Tuesday, May 10, 2011

Kebanjiran Warga Asing

Sumber : Dewan Masyarakat

Kebanjiran Warga Asing Mendatangkan Keburukan?

Penulis terpanggil untuk memberikan pendapat dalam kolum “Mengapa Malaysia Dibanjiri Warga Asing” dalam Dewan Masyarakat keluaran April 2010.

Pembangunan yang pesat di negara ini telah membuka peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor. Bidang perindustrian dan perkilangan merupakan sektor yang memerlukan jumlah pekerja yang banyak. Memandangkan rakyat tempatan tidak berminat dalam sektor berkenaan kerana gaji yang ditawarkan sedikit atau pihak berkenaan ingin mengurangkan kos, maka pekerja asing menjadi tumpuan mereka.

Tidak dapat dinafikan pekerja asing telah membantu masyarakat Malaysia dalam melengkapkan visi dan misi pembangunan negara. Namun begitu, kebanjiran pekerja asing juga menyebabkan negara ini mengalami kerugian. Pelbagai masalah timbul disebabkan kebanjiran pekerja asing. Antaranya ialah masalah tempat tinggal. Segelintir majikan menyediakan tempat tinggal kepada pekerjanya, manakala sebahagiannya tidak. Ini menyebabkan penempatan setinggan kian bertambah dan menimbulkan suasana pemandangan yang jelek.

Sekiranya pelancong asing melihat pemandangan yang kotor serta kedaifan dan kemiskinan warga asing yang mendiami kawasan tersebut, pastinya mereka beranggapan bahawa Malaysia sebuah negara miskin dan mengamalkan budaya hidup yang tidak sihat. Situasi seumpama ini mendatangkan kesan yang negatif dari sudut kehadiran pelancong, seterusnya menjatuhkan imej negara di mata dunia.

Kehadiran pekerja asing di negara kita juga antara penyebab kadar jenayah semakin meningkat. Perkara sebegini pasti mendatangkan kebimbangan dan kerisauan masyarakat kerana keselamatan mereka tergugat. Kes kecurian, pergaduhan dan pembunuhan sering berlaku akhir-akhir ini. Kegiatan pelacuran dan perdagangan manusia juga semakin meningkat.

Selain itu, negara kita menanggung kerugian lebih daripada RM4 bilion melalui aliran keluar mata wang secara besar-besaran oleh pekerja asing yang menghantar wang kepada keluarga mereka. Hal ini menjejaskan imbangan pembayaran negara dan membantutkan perkembangan ekonomi negara. Manakala dari segi putaran modal pula, negara mengalami kerugian kerana kebanyakan wang yang dikeluarkan dalam bentuk gaji tidak digunakan untuk dibelanjakan di negara ini. Pihak hospital juga turut menanggung kerugian kerana ramai antara pekerja asing tidak melunaskan bil tuntutan yang dikenakan ke atas mereka. Sebagai contoh, pada 2006, pihak hospital di seluruh negara mengalami kerugian sebanyak RM6.75 juta bil hospital yang belum dibayar oleh pekerja asing. Manakala pada 2007, jumlahnya semakin meningkat kepada RM7.17 juta.

Kesimpulannya, walaupun kita tidak mampu untuk mengawal jumlah kemasukan pendatang asing, namun tindakan yang tegas dan bijaksana harus diambil oleh pihak kerajaan untuk menangani kebanjiran warga asing ini, agar memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Malaysia seluruhnya terus terpelihara.


Muhammad Zahid Mohd. Zain
Pasir Mas, Kelantan
.

 



Monday, May 9, 2011

Biodiversiti : Cabaran & Langkah Pemeliharaan

Biodiversiti (Edisi 3)
Sumber : http://gegeplace.blogspot.com
&
Perbincangan Pelajar, Guru SMK Agama Sibu

Apakah masalah dan cabaran biodiversiti dunia? Antaranya ialah :
Kegiatan pembangunan dan eksploitasi ekonomi oleh manusia telah mengubah dan sekaligus menghapuskan habitat dan keseimbangan biodiversiti. Banyak aktiviti yang boleh merosakkan yang berlaku menyebabkan terjejasnya biodiversiti. Akibatnya, banyak spesis yang belum lagi dikenalpasti telah pupus. Ada di antara spesis ini telah disenaraikan dalam ketegori sepsis terancam. Jika tidak ditangani awal dari sekarang, biodiversiti yang ada sekarang akan terjejas teruk dan mungkin hilang buat selamanya.

Kerakusan penerokaan hutan khasnya Hutan Hujan Khatulistiwa dan Hutan Tropika dengan tujuan mengaut keuntungan juga menjejaskan biodiversiti. Contohnya kemunculan pelancong berasaskan alam semulajadi atau pelancongan eko adalah satu aktiviti penting yang bolkeh mendatangkan hasil kepada negara membangun. Namun andainya pelancongan eko tidak dilaksanakan dengan teratur boleh menyebabkan kerosakan biodiversiti. Kemusnahanhabitat akibat penukaran tanah untuk pertanian, perlombongan, penempatan, pembinaan dan sebagainya untuk tujuan pembangunan juga bakal memusnahkan kekayaan biodiversiti dunia.

Namun begitu, keadaan dan perubahan iklim dunia dan faktor semulajadi sepeti bencana alam juga merupakan cabaran bagi pengekalan biodiversiti dunia.Antaranya ialah seperti tanah runtuh, banjir, kemarau, tsunami di Malaysia (2004) dan sebagainya menyebabkan kemusnahan kepada kepelbagaian biologi daratan dan akuatik dunia.

Malah, sikap pengguna yang menggunakan sumber biologi secara tidak lestari atau tidak mesra alam seperti aktiviti pembalakan dan pemburuan yang tidak terkawal menjadi satu agenda kepada kepupusan kepelbagaian biologi.

Apakah langkah untuk memelihara biodiversiti ini?
Untuk mengawal kemusnahan biodiversiti ini, langkah seperti mengadakan bengkel mengenai pengurusan biodiversiti perlu diperbanyakkan dan secara telus tanpa mengira sempadan tempat. Contohnya, Bengkel mengenai pengurusan biodiversiti : Isu Dasar dan Cabaran kepada Malaysia yang telah dilangsungkan pada 17 Ogos 1999 dianjurkan bersama oleh Institut Kajian Pembangunan (SABAH), Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia(MIER) dan Queen’s University, Kingston, Canada. Bengkel tersebut dibiayai oleh Agensi Pembangunan Antarabangsa Kanada (CIDA), NGO’s dan badan-badan swasta. Antara isu yang disentuh adalah mengenai biodiversiti, bioprospek, pengurusan dan pengawasan pelancongan eko dan perlindungan spesis terancam. Dengan adanya bengkel seperti ini boleh memberi maklumat dan pendedahan kepada masyarakat tentang kepentingan penjagaan kepelbagaian biologi.

Selain itu, kita juga perlu menggalakkan dan memperbanyakkan penubuhan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).Contohnya Taman Teknologi Malaysia(TPM) sedang giat menjalankan kajian terhadap potensi-potensi yang boleh digunakan daripada hasil khazanah alam negara. Pusat-Pusat penyelidikan seperti Pusat Biodiversiti Raub menjalankan kerja-kerja mengutip, memelihara dan menjalankan kerja-kerja kajian farmakologi sampel, pemprosesan dan penghasilan benih.Ini boleh membantu memelihara kepelbagaian biologi dunia.

Pada waktu yang sama, kerajaan juga perlu mengetatkan kawalan dan melakukan pemantauan yang lebih telus. Antara teknologi konservasi biodiversiti yang paling praktikal dan digunakan secara meluas pada masa kini adalah secara penentuan dan pemantauan menerusi satelit. Aktiviti pembalakan dan pemburuan haram misalnya perlu dikawal lebih ketat. Begitu juga dengan biodiversiti akuatik Malaysia yang mempunyai nilai yang tinggi, pengawalan terhadap hidupannya termasuk terumbu karang perlulah dilakukan dengan lebih mantap supaya tidak merugikan negara.

Biodiversiti : Kepentingan & Fungsi

Biodiversiti (Edisi 2)
Sumber : http://gegeplace.blogspot.com 
perbincangan guru, pelajar di SMK Agama Sibu

Majalah estidotmy, February 2007 menulis definisi biodiversiti sebagai kepelbagaian biologi atau “biodiversity” didefinisikan sebagai keanekaan antara organisma hidup dari pelbagai sumber dari daratan mahupun samudera dan lain-lain yang melangkau ekosistem akuatik dan sebahagian daripada ekosistem yang kompleks termasuk didalam kelompok spesis dan antara sepsis dan ekosistemnya.

Kepentingan atau peranan biodiversiti ini terbahagi kepada 2 iaitu : Kepentingan kepada manusia dan kepentingan kepada alam.

Kepentingan Kepada Alam :
Biodiversiti sangat penting untuk mengekalkan kitaran hidrologi. Hal ini demikian kerana hidupan semulajadi berfungsi sebagai penyerapan. Air dari tanah akan dibebaskan melalui proses transpirasi. Hutan, padang rumput dan tanah lembab akan menyerap air apabila jumlahnya banyak dan membebaskannya sedikit demi sedikitbila air bertakung. Ini sekaligus mengawal banjir dan kejadian bencana alam lain seperti tannah runtuh, banjir lumpur dan sebagainya.

Selain itu,  biodiversiti juga memberi khidmat ekosistem seperti mengatur perjalanan cuaca dan iklim (modifikasi iklim). Tumbuhan misalnya, juga menyerap radiasi daripada cahaya matahari dan membebaskan wap. Keadaan ini akan mempengaruhi keadaan iklim dan sekaligus menyederhanakan suhu. Oleh itu, kestabilan iklim akan berlaku dengan adanya fungsi oleh kepelbagaian biologi biodiversiti ini.

Biodiversiti juga mempu menghalang hakisan tanah. Hal ini demikian kerana, daun dan sampah hutan boleh menyerap dan mengurangkan impak air hujan. Keadaan ini sekaligus menghalang tanah menjadi pecah.Selain itu, akar berfungsi “mengikat tanah”dan membantu menghalang berlakunya hakisan terutamanya di kawasan tanah tinggi. Manakala tumbuhan, haiwan kecil dan mikroorganisma menyumbang kepada pembentukan tanah. Di kawasan yang berombak, paya bakau berfungsi mengurangkan kesan puklan ketika rebut. Ini bukan sahaja menjaga kontur pantai malah dapat menyelamatkan harta benda dan nyawa. Oleh itu, kepelbagaian biologi boleh mengawal dari berlakunya bencana alam.

Tumbuhan juga boleh menghasilkan oksigen untuk pernafasan dan respirasi. Manakala mikrob pula membantu menambah kesuburan tanah serta penetapan kandungan nitrogen dalam tanah. Kepelbagaian biodiversiti juga boleh menghalang tompokan sebatian nitrogen seperti unsur-unsur Ammonium dan Nitrat yang boleh mengganggu kesuburan tanah. Dengan kata lain, biodiversiti berperanan menyelenggara kitaran Oksigen dan Nitrogen.

Kepentingan Kepada Manusia :
Biodiversiti berguna kepada manusia. Hal ini demikian kerana, kini sebanyak 3000 spesis tumbuhan di dunia ini dikenalpasti berfungsi sebagai anti-kanser. Dijangkakan sumbangan kekayaan kepelbagaian biodiversiti ini menyumbangkan US$8 BILION setahun untuk menghasilkan ubat bagi syarikat yang mengendalikan bidang ini. Contohnya, ANTHROPOSENTRIK, digunakan dalam memajukan Bank Genetik khasnya untuk memajukan sktor pertanian, perhutanan, akuakultur dan penternakan. Ia juga boleh digunakan sebagai sumber perubatan yang menyumbang jutaan ringgit setahun kepada ekonomi negara. Jelas bahawa kekayaan kepelbagaian spesis biodiversiti ini mampu memperbaiki tahap kesihatan masyarakat dan meningkatkan jangka hayat manusia.
 
Selain itu, kepelbagaian biodiversiti ini juga mempunyai “nilai intrinsik" atau nilai yang tersendiri dan setiap benda hidup di atas muka bumi ini mempunyai "hak untuk hidup. Setiap benda hidup tidak kira haiwan, tumbuhan dan manusia mempunyai “hak asasi” masing-masing. Benda hidup mempunyai ingatan, emosi dan kesakitan. Oleh itu, ia perlu dijaga kerana mempunyai hak dan peranan sebagaimana manusia.





Sunday, April 24, 2011

Perspektif Wawasan 2020

Isu Utama yang Harus Dihadapi Bagi Membolehkan Malaysia 
Mencapai Taraf Negara Maju

Rujukan Artikel : http://pmr.penerangan.gov.my

(i)  Pembentukan Satu Negara Bangsa Malaysia 
Konsep satu negara bangsa mempunyai makna yang dalam kerana ia bermaksud sebuah negara berdaulat yang rakyatnya tidak dapat diidentifikasikan melalui kaum, keturunan atau warna kulit. Pembentukan satu negara bangsa adalah menjadi pra-syarat kepada kemajuan kerana tanpa rakyatnya mempunyai satu pemikiran terhadap satu negara dan bangsa, sebarang bentuk kerjasama untuk maju tidak akan terjalin. Bagi mengisi konsep ini istilah seperti perpaduan negara, kesetiaan kepada negara, keharmonian dan toleransi perlulah difahami dan diamalkan.
(ii)  Negara Perindustrian 
Negara yang telah berjaya mengubah corak ekonomi dan kehidupannya daripada pertanian kepada perindustrian adalah mempunyai status negara maju. Wawasan 2020 berkehendakkan rakyat Malaysia meneruskan proses transformasi ini yang telah dimulakan sejak merdeka lagi kerana pencapaian sekarang masih lagi di pertengahan jalan. Ini adalah kerana proses ini bukan sahaja melibatkan transformasi daripada kehidupan bertani kepada perindustrian malah ia juga melibatkan perubahan teknologi, ekonomi, sosial dan kebudayaan.   
Masyarakat negara maju adalah masyarakat yang didokong oleh kemahiran dan kepakaran sains dan teknologi yang tinggi yang bukan setakat boleh mencedok atau mengubahsuai sahaja tetapi ia mestilah boleh mencipta, menambah dan memperbaharui. Bagi mencapai taraf negara perindustrian pertumbuhan ekonomi yang amat pesat amatlah penting. Ia sudah tentunya berkait dengan sumbangan sektor perdagangan dan komersial yang secara langsung melibatkan soal modal, pelaburan, daya saing, kualiti tenaga kerja, berdikari dan kekentalan menghadapi cabaran-cabaran. Di peringkat ini peranan sektor swasta amatlah besar kerana ia akan menjadi jentera Pertumbuhan.
   
(iii)  Keadilan Ekonomi dan Sosial 
Penwujudan satu masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi dan sosial memang tidak dapat disangkal sebagai satu cabaran besar yang perlu dihadapi bagi penwujudan satu negara maju dan bersatu. Ini ialah kerana dalam sebuah negara maju tidak patut wujud keadaan di mana satu golongan rakyat mempunyai segala-galanya sedangkan satu golongan lagi tercicir.
Pernyataan Wawasan ini adalah mempakan penegasan semula keatas isu yang sentiasa diberi dan meminta perhatian utama iaitu pembasmian kemiskinan, keseimbangan sosioekonomi di antara kaum, di antara wilayah, di antara negeri dan diantara bandar dan luar bandar. Dalam konteks ini Wawasan 2020 sebenarnya telah meminta semua rakyat Malaysia tidak salah tafsir terhadap bantuan yang diberikan kepada sesuatu kaum golongan sebagai tidak adil, sebaliknya hendaklah menganggapnya sebagai satu usaha bagi memperbaiki ketidak-adilan. Kesungguhan bagi mencapai tahap keseimbangan ini seterusnya telah diterjemahkan ke dalam objektif Dasar Pembangunan Nasional dan dilaksanakan melalui program dan projek Rancangan Malaysia Keenam.
(iv)  Moral dan Etika 
Berlainan dengan konsep negara maju yang ada sekarang yang lebih bercirikan kebendaan, negara maju ala-Malaysia yang dicita-citakan seharusnyalah berpegang kepada falsafah moral dan etika yang tinggi berasaskan kepercayaan agama. Penganutan falsafah ini adalah penting kerana kemajuan kebendaan tanpa nilai-nilai moral dan etika tidak akan mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian yang berkekalan sebaliknya banyak membawa keburukan. Pengamalan nilai-nilai murni (seperti di dalam Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam) akan menjadi faktor penghalang dalaman untuk tidak menyalahgunakan kemahiran atau kekayaan yang dimiliki.
(v)  Pembangunan Masyarakat Berdasarkan Sistem Kekeluargaan 
Wawasan ini telah mengetengahkan perkara pokok sistem sosial iaitu pembangunan keluarga berdasarkan hakikat bahawa keluarga menjadi asas pembentukan masyarakat dan masyarakat pula menjadi asas pembinaan negara. Ini membawa maksud bahawa kekuatan dan kemajuan sesebuah negara itu bermula dan terletak pada keluarga dan masyarakat. Penegasan ini amatlah benar kerana keluarga (rumah tangga) dan masyarakatlah yang mencorakkan kualiti individu yang menjadi rakyat dan pemimpin sesebuah negara. Budaya bangsa yang merangkumi sistem nilai dan cara hidup (termasuk masyarakat penyayang dan budaya menyayangi) sebagaimana yang dicita-citakan dalam Wawasan ini hendaklah digerakkan dari awal lagi dan ini memerlukan rakyat menyedari kepentingan institusi keluarga dalam memajukan negara dan mengambil langkah-langkah perlu bagi mewujudkan keluarga dan masyarakat yang sempurna   . 

Penutup
Sekali imbas Wawasan 2020 seolah-olah merupakan wawasan ekonomi semata-mata kerana ia mementingkan persoalan pembangunan ekonomi untuk Malaysia menjadi negara perindustrian, tetapi jika dihalusi ia sebenarnya lebih daripada itu oleh kerana ia juga menyentuh perkara-perkara berkaitan dengan aspek sosial dan cara hidup seperti pembentukan dan keperibadian bangsa, moral dan etika, kebudayaan kebangsaan, pembangunan sumber manusia dan lain-lain.
Wawasan 2020 bukanlah slogan untuk dilaung-laungkan, tetapi ia lebih merupakan rangka kerja tindakan framework of action bagi setiap rakyat untuk mengambil langkah-langkah tertentu bagi memastikan Malaysia menjadi negara yang benar-benar maju dan makmur. Dalam konteks ini Wawasan tersebut memerlukan beberapa perisian penting, di antaranya ialah kualiti tenaga kerja yang dihasilkan oleh sistem pendidikan, perubahan sikap dan nilai, penekanan keada sains dan teknologi, perancangan, dan peranan sektor swasta yang lebih dinamik.

Malaysia Ke Arah Negara Maju & Kompetitif


Malaysia Sebagai Sebuah Negara Maju & Kompetitif
(Hasil perbincangan pelajar di http://cgsue4118.forumotion.com )

Antara kandungan misi kerajaan dalam RMK-10 ialah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju yang kompetitif di peringkat antarabangsa. Untuk mencapai matlamat ini, usaha dan langkah perlu disusun sebagai landasan setanding dengan negara maju yang lain.

1. Melahirkan modal insan kelas pertama
Sejumlah 21% daripada keseluruhan belanjawan sebanyak RM33.4 billion dalam RMK 9, diumumkan Perdana Menteri khusus untuk Institusi Pendidikan untuk latihan dalam usaha memperkasakan modal insan berteraskan ilmu pengetahuan. Untuk apa? supaya modal insan, golongan belia negara mempunyai pemikiran kelas pertama yang boleh menguasai sebarang kepakaran ilmu pengetahuan, agar tidak bergantung sepenuhnya dengan kepakaran luar. Dengan adanya golongan seperti ini mampu meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaya saing dari semua segi.

2. Malaysia sebagai destinasi pelaburan antarabangsa
Usaha lain ialah, menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan antarabangsa. Hal ini demikian kerana, sekiranya Malaysia berjaya muncul sebagai sebuah destinasi pelaburan yang stategik dan menguntungkan serta sebagai negara yang menarik untuk kehidupan rakyat, akan menarik pelabur untuk melabur dan menambah dana untuk pembangunan negara. Contohnya, jika hasrat untuk menjayakan wawasan 2020 tercapai, Malaysia sudah menghampiri status negara maju dan berdaya saing. Oleh itu peranan pelaburan asing sebenarnya aset penting ke arah meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang kompetitif.

3. Mewujudkan persekitaran kondusif
Selain itu, Malaysia juga perlu mewujudkan persekitaran kondusif bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi. Hal ini kerana, kemudahan seperti premis perniagaan, perusahaan, pentadbiran dan segala kemudahan awam yang mencukupi bukan sahaja menggalakkan pelaburan dari luar negara, tetapi memberi imej positif terhadap negara luar. Persekitaran yang kondusif juga membolehkan Malaysia bersaing dengan negara luar dari segi persekitaran dalam negara. Oleh itu,  faktor kepelbagaian etnik boleh dijadikan satu elemen kejayaan negara di erena antarabangsa. 

4. Memperkasakan sistem pengangkutan awam dan perhubungan domestik dan antarabangsa.
Sistem pengangkutan yang maju, selamat, mesra alam dan berteknologi tinggi penting untuk menjadi sebuah negara maju dan kompetitif. Oleh itu Malaysia perlu memperkasakan sistem perhubungan supaya misi berstatuskan negara maju tercapai. Contohnya pelaksanaan projek mega Mass Rapid Transit berkapasiti tinggi yang menjadi ikon kepada pembangunan negara tidak cukup. Malaysia perlu membangunkan jaringan perhubungan tanpa sepadan secara domestik dan juga perhubungan intra. Dengan adanya jaringan perhubungan dan pengangkutan yang maju, barulah Malaysia mampu berdaya saing dan mengejar negara maju yang lain.

Oleh itu, untuk mencapai hasrat memegang status negara maju, banyak yang perlu dibuat penambahbaikan oleh Malaysia. Adalah bukan mustahil untuk mencapai status berdaya saing sekiranya objektif wawasan 2020 difahami dan diaplikasi dengan galakan dan bantuan sepebuhnya melalui kerjasama kerajaan yang metadbir dan rakyat yang ditadbir.

Saturday, April 2, 2011

Orang Awam Kurang Jelas Maklumat Tenaga Nuklear

MAHASISWA Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencadangkan perbahasan dan perbincangan berkaitan tenaga nuklear dibincangkan secara terbuka dalam usaha memberi kefahaman kepada masyarakat.
Presiden Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM), Ahmad Muzzammil Muhd Hairi berkata, kefahaman itu penting supaya masyarakat dapat memperoleh maklumat sebenar dan tidak meninggalkan persoalan tidak terjawab.


Menurutnya, tanpa kefahaman itu, masyarakat akan terus menolak cadangan tanpa usul periksa kerana hanya terpengaruh dengan tanggapan negatif sedangkan kebaikannya tidak diketahui dan disebarkan. 


“Tenaga nuklear termasuk dalam kategori tenaga hijau, ada pro dan kontra, justeru pelaksanaannya di negara ini perlu dibahaskan secara terbuka dan kepada semua lapisan masyarakat agar mendapat gambaran sebenar. 


“Dalam hal berkaitan tenaga nuklear, orang ramai masih tidak mendapat kefahaman dan penjelasan tepat serta mudah membuat telahan bersifat sensasi dan tidak bertanggungjawab. Sebab itu, ia perlu diimbangkan dengan penera­ngan yang betul,” katanya. 

Beliau turut mencadangkan penganjuran siri penerangan mengenainya diperluaskan semua pihak selain pihak terbabit memainkan peranan proaktif bagi membantu pihak lain. 

Bantuan media massa juga penting kerana pengaruhnya begitu meluas dan mudah diterima ramai. 

“Siri penerangan perlu dilakukan dengan kaedah mudah difahami supaya maklumat ingin diberikan mampu difahami. Perbahasan mengenai tenaga dan teknologi nuklear boleh diadakan dengan menekankan pelbagai aspek pemahaman dan melihatnya dari sudut perspektif berbeza. 

“Ini bertujuan menentukan kebaikan dan keburukan sesuatu perkara dengan  kaedah fleksibel dan universal supaya tidak ada pihak boleh mensensasikannya atau menjadikannya lebih peribadi. 

“PMUKM percaya jika semua pihak mendapat pengetahuan dan maklumat sebenar, mereka tidak mudah mempertikaikannya, selain memudahkan pihak tertentu menjalankan usaha jika ia benar-benar membawa kebaikan kepada masyarakat dan negara,” katanya.

OKU : Mengapa Tidak Boleh Diabaikan

Oleh Sh Raknah Wn Abdillah
SMK Agama Sibu


Mengapakah Orang Kurang Upaya diberi penghargaan dan tidak boleh diabaikan?

A) Kerana mereka salah satu dari komuniti masyarakat kita:
Golongan Kurang Upaya sering disisihkan walaupun mereka merupakan salah sebuah golongan yang hidup dalam masyarakat kita. Kewujudan mereka bagaikan tidak diendah. Ratapan mereka tidak didengari dan kehadiran mereka bagai tidak diterima sebagai satu komuniti masyarakat kita. Oleh hal demikian, orang kurang upaya atau OKU wajar di berikan penghargaan dan tidak boleh di abaikan kerana mereka merupakan sebahagian daripada masyarakat.

B) Memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan kualiti hidup ke taraf yang lebih baik:
Golongan kurang upaya merupakan golongan yang lemah. Maka mereka akan menghadapi kesukaran untuk meneruskan kelansungan hidup mereka. Justeru, dengan tidak mengabaikan golongan tersebut, kita dapat membantu golongan tersebut untuk mempertingkatkan kualiti hidup ke tahap yang lebih baik. 

C) Mereka adalah manusia yang lemah:
Orang kurang upaya adalah orang yang tidak berkeupayaan dari segi mental mahupun fizikal. Lantas, mereka kurang berupaya untuk melaksanakan sesuatu. Mereka merupakan golongan yang lemah dan perlu dibantu supaya dapat meringankan beban yang ditanggung.

D) Memberi semangat kepada mereka untuk meneruskan hidup:
Terdapat OKU yang berfikir negatif tentang keadaan mereka. Mereka berpendapat bahawa mereka terlalu lemah untuk hidup dan tiada sesiapa yang mahu memberi perhatian dan pertolongan terhadap mereka. Oleh itu, sebagai masyarakat penyayang kita seharusnya tidak mengabaikan mereka dan berterusan memberi semangat kepada mereka untuk hidup.