan laporan Buletin Pengguna mengenai bahaya penyalahgunaan botol plastik serta bekas makanan diperbuat daripada stirofom dan polisterin.

Buletin itu diterbitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Pengarah Komunikasi Fomca yang juga Timbalan Ketua Sidang Pengarang Buletin Pengguna, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pihaknya mengetengahkan bahaya penggunaan botol plastik berulang kali kerana ramai menggunakan botol air mineral sebagai bekas minuman di dalam peti sejuk.

“Lebih berbahaya, ramai menjadikan botol itu sebagai bekas minuman anak ke sekolah, bekal ke pejabat atau untuk beriadah. Sedangkan botol berkenaan hanya boleh digunakan sekali atau dua atau paling lama seminggu sebelum perlu dibuang,” katanya.

Mohd Yusof berkata, kurang pengetahuan dan kesedaran menyebabkan banyak lagi amalan rakyat negara ini mendedahkan mereka kepada pelbagai penyakit kronik.

Katanya, penggunaan kertas akhbar dan majalah, selain bekas makanan diperbuat daripada stirofom atau polisterin, juga boleh mengakibatkan tersebarnya logam ke dalam tubuh.

“Kertas akhbar dan majalah mengandungi timah hitam melebihi had dibenarkan. Apabila timah hitam ini ada dalam tubuh, ia masuk ke saluran pernafasan dan pencernaan, seterusnya sistem peredaran darah sebelum tersebar ke bahagian lain seperti ginjal, hati, otak, saraf dan tulang. Ini cukup berbahaya dan tidak boleh dijadikan pembungkus makanan.

“Bahan pembungkus stirofom dan polisterin pula kini cukup popular, tetapi kajian mendapati ia mengandungi bahan unsur karsinogen,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd, Mohamed Siraj Razack, turut memberi amaran mengenai bahaya penggunaan botol plastik, bekas menyimpan makanan serta bahan pembungkus jenis stirofon atau polisterin yang disifatkannya pembunuh senyap.

“Bahan berasaskan plastik itu boleh digunakan sekali dua saja. Jika dibasuh berulang kali, bahagian dalamnya terhakis dan mengeluarkan bahan kimia yang memudaratkan kesihatan,” katanya.

Mohamed Siraj berkata, bahan kimia dalam bekas plastik mudah terhasil apabila terkena cahaya matahari, misalnya botol mineral bagi mengisi air minuman yang ditinggalkan dalam kereta.

“Bekas plastik terbabit sepatutnya dikitar semula untuk dijadikan barangan berasaskan plastik lain yang tiada kaitan dengan makanan.

“Sebaiknya, untuk menyimpan makanan atau minuman, gunakan bahan dibuat khusus untuk digunakan berulang kali, misalnya termos atau jenis plastik tahan panas dan khusus untuk menyimpan makanan,” katanya.

Mohamad Siraj berkata, kepanasan makanan atau minuman yang disimpan dalam bekas plastik tertentu juga boleh menghasilkan bahan kimia yang memudaratkan kesihatan, misalnya amalan minum teh tarik bungkus.

“Teh tarik seeloknya diminum menggunakan cawan kerana wap yang keluar daripada plastik pembungkus yang bercampur dengan teh boleh menyebabkan tindak balas kimia.

“Kari panas dibungkus menggunakan bahan plastik juga amalan tidak baik dan kesannya sama seperti teh tarik bungkus,” katanya.

Mohamed Siraj berkata, semua barangan plastik diterima oleh pusat kitar semula. Sehubungan itu, kesedaran terhadap bahaya penggunaan bekas plastik secara berulang akan mengalihkan perhatian pengguna untuk mengitar semula barangan terbabit dalam menjaga alam sekitar

Teknologi Hijau : Apa Kepentingannya Kepada Masyarakat & Negara

Temubual Galeri@1, RTM 1
Y. Bhg. Dato’ Dr Halim Bin Man
Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

1. Apakah maksud ‘teknologi hijau’?
Teknologi hijau adalah aplikasi sains alam sekitar untuk memulihara sumber dan alam semulajadi bagi menangani impak negatif aktiviti manusia. Teknologi Hijau adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding dengan teknologi sedia ada. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber seperti tenaga, air dan sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu produk. Oleh yang demikian, apa-apa teknologi yang menyumbang kepada pengurangan pelepasan Gas Rumah Hijau atau digunakan untuk membangunkan produk dan perkhidmatan yang menghasilkan pelepasan Gas Rumah Hijau yang tinggi perlu dikurangkan melalui kesedaran pada peringkat permulaannya dan selanjutnya melalui penguatkuasaan. Aplikasi Teknologi Hijau juga adalah selaras dengan konsep pembangunan mapan (sustainable development) di mana pembangunan yang dilaksanakan perlu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi masa depan. Sehubungan itu, kita bertanggungjawab untuk memastikan generasi akan datang dapat sekurang-kurangnya menikmati kualiti kehidupan yang kita perolehi sekarang atau kualiti yang lebih baik dari sekarang.

2. Mengapakah teknologi hijau diberi penekanan dalam pentadbiran negara?
Pada 9 April lalu, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan pembentukan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi menggantikan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi. Saya percaya penekanan terhadap “teknologi hijau” adalah pendekatan yang tepat dalam menangani masalah alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi. Ia juga selaras dengan agenda utama Kerajaan-Kerajaan di seluruh dunia pada masa kini yang memberi prioriti kepada isu-isu alam sekitar khususnya fenomena perubahan cuaca dunia. Kita sebagai penduduk dunia perlu bertanggungjawab untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjadikan dunia ini a better place to live in.

Dalam mengaplikasi teknologi hijau, faedah terbesar ialah dari segi peningkatan kualiti hidup rakyat dengan menjamin kualiti alam sekitar yang lebih mapan. Pencemaran udara, air, bunyi dan sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat sekiranya masalah tersebut dibiarkan berterusan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam sekitar adalah minima.

Teknologi hijau juga mempunyai potensi besar dalam memacu pembangunan negara. Industri yang menggunakan atau membangunkan produk berhubung teknologi hijau dapat menyediakan peluang-peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan. Kita boleh juga meneroka peluang mengeksport produk ’hijau’ yang telah kita hasilkan. Pasaran untuk teknologi dan produk hijau amat besar, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharu atau renewable energy. Contohnya, industri solar photovoltaic telah dikenalpasti sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru untuk negara kita. Mengikut unjuran kami, menjelang tahun 2020, industri PV dapat menyumbang sebanyak 4 peratus pendapatan daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).

Kerajaan akan menyediakan dasar yang sesuai untuk mempromosikan teknologi hijau. Pihak swasta, para profesional serta penyelidik harus bekerjasama untuk mencipta dan mengkomersilkan teknologi hijau.

3. Apakah kepentingan aplikasi teknologi dan amalan hijau dalam kehidupan kita sebagai orang awam?
Seperti yang telah saya katakan tadi, secara amnya, Teknologi Hijau merupakan satu teknologi yang mesra alam dan merupakan teknologi yang rendah karbon bagi mengurangkan pelepasan gas karbon ke udara yang menyebabkan antara lainnya fenomena perubahan cuaca dunia. Antara kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang kita rasai pada masa kini ialah cuaca yang melampau seperti keadaan cuaca panas yang sedang kita hadapi pada masa ini. Selain itu, kejadian bencana alam seperti ribut taufan, kecairan ais di Kutub Utara dan Selatan,  kenaikan paras dan suhu air laut,  kepupusan spesis flora dan fauna dan sebagainya juga merupakan kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang prominen pada masa sekarang. Oleh yang demikian, mitigasi fenomena perubahan cuaca dunia telah menjadi antara prioriti dalam masyarakat dunia pada masa kini.

Proses perubahan cuaca global sememangnya tidak dapat dihalang. Walau bagaimanapun, usaha-usaha boleh dilakukan untuk melambatkan proses ini. Oleh yang demikian, aplikasi Teknologi Hijau merupakan salah satu langkah yang diambil bagi melambatkan proses perubahan cuaca dunia. Kita sebagai pengguna merupakan salah satu daripada penyumbang terbesar dalam pelepasan gas rumah hijau melalui aktiviti harian dan pilihan yang kita buat sebagai contohnya penggunaan kereta, tenaga elektrik, penggunaan bahan-bahan kimia seperti racun serangga dan sebagainya.

Sehubungan itu, aplikasi teknologi dan amalan hijau seperti penggunaan alat-alat elektrik cekap tenaga, penggunaan kenderaan awam atau bahan api alternatif, penjimatan penggunaan air merupakan antara perkara-perkara yang boleh dipertimbangkan dalam melaksanakan aktiviti harian kita. Walaupun amalan-amalan hijau bukan merupakan satu kebiasaan pada sebahagian daripada kita pada masa kini, kita perlu mengubah minda kita bagi memastikan kita masih akan dapat menikmati kehidupan yang kita nikmati pada hari ini dalam jangka masa panjang. Kita juga harus sedar bahawa pilihan-pilihan yang dibuat oleh kita pada hari ini akan menentukan masa depan yang akan dilalui oleh anak-anak kita di masa akan datang. Oleh yang demikian, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua agar mula mendekati amalan-amalan hijau yang kecil seperti mengitar semula sampah, menggunakan peralatan cekap tenaga, mengamalkan penjimatan tenaga dan air dan sebagainya.

4.  Boleh Y.Bhg Dato’  berikan sedikit saranan dan harapan Datuk kepada masyarakat ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengutamakan teknologi hijau?
Usaha Kerajaan untuk menerapkan teknologi hijau perlu dilihat dari dua aspek. Pertama ialah aspek inovasi, iaitu usaha mencipta atau membangunkan teknologi hijau. Kita tidak semestinya mencipta sesuatu yang komplikated atau kompleks. Produk mudah yang mesra alam serta praktikal untuk negara kita boleh dihasilkan. Adalah penting supaya pelajar-pelajar digalakkan dari peringkat  sekolah lagi untuk mencipta sesuatu. Pada peringkat yang lebih tinggi pula, para penyelidik kita boleh menghasilkan teknologi yang dapat menghasilkan sesuatu produk tanpa membazir sumber-sumber seperti tenaga dan air. Rekaan baru haruslah rekaan praktikal yang boleh dikomersilkan untuk penggunaan tempatan dan untuk tujuan eksport.

Keduanya ialah penggunaan atau aplikasi teknologi hijau sama ada dalam melaksanakan proses kerja atau amalan hidup seharian. Kita harus mengamalkan amalan hijau sebanyak yang boleh, bermula dengan perkara-perkara mudah yang boleh kita laksanakan. Contohnya, kita boleh membawa air minum dalam bekas tanpa keperluan membeli botol-botol air. Kalau kita membeli makanan untuk dibawa balik ke rumah, eloklah kita menggunakan bekas makanan sendiri daripada menggunakan bekas styrofoam atau plastik yang tidak mesra alam. Bawalah beg sendiri ketika membeli-belah.

Pengguna juga harus mengutamakan pembelian peralatan elektrik jenis cekap tenaga. Utamakan penggunaan lampu cekap tenaga. Tindakan sedemikian akan menghasilkan penjimatan tenaga. Walaupun harga peralatan cekap tenaga lebih mahal sedikit berbanding peralatan biasa, namun penjimatan tenaga adalah banyak dan kurang menjejaskan alam sekitar. Yang penting adalah supaya kita mulakan dengan langkah-langkah yang mudah dan murah dahulu. Jadikan amalan hijau budaya hidup. Ibubapa harus menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak supaya mereka akan turut terdorong untuk mengamalkan budaya hijau.