Monday, February 28, 2011

PERTANIAN ORGANIK : Kebaikan dan Kelebihan

Oleh : Nurul Farhana Norinee Bt Ariffin
SMK (A) Sibu

Pertanian organik didefinisikan sebagai sistem pengurusan pengeluaran makanan holistik, yang menggalakkan dan meningkatkan kesihatan ekosistem. Melalui kaedah holistik semula jadi, pertanian organik menyatukan kepelbagaian bio liar, kepelbagaian bio pertanian dan pemuliharaan tanah. Ia merupakan pertanian satu langkah ke hadapan yang menghapuskan baja kimia, racun makhluk perosak dan organisma ubah suai genetik (GMO), yang bukan hanya memperbaiki kesihatan manusia, tetapi juga flora dan fauna dan alam sekitarnya, termasuk kepelbagaian bio, pusingan biologikal dan aktiviti biologikal tanah.

Antara kebaikan pertanian organik kepada masyarakat ialah dapat meningkatkan dan mengekalkan kesuburan tanah. Hal ini kerana, pertanian organik menggunakan sistem pertanian yang sistematik dan mengaplikasikan pelbagai kaedah pertanian. Sebagai contoh ialah, kaedah tanaman giliran. Tanaman giliran ialah proses penanaman lebih dari satu jenis tanaman pada kawasan yang sama tetapi masa yang berlainan. Hal ini demikian kerana, tanaman pertama boleh mempengaruhi kesuburan tanaman kedua. Jadi, kesuburan tanah bukan sahaja akan dapt dikekalkan, bahkan akan lebih subur daripada sebelumnya.

Selain itu, pertanian organik juga dapat mengeluarkan makanan yang sihat dan selamat kepada masyarakat. Semestinya, pertanain organik akan menghasilkan makanan yang bebas daripada bahan-bahan kimia. Hal ini kerana, tanaman organic tidak menggunakan racun perosak tetapi menggunakan kawalan biologi untuk mengawal haiwan perosak. Sebagai contohnya ialah, dengan pemeliharaan burung hantu, haiwan perosak seperti tikus akan dapat dikawal. Jadi, tanaman akan selamat daripada gangguan haiwan perosak. Jelaslah di sini, makanan daripada pertanian organic selamat untuk dimakan.

Di samping itu, tanaman organik juga akan membantu pengitaran semula sisa pertanian, sisa dapur sisa laman dan najis haiwan ternakan secara biologikal. Hal ini kerana, proses pengitaran ini melibatkan proses organisma yang tidak memberikan impak negatif kepada tanaman mahupun masyarakat. Contohnya, najis lembu ternakan boleh dijadikan baja kompos kepada tanaman. Dengan pengitaran ini, najis lembu tadi tidaklah dibuang begitu sahaja. Malahan baja kompos ini tidak mengandungi sebarang unsur kimia yang boleh memudaratkan kesihatan penguna. Oleh itu, pengitaran semula ini akan menjadikan tanaman organik berkualiti dan dapat mengelak berlakunya pembaziran.

Pertanian organik juga mampu mengawal rumpai dan serangga perosak melalui kaedah biologi, fizikal mahupun kultura. Melalui kaedah ini rumpai dan serangga perosak dapat dikawal dengan berkesan tanpa memberi kesan negatif kepada petani dan penggunanya berbanding dengan penggunaan racun serangga. Contohnya, pokok penangkis perosak seperti serai mampu menghalau serangga perosak serta tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar. Justeru, tanaman organik dapat membantu mengawal rumpai dan serangga perosak melalui kaedah biologi, fizikal, mahupun kultura.

Konklusinya, pertanian organik memberi banyak manfaat kepada kita. Selain daripada meningkatkan kesuburan tanah, tanaman organik juga bebas daripada bahan kimia dan selamat untuk dimakan walaupun tanpa cucian. Pertanian organik juga membantu kita untuk membuang sisa-sisa daripada ke arah yang lebih berfaedah. Justeru itu, pertanian organik haruslah disokong dari segenap penjuru masyarakat.

No comments: