Friday, February 5, 2010

TANAH TERBIAR


Tanah Terbiar : Punca Berlaku Dan Penyelesaiannya

~Cg Sue~


Definisi

Mengikut definisi Jabatan Pertanian tanah seluas 10 hektar yang tidak diusahakan selama dua tahun berturut-turut dikategorikan sebagai tanah terbiar.



PUNCA-PUNCA TANAH PERTANIAN TERBIAR

Dalam usaha mengoptimumkan penggunaan tanah dan mencapai produktiviti yang tinggi, kewujudan tanah pertanian terbiar telah membimbangkan semua pihak. Kebimbangan ini dapat difahami apabila kita memikirkan bahawa tanah pertanian adalah sumber terhad di Semenanjung Malaysia akibat perkembangan pesat sektor bukan pertanian. Data daripada Kementerian Pertanian dan Asas Tani menunjukkan bahawa tanah pertanian milik petani yang terbiar dan sesuai dimajukan di seluruh Semenanjung Malaysia sehingga tahun 2002 adalah seluas 12,180 hektar (Petikan Ucapan Dasar YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam National Land Convention 2002). Keluasan ini merupakan 35 peratus daripada keseluruhan 34,360 hektar tanah pertanian terbiar di seluruh negara yang melibatkan tanah-tanah sawah dan juga tanah darat (Sharifah Salwa Syed Akil 2002). Walaupun jumlah tanah pertanian terbiar yang sesuai dimajukan hanya melibatkan 35 peratus daripada jumlah keseluruhan, namun yang jelas tanah terbiar ini bukan sahaja merugikan pendapatan bagi keluarga tani malah menjejaskan pengeluaran dan pendapatan negara.


Persoalannya adalah kenapa tanah pertanian terbiar berlaku, sedangkan terdapat peruntukan undang-undang di bawah seksyen 115, 116 dan 117 Kanun Tanah Negara 1965 yang jelas menyatakan bahawa tanah yang dibiarkan kosong bagi sesuatu jangkamasa tertentu (2 tahun bagi tanah bangunan dan 3 tahun bagi tanah pertanian dan industri) akan dikenakan tindakan seperti disita yang diperuntukkan di bawah Seksyen 129 (4) (c), Kanun Tanah Negara 1965. Seksyen 129 (4) (c ) ini telah memperuntukkan bahawa pihak Pentadbir Tanah boleh mengambil hak sementara bagi tanah itu sebagaimana yang diarahkan oleh Pihak Berkuasa Negeri atau dalam masa ketiadaan arahan itu, membuat suatu arahan mengisytiharkan tanah itu dirampas oleh Pihak Berkuasa Negeri. Walau bagaimanapun, tindakan tersebut jarang benar dilaksanakan Pihak Berkuasa Negeri, demi menjaga hubungan antara kerajaan dengan rakyat. Selain itu, kekurangan kakitangan untuk memantau sama ada tanah yang diberikan diusahakan atau tidak oleh petani seperti yang tertera dalam syarat nyata milikan, juga menjadi alasan ketiadaan perlaksanaan. Kekurangan kakitangan bagi tujuan perlaksanaan di samping menjaga hubungan baik antara kerajaan dan rakyat dilihat menyumbang kepada peningkatan tanah yang tidak diusahakan dan menjadi terbiar.


Walaupun pelbagai langkah telah diambil oleh agensi kerajaan (terutama sekali oleh Kementerian Pertanian dan Asas Tani) bagi memajukan tanah pertanian terbiar, namun kadar peningkatan saiz tanah terbiar bagi sektor pertanian dikatakan masih tinggi. Oleh yang demikian, kajian ini bertujuan meneliti punca-punca yang mewujudkan tanah terbiar milikan petani di kawasan luar bandar. Dalam meneliti isu tanah terbiar, beberapa persoalan yang sering timbul ialah bagaimanakah tanah terbiar milik petani di kawasan luar bandar boleh wujud? Mengapakah tanah terbiar milik petani di luar bandar terus wujud walaupun ada campurtangan kerajaan melalui agensi tertentu? Bagi menjawab semua persoalan tersebut, punca tanah terbiar akan dilihat dalam konteks pendekatan institusi yang cuba untuk menghuraikan hubungan antara institusi dengan proses pembangunan tanah.


Tahap pengeluaran yang rendah di kalangan masyarakat luar bandar menjelaskan bahawa masalah ketidakcekapan penawaran tanah pertanian mempunyai hubungan rapat dengan perkembangan kapitalisme. Kemasukan kapitalis sebagai golongan pemilik modal telah menyebabkan mereka menguasai sebahagian besar milikan tanah dan teknologi. Di sebaliknya, dalam masyarakat tani, tanah merupakan sumber pengeluaran yang terpenting. Ishak Shari (1988) mendapati penumpuan dalam pemilikan tanah pada tangan sebilangan kecil penduduk luar bandar telah membawa kepada peningkatan penyewaan tanah, di samping peningkatan peratusan penduduk luar bandar yang menjadi buruh upahan. Pada masa yang sama, proses pemecahan dan pembahagian tanah sawah dan kebun giat berlaku melalui sistem warisan pusaka. Senario tersebut lama kelamaan menyebabkan keadaan tanah yang ada tidak ekonomik untuk diusahakan dan seterusnya mendorong golongan belia untuk berhijrah ke bandar, sedangkan tanah yang ada ditinggalkan kepada golongan tua untuk diusahakan. Pada masa yang sama, batasan usia dan kekangan lain dalam pemilikan tanah menyebabkan tanah tidak dapat diusahakan dan akhirnya menjadi terbiar.


LANGKAH MENGATASI

Bagi mengatasi masalah tanah yang terbiar, pihak kerajaan telah mengambil langkah yang serius untuk menanganinya. Keseriusan pihak kerajaan bagi mengatasi isu tanah terbiar jelas diutarakan dalam Rancangan Malaysia Ke-7 (1996-2000) dan Rancangan Malaysia Ke-8 (2001-2005). Rancangan Malaysia Ke-7 misalnya memberikan penekanan kepada pengendalian tanah terbiar melalui landlord-in-trust, manakala Rancangan Malaysia Ke-8 pula memberikan perhatian terhadap pengemblengan pelbagai agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Asas Tani melalui MOA Incorporated (MOA Inc). Namun kedua-duanya (landlord-in-trust dan MOA Inc) didapati gagal untuk menangani masalah tanah pertanian yang terbiar. Hal ini jelas apabila Laporan Rancangan Malaysia Ke-9 mencatatkan masih terdapat 163,000 hektar tanah terbiar dalam Rancangan Malaysia Ke-8. Rancangan Malaysia Ke-9 melaporkan penggunaan tanah terbiar menjadi terhalang dalam Rancangan Malaysia Ke-8 disebabkan oleh beberapa kekangan termasuklah kesukaran untuk menyatu tanah peribumi dan adat.

KEMALANGAN JALAN RAYA

Kemalangan Jalan Raya

Pengenalan
Pembangunan rangkaian pengangkutan jalan raya merupakan salah satu faktor penting dalam menyediakan infrastruktur yang diperlukan untuk kepentingan program pembangunan ekonomi negara. Namun demikian dengan peningkatan dan perkembangan yang pesat dalam sektor pengangkutan telah menimbulkan masalah dan isu tentang keselamatan jalan raya pada muktahir ini dengan meningkatnya jumlah kemalangan jalan raya. Kejadian kemalangan jalan raya merupakan salah satu masalah utama negara ketika ini yang melibatkan pelbagai aspek sosio-ekonomi.

Perbincangan 1:
FAKTOR :

Salah satu faktor utama yang dapat dikesan dalam menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya di Malaysia ialah faktor manusia yang sebahagian merupakan pengguna jalan raya terutama pemandu dan penunggang kenderaan serta pejalan kaki. Hasil dapatan kajian mendapati sifat-sifat pemandu yang sabar, cermat, sopan dan bertimbang rasa mempunyai hubungan korelasi positif dengan kemalangan jalan raya. Sikap terhadap perasaan seperti terganggu, tertekan, pandu laju dalam keadaan mood tidak baik menunjukkan signifikan dengan kecenderungan berlakunya kemalangan jalan raya.

Sikap pemandu terhadap had kelajuan menunjukkan signifikan bagi pemandu yang memandu melebihi had laju 30 km/j dan tidak mematuhi had kelajuan. Sikap bertanggungjawab dan bertimbang rasa, sikap tidak hiraukan tanda jalan, memintas kenderaan di garisan berkembar, ikut kenderaan dengan rapat, membelok tanpa memberi isyarat dan memasukki jalan utama dengan beranggapan kenderaan lain memberi laluan menunjukkan terdapatnya signifikan dengan kemalangan jalan raya.

Sikap suka memandu laju disebabkan faktor tekanan masa seperti ingin cepat sampai, terlewat, tergesa-gesa, ghairah ke sesuatu destinasi dan menghambat waktu pejabat turut menunjukkan signifikan dengan kemalangan jalan raya. Memandu laju disebabkan inginkan cabaran dan keseronokan mendapati sikap habit, keseronokan, suka memandu laju dan suka mengambil risiko turut menunjukkan signifikan yang nyata. Sikap memandu laju disebabkan luat memandu mendapati penat, setiap minit dikira dan ingin cepat sampai menunjukkan kesignifikanannya.

Sikap ingin mencapai kepuasan dengan memandu laju disebabkan faktor kawan memandu laju, kehebatan memandu, berlumba di jalan raya, suka menunjuk-nunjuk, ingin memenuhi citarasa kepuasan dengan memandu laju dan kepuasan merasa risiko bahaya telah menunjukkan kesignifikanannya yang nyata. Begitu juga dengan kajian sosio-demografi dari segi pengalaman memandu, umur, tahap pendidikan dan jantina pemandu menunjukkan signifikan dengan kemalangan jalan raya.

Perbincangan 2:
Salah satu punca yang menyebabkan kes ini berlaku ialah sikap pengguna jalan raya yang kurang berhati-hati ketika berada di jalan raya. Ketika memandu, ramai pengguna yang kurang memberikan perhatian terhadap keadaan lalu lintas pada masa itu. Sebagai contoh, mereka tidak mengambil berat akan tanda-tanda keselamatan di jalan raya, berbual-bual ketika memandu, mendengar radio, menggunakan telefon bimbit, dan sebagainya. Tegasnya, perbuatan seperti ini bukan sahaja membahayakan diri sendiri, tetapi juga membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Selain itu, ada pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang di jalan raya. Undang-undang yang digubal oleh kerajaan sebenarnya bukanlah untuk menyusahkan pengguna jalan raya, malah bertujuan untuk meningkatkan keselamatan pengguna. Sebagai contoh, banyak pengguna jalan raya yang memandu kenderaan melebihi had laju yang telah ditetapkan walaupun saman yang dikeluarkan semakin bertambah. Undang-undang perlu dipatuhi kerana ketika bergerak laju pelbagai perkara boleh berlaku seperti tayar meletup, binatang melintas, kereta di hadapan berhenti dengan tiba-tiba, dan sebagainya yang akhirnya boleh menyebabkan kemalangan.

Bukan itu sahaja, ada pengguna jalan raya yang bersikap mementingkan diri sendiri. Mereka ini tidak mempedulikan orang lain. Hal ini sering berlaku pada waktu kesesakan jalan raya. Sebagai contoh, ada pemandu kenderaan yang menggunakan lorong kecemasan untuk memastikan kenderaan mereka tidak terperangkap. Kemudian, mereka memotong barisan kenderaan lain yang telah lama beratur panjang. Tindakan ini bukan sahaja boleh mengundang kemalangan berlaku, malah boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati oleh pemandu kenderaan lain yang boleh menyebabkan perselisihan faham.

Kemalangan jalan raya juga boleh berlaku disebabkan pejalan kaki yang tidak mahu menggunakan jejantas yang telah disediakan. Mereka tidak mahu menggunakan jejantas yang disediakan dengan alasan untuk menjimatkan masa dan tenaga. Keadaan ini menyukarkan pemandu kenderaan lain yang terpaksa memperlahankan kenderaan mereka , dan seterusnya menyebabkan berlakunya kesesakan. Apabila berlaku kesesakan, peratus berlakunya kemalangan akan meningkat. Walaupun pihak berkuasa kerap kali mengambil tindakan terhadap pejalan kaki yang tidak menngunakan jejantas ketika melintas jalan, namun tindakan ini masih kurang berkesan.

Seterusnya, ada pengguna jalan raya yang menjadikan jalan raya sebagai medan perlumbaan. Tindakan ini bukan sahaja menyusahkan pengguna jalan raya yang lain, malah membahayakan nyawa pengguna itu sendiri. Walaupun pihak berkuasa sering mengadakan sekatan jalan raya, kempen, menahan pemandu yang terbabit dalam perlumbaan haram, namun kegiatan ini masih berterusan dan semakin bertambah. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa pengguna jalan raya tidak menghargai nyawa sendiri dan orang lain.

Umumnya, punca-punca berlakunya kemalangan jalan raya perlu ditangani dengan segera dan bijak. Selain kempen yang berterusan, pihak berkuasa hendaklah menguatkuasakan peraturan pada setiap masa tanpa memilih bulu. Bukan itu sahaja, pihak berkuasa juga hendaklah mengenakan denda yang lebih berat kepada sesiapa sahaja yang menyebabkan kemalangan berlaku. Para pengguna jalan raya pula perlulah mengubah sikap dan sentiasa berhati-hati ketika di jalan raya sepanjang masa.

E-Dagang

E-Dagang : Kebaikan Dan Cabaran

Oleh : Zurina Zahildi

(6A2 - SMK Agama Sibu)


Pengenalan

Secara umumnya e-dagang adalah model perniagaan yang mana segala aktiviti perniagaan dijalankan sepenuhnya melalui penggunaan internet sebagai mediumnya. Aktiviti e-dagang merangkumi penggunaan laman web bagi tujuan penjualan produk atau perkhidmatan kepada pelanggan, melakukan pemasaran menerima bayaran melalui internet dan pengurusan khidmat pelangan secara online. Terdapat dua jenis perniagaan yang boleh di jalankan melalui medium internet iaitu yang berasaskan produk fizikal, produk digital dan produk perkhidmatan


Antara kebaikan dan keuntungan menggunakan kaedah e-dagang ialah perangkaian dan integrasi di antara semua syarikat-syarikat yang berhubung baik dengan pembeli, penjual ataupun penyedia perkhidmatan berkenaan. Ia memudahkan pertukaran maklumat dan transaksi perniagaan dapat dijalankan dengan sekelip mata serta tidak dibelenggu dengan kerenah pengisian borang-borang dan birokrasi (Majalah PC, Mei 2006).


Kebaikan E-Dagang yang ketara ialah dari sudut memberi keselesaan membeli-belah dalam ketenteraman rumah. Keadaan ini memberi peluang kepada pembeli untuk berbincang bersama ahli keluarga sebelum membuat pembelian. Belian yang menepati keperluan seisi keluarga adalah menjimatkan. Selain itu E-Dagang berupaya memberi maklumat yang mesra pelanggan dan terkini. Kemesraan ini terletak kepada susun atur yang mudah untuk dilayari serta mempunyai penerangan untuk setiap barangan dalam laman web. Maklumat yang diberi bertujuan untuk membolehkan pengguna membuatpilihan dengan betul.


Di samping itu, e-dagang juga banyak memberikan keburukan kepada pengguna iaitu ketersampaian kadar sesuatu barang yang perkhidmatan yang digunakan ditempah.Perkhidmatan yang baik merupakan faktor utama pengguna menggunakan perkhidmatan e-dagang melalui internet.Akan tetapi,barang yang ditempah daripada pengusaha tidak akan cepat sampai kepada para pengguna.Ini menyebabkan para penguna tidak yakin dengan e-dagang.


Dari segi kepuasan juga,turut mempengaruhi para pengguna menggunakan perkhidmatan e-dagang ini.Para pengguna lebih mementingkan kualiti sebenar sesuatu barangan yang dibeli.Pengguna yang bijak tidak melihat sesuatu barangan dari segi luaran semata-mata tanpa mengetahui kualiti sebenar barang tersebut.Contohnya,para pengguna hanya dapat melihat katalog yang diiklankan dalam perniagaan internet.Jelaslah,e-dagang dapat menimbulkan kesan baik dan buruk kepada para pengguna.Sekiranya perkhidmatan e-dagang ini digunakan sebaik-baiknya akan memberikan manfaat kepada pengguna.Akan tetapi sekiranya pengguna yang tidak bijak menggunakan perkhidmatan ini akan menyebabkan mereka kerugian.

KAD KREDIT : Kebaikan & Keburukan

Kad Kredit : Kebaikan Dan Keburukannya

Oleh : Shinegurlz (6A2)

Pengenalan
Kad kredit bolehlah ditakrifkan sebagai sejenis kad yang digunakan sebagai pengganti wang tunai atau buat masa ini lebih dikenali sebagai wang plastik. Sejak akhir-akhir ini, penggunaan kad kredit didapati semakin popular di kalangan masyarakat kita terutamanya ahli perniagaan.Kini terdapat semakin banyak syarikat yang mengeluarkan kad kredit seperti American Express, Visa,dan Master Card. Menurut pendapat Menteri Kewangan Malaysia, penggunaan kad kredit merupakan pemangkin masalah inflasi yang sangat ketara. Di samping itu, beliau juga turut meramalkan bahawa bilangan pengguna kad kredit ni negara kita akan bertambah pada tahun-tahun yang akan datang. Pada hemat saya penggunaan kad kredit akan terus diamalkan oleh masyarakat kita kerana kad tersebut mempunyai kebaikannya yang tersendiri.
Kebaikan kad kredit
Salah satu daripada faktor yang menggalakkan orang ramai menggunakan kad kredit ialah mereka tidak perlu membawa wang tunai yang banyak untuk membeli belah. Bagi sesetengah pengguna, membawa wang tunai yang banyak ketika membeli belah merupakan suatu beban. Keadaan ini lebih ketara sejak kerajaan mewujudkan wang yang bernilai seringgit dalam bentuk siling. Kini terdapat hampir 50 peratus daripada pengguna yang membeli belah di pasar raya- pasar raya dengan menggunakan kad kredit. Pada hemat saya pengguna akan berasa lebih selesa menggunakan kad kredit daripada menggunakan wang tunai kerana kad kredit lebih ringan dan tidak mendatangkan masalah untuk digunakan bila-bila difikirkan perlu.
Pengguna kad kredit juga berasa lebih selamat menggunakan kad kredit berbanding dengan penggunaan wang tunai. Hal ini kerana semua kad kredit yang digunakan tidak boleh bertukar milik. Setiap kali mereka menggunakan kad kredit tersebut mereka dikehendaki menandatangani borang khas yang akan dapat mengesan pemilik sebenar kad kredit tersebut. Oleh hal yang demikian, pemilik kad kredit tidak perlu bimbang sekiranya kad mereka hilang atau dicuri orang. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pengeluar kad kredit American Express, jumlah pemegang kad tersebut bertambah hampir 40 peratus pada setiap tahun. Menurut kebanyakan pemilik kad tersebut, mereka berasa lebih selamat menggunakan American Express kerana mereka cepat mendapatkan kad ganti yang baru dengan cepat apabila berlaku kehilangan. Dalam hal ini saya berpendapat faktor keselamatanlah yang paling banyak mendorong pengguna menggunakan kad kredit.
Keburukan kad kredit
Di samping kemudahan yang boleh dinikmati, pemegang kad kredit juga sering menghadapi beberapa masalah. Hal ini kerana tidak semua para peniaga mahu menerima pembelian secara kredit terutamanya kedai-kedai biasa atau kedai-kedai kecil yang jumlahnya lebih banyak daripada kedai-kedai yang besar atau pusat-pusat membeli belah yang terkenal. Oleh hal yang demikian, tempat-tempat penginapan atau pusat-pusat membeli belah yang boleh dikunjungi oleh pemegang kad kredit adalah terhad. Oleh itu, pemegang kad kredit mungkin menghadapi masalah sekiranya pusat membeli belah atau kedai dan gerai yang mereka kunjungi itu menolak penggunaan kad kredit.
Urusan perniagaan yang menggunakan kad kredit dijalankan dengan penggunaan komputer.Oleh itu, terdapat kemungkinan berlaku penyelewengan dalam urus niaga tersebut. Walaupun perkara seperti ini jarang-jarang berlaku, kebanyakan peniaga tidak yakin dengan pelanggan yang menggunakan kad kredit terutamanya kad kredit yang tidak popular. Para peniaga tidak sanggup menanggung risiko yang tinggi dengan menerima kad kredit tersebut. Pihak Polis Bahagian Jenayah Perdagangan sering mengingatkan para peniaga supaya sentiasa berwaspada ketika berurus niaga dengan pengguna yang menggunakan kad kredit. Ini kerana mereka telah menerima lebih daripada 150 aduan berkaitan dengan hal tersebut sejak awal tahun ini.
Penutup
Melalui huraian di atas,dapatlah dikatakan bahawa terdapat beberapa kebaikan dan keburukan penggunaan kad kredit. Namun begitu, sekiranya pemilik kad kredit menggunakan kemudahan tersebut secara bijak, mereka akan mendapat faedah yang banyak. Sebaliknya, jika kad kredit tidak digunakan secara berhati-hati, pemiliknya akan menderita akibat beban hutang yang terpaksa ditanggung sehingga bertahun-tahun. Pada pendapat saya, walaupun penggunaan kad kredit didapati semakin popular dari setahun ke setahun, namun `wang plastik’ tersebut pasti tidak mungkin dapat menggantikan wang tunai yang sebenar.
Sumber : http://www.prihatin.net/pendidikan-a-bahasa/76



Pemerkasaan Bahasa Melayu Sebagai Wadah Perpaduan Dan Pembangunan: Obligasi Kepimpinan Melayu

Oleh Nurul Himmah Bt Kassan


Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini dijamin melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, maka secara tidak langsung membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi alat perpaduan. Namun dalam menghadapi cabaran globalisasi Bahasa Melayu dilihat antara yang menerima kesan yang sangat mendalam. Era kegemilangan Tamadun Alam Melayu menjadi bukti kehebatan Bahasa Melayu yang menjadi lingua franca dan ia menjadi kekuatan juga kepada bangsa Melayu itu sendiri. Keperluan untuk menguasai Bahasa Inggeris semakin mendesak tetapi dalam masa yang sama bahasa ibunda perlu di pertahan dan dimartabatkan. Dalam kedudukan inilah kekeliruan dan keraguan wujud. Justeru dalam usaha untuk menguasai bahasa Inggeris, bahasa Melayu dirasakan kurang sesuai sebagai bahasa pengantara dan seterusnya sebagai alat perpaduan antara kaum. Namun jika diperhatikan, kejayaan negara maju seperti Jepun dan Korea mampu berjaya menguasai dan menghasilkan teknologi yang inovatif, kreatif dan saintifik melalui bahasa ibunda. Melihat kepada kedudukan Bahasa Melayu yang semakin disisih dan terpinggir oleh masyarakat Malaysia, maka kertas kerja ini cuba memulakan perbincangannya dengan melihat sejarah perkembangan bahasa Melayu, kedudukannya dalam Perlembagaan, institusi-institusi yang terlibat serta isu-isu yang berkaitan pemerkasaan bahasa Melayu ini.


PENDAHULUAN
Suatu fakta yang perlu kita ingati dalam usaha memperkasa Bahasa Melayu adalah bahasa ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri dan telah terbukti sebagai bahasa yang menjadi tulang belakang pembinaan ketamadunan alam Melayu. Ia juga diangkat menjadi bahasa lingua franca (sebelum abad ke 13 lagi) di seluruh kepulauan Melayu (sebelum kedatangan Barat).

Bahasa ini juga menjadi bahasa pengantar kepada perkembangan agama Hindu dan Islam di alam Melayu yang kemudiannya memperlihatkan ia menerima pengaruh bahasa Sanskrit dan Arab. Oleh kerana bahasa ini ditutur oleh setiap pedagang yang datang ke alam melayu khususnya di Melaka, ia juga menjadi bahasa perdagangan, pendidikan dan sebagainya. Bagaimanapun keunggulan dan kemegahan bahasa Melayu ini mulai merudum dan jatuh taraf serta statusnya di zaman British. Ia tidak lagi menjadi bahasa pengantaraan tetapi hanya sebagai bahasa pasar. Kesan dari dasar pecah dan perintah oleh British telah membawa perubahan kepada sistem politik, sosial dan budaya. Melalui sistem pendidikan vernakular, bahasa Inggeris menjadi bahasa utama di sekolah-sekolah Inggeris yang mana tahap pendidikannya berakhir hingga ke universiti. Menurut Raja Mukhtaruddin Raja Mohd. Dain dalam “Pembinaan Bahasa Melayu Perancangan Bahasa di Malaysia” (1982: 6) berbanding sekolah Melayu yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, ia berakhir setakat sekolah rendah (6 tahun sahaja) yang hanya menjadikan anak-anak Melayu lebih baik sedikit dari ibu bapa mereka dan terus mewarisi ekonomi yang rendah. Bahasa Cina dan Tamil juga menjadi saingan bahasa Melayu apabila semakin ramai imigran dari India dan China masuk ke Tanah Melayu dan ia dikembangkan lagi melalui sistem pendidikan yang dibiayai oleh mereka sendiri.

Bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa kebangsaan selepas negara mencapai kemerdekaan dan berkerajaan sendiri. Sebelum merdeka, Malaya yang ditadbir oleh British menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama tetapi setelah mencapai kemerdekaan, maruah bangsa perlu dipelihara dan bangsa yang bermaruah mesti mempunyai bahasa kebangsaan sendiri. Oleh sebab itu Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman menyatakan (Abdullah Hassan, 1997):,“kita berhak menghendaki bahasa kita sendiri. Apabila kita mempunyai bahasa kebangsaan sendiri, kita akan bersatu dan mempunyai watak sendiri. Untuk kepentingan kebangsaan, bahasa penjajah perlu digantikan dengan sebuah bahasa peribumi”

BAHASA SEBAGAI ALAT PERPADUAN DAN PEMBANGUNAN
Taraf bahasa Malaysia dari segi ekonomi dan perjawatan juga dipertingkatkan. Kelulusan kepujian bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia menjadi satu keperluan bagi mendapat jawatan ataupun untuk diserap ke jawatan tetap. Kelulusan Bahasa Malaysia pada peringkat kemahiran bertutur juga menjadi syarat untuk lulus dalam peperiksaan ijazah di universiti. Walaupun peraturan ini kemudiannya menyebabkan ramai yang gagal dalam SPM dan menerima banyak bantahan tetapi kementerian Pelajaran tetap tegas melaksanakannya. Buku teks yang dicetak dalam bahasa Malaysia juga ditambah dengan kerjasama DBP.Di kalangan pengamal media pula, kerajaan memperluaskan penggunaan bahasa Malaysia dalam siaran radio dan televisyen atau alat sebaran am yang lain. Hanya masalah yang masih belum selesai dari dahulu hingga kini ialah penggunaan atau struktur ayat yang tidak tepat dan bercampur aduk antara bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia pada papan iklan dan papan tanda. Secara tidak langsung ia menjatuhkan martabat bahasa itu sendiri di samping tidak pekanya masyarakat dalam menggunakan struktur yang betul dalam bahasa Malaysia.

Jika dilihat dalam bidang kewangan dan perdagangan, bahasa Melayu bukan sahaja menjadi bahasa lingua franca tetapi juga bahasa perdagangan yang membolehkan pedagang-pedagang Arab, Cina, India dan orang Melayu berurus niaga. Tetapi pada zaman Kerajaan Melayu Melaka mata wang syiling yang dikeluarkan dicetak dengan nama Sultan yang memerintah dan gelaran Islam baginda di sebelah lagi dengan menggunakan tulisan Arab. Jadi bahasa Melayu kurang digunakan lagi pada mata wang ketika itu. Pada zaman British pula, 1938 Lembaga Suruhanjaya Mata wang Malaya ditubuhkan dan telah mengeluarkan wang kertas menggunakan dua bahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu tulisan Jawi. Apabila British kembali ke Tanah Melayu selepas jepun kalah, bahasa Melayu tulisan Jawi sekali lagi digunakan dalam urusan kewangan (walaupun sedikit sahaja).Wang-wang kertas pertama telah dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia pada 1967 yang melambangkan identiti negara dan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. Namun dalam urusan bank, penggunaan bahasa Inggeris cukup meluas, ditambah bank-bank tersebut pula adalah milik orang asing. Walaupun ada Akta bahasa Kebangsaan 1967 tetapi ia tidak melibatkan urusan pihak swasta (termasuk sektor kewangan dan perbankan) (Ahmad Mohd Yusof 1995:35-36).

PERANAN BADAN KERAJAAN MEMPERKASA BAHASA
Agensi-agensi kerajaan adalah jentera pelaksana dasar bahasa Melayu. Antara badan penting yang ditubuhkan ialah Dewan Bahasa dan Pustaka. DBP (atau nama asalnya Balai Pustaka) ditubuhkan 22 Jun 1956 untuk menggerak dan memartabatkan bahasa Melayu. Melalui Ordinan Dewan bahasa dan Pustaka 1959, DBP dinaikkan taraf lagi menjadi sebuah badan berkanun. Dengan penaikan taraf ini, DBP diberi kuasa: (http://ms.wikipedia.org/wiki/Dewan_Bahasa_dan_Pustaka):

•Mengubal dasarnya yang khusus

• Menyusun rancangan pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera

• Menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku yang serupa dengan sektor swasta.

Pada awal penubuhannya, DBP ditugaskan untuk mencipta ejaan, istilah, kamus dan tatabahasa, juga menyatukan bahasa Melayu serantau serta mengembangkan sastera Melayu. Ia juga ditugaskan untuk membawa masuk ilmu ke dalam bahasa Melayu (Abdullah Hassan Januari Mac 1999:115). Pada 14 September 1993 pula, Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (ITNMB) ditubuhkan untuk mengambil alih tugas DBP bagi menterjemahkan buku ilmu.Selain DBP, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga mempunyai tanggung jawab untuk memperkasakan bahasa Melayu kerana merekalah yang memberi kelulusan papan tanda atau papan iklan. Dalam hal ini mereka perlu bekerjasama dan meminta khidmat nasihat pihak DBP dalam penggunaan bahasa yang betul.

ISU DAN CABARAN BAHASA MELAYU
Mendepani era kepesatan teknologi maklumat dan hegemoni bahasa Inggeris, bahasa ibunda adalah antara yang menerima kesan yang mendalam. Antara isu dan cabaran dalam memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu ialah:1. Penggunaan struktur bahasa Melayu yang tidak betul atau penggunaan bahasa Inggeris secara meluas pada papan tanda iklan.2. Penggunaan bahasa Inggeris dalam pelbagai bidang ilmu di sekolah hingga ke universiti3. Wujud pihak tertentu yang cuba mempertikaikan kedudukan atau mencabar bahasa Melayu4. Pengguasaan bahasa Melayu di kalangan rakyat Malaysia.5. Penggunaan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris di kalangan pengamal media.6. Kesungguhan dan perjuangan pemimpin kini memartabatkan bahasa7. Bahasa Inggeris dianggap bahasa maju dan bahasa Melayu bahasa mundur8. Kurang keyakinan daripada rakyat Malaysia sendiri terhadap kemampuan bahasa Melayu

KESIMPULAN
Bahasa jiwa bangsa, tetapi masih berjiwakah bahasa itu pada bangsa Malaysia. Sejarah telah membuktikan bahawa kejayaan sebuah tamadun itu juga bersama bahasanya. Negara-negara seperti Jepun, Peranchis, Jerman dan sebagainya berjaya dengan bahasa ibunda mereka sendiri. Impak dasar pecah dan perintah, orang Melayu yang dikelompokkan di kawasan luar bandar juga tertinggal jauh dalam pendidikan mereka. Bahasa Inggeris berpusat di kawasan bandar. Apabila sekolah kebangsaan dan bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar sepenuhnya hingga ke peringkat IPT, ia telah berjaya membawa pendidikan ke semua lapisan masyarakat. Ia telah melahirkan rakyat berilmu dan seterusnya membantu penjanaan ekonomi negara. Secara tidak langsung orang Melayu juga meningkat pendidikannya.

Namun dalam persaingan globalisasi hari ini, seluruh pelosok masyarakat dari peringkat atas hingga ke bawah merasai keperluan untuk mempelajari dan menguasai bahasa kedua iaitu bahasa Inggeris. Namun dalam hal ini sebahagian dari rakyat Malaysia tidak berkeyakinan dengan bahasa Melayu itu sendiri sehingga ia dipinggirkan terus dan celaru bagaimana untuk mempertahankan bahasa ibunda. Baik masyarakat atau pemimpin sudah meletakkan bahasa Inggeris lebih ke hadapan daripada bahasa Melayu. Rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini juga sebahagiannya tidak lagi menjadikan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi sebaliknya lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris.

Di sinilah letaknya cabaran untuk melaksanakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam masa yang sama bahasa Inggeris perlu dikuasai, sedangkan kedudukannya sudah lagi tidak dipertikaikan dalam perlembagaan. Ibarat kata Awang Sariyan (1984), kegagalan menguasai bahasa kebangsaan bererti gagal melaksanakan tanggung jawab menjayakan penyatuan bangsa.Melalui bahasa juga identiti bangsa itu terserlah kerana ia akan memancarkan nilai dan konsep budaya bangsa itu. Dalam keadaan bahasa Melayu mendapat tempat di lebih 115 universiti di 35 negara yang mengajar bahasa Melayu, rakyat Malaysia pula bersikap seolah-olah malu dengan bahasanya sendiri. Keyakinan bangsa itu sangat penting untuk melihat bahasa Melayu terus berada pada kedudukan yang sepatutnya dan bahasa Melayu itu juga bukan hak kaum Melayu tetapi bahasa kebangsaan iaitu bahasa milik rakyat Malaysia.


BIBLIOGRAFI

Abdullah Hassan (1987). Isu-isu Perancangan Bahasa: Pengintelektualan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka


Abdullah Hassan (1997). Bahasa Melayu Sebagai bahasa Ilmu dan Esei-Esei Lain. Shah Alam: Fajar Bakti Sdn Bhd.Abdullah Hassan (Januari-Mac 1999). Agensi Kerajaan dan Bahasa Melayu dalam Pemikir. Kuala Lumpur: Utusan Melayu (M) Bhd.


Asmah Haji Omar (1984). Pengajaran bahasa Malaysia Dalam Konteks Perancangan Bahasa Kebangsaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Monday, February 1, 2010

PERUBATAN HERBA

Perubatan herba-diintai dunia barat
(Sumber : http://fazlisyam.com)

APABILA dunia Barat mula beralih kepada penggunaan herba untuk melengkapi dunia perubatan moden, masyarakat rantau ini mungkin kurang menyedari keistimewaan herba berkenaan yang tumbuh melata di depan mata sendiri.

Tidak hairan jika tulisan HM Burkill mengenai 1,000 spesies herba di Semenanjung Malaysia (ketika itu Malaya) pada awal abad ke-20, dijadikan rujukan pelbagai pihak dalam dan luar negara. Malah, tulisan awal mengenai herba itu dikatakan masih menjadi sebahagian rujukan penyelidik masa kini.

Di sebalik dedaun comel menghijau di laman rumah, tumbuhan seperti pegaga mempunyai pelbagai keunikan untuk meningkatkan tahap kesihatan seseorang termasuk di kalangan kanak-kanak kurang upaya.

Profesor di Fakulti Sains dan Teknologi Pemakanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Suhaila Mohamed menyifatkan tumbuhan herba yang lazimnya dijadikan ulam-ulaman itu membantu meningkatkan keupayaan dari segi pengawalan saraf di kalangan kanak-kanak terbabit.

“Ini kerana pegaga mempunyai kesan pelalian pada saraf. Bagi mereka yang mahu meningkatkan daya ingatan, pegaga antara pilihan herba yang baik berdasarkan hasil kajian dijalankan UPM kira-kira dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui di universiti berkenaan baru-baru ini.

Kajian di kalangan lelaki dan wanita lingkungan usia 35 hingga 55 tahun itu mendapati pegaga bukan saja berupaya meningkatkan ingatan malah mengurangkan paras glukos dan kolesterol. Bagi lelaki pula, Prof Suhaila mengakui ia didapati dapat meningkatkan tenaga seksual.

Di pelosok dunia lain, penggunaan pegaga atau secara saintifiknya dikenali sebagai centella asiatica turut tersenarai dalam dunia perubatan herba ayurveda dan tradisional Cina. Perubatan ayurveda menyifatkan tumbuhan herba ini sebagai tonik otak, antara lain bagi membantu meningkatkan daya ingatan, usia panjang dan mengekalkan keremajaan.

Dalam perubatan berkenaan, seluruh bahagian pegaga dianggap sesuai untuk membantu meningkatkan daya ingatan. Di kalangan masyarakat India, tumbuhan berkenaan dipercayai membantu mengatasi pelbagai masalah lain seperti sakit kepala, sakit badan, asma, ulser serta menyembuhkan luka.

Perubatan tradisional Cina pula memanfaatkan pegaga untuk membantu mengatasi masalah keletihan secara fizikal dan mental. Dalam pelbagai kajian lain, pegaga memiliki pelbagai kegunaan untuk membantu meningkatkan tahap kesihatan seseorang termasuk pembentukan kolagen, membolehkan seseorang tidur lebih lena, merangsang selera makan serta membantu dari segi rawatan pernafasan, reproduktif, saraf, antiradang dan meningkatkan pengaliran darah.

“Dalam penyelidikan yang menggunakan tikus sebagai sampel, didapati tikus yang diberi makan pegaga lebih aktif dan tubuh haiwan itu kurang lemak manakala organ dalaman tikus itu juga lebih sihat berbanding tikus yang tak diberi makan pegaga,” katanya sambil menambah, jenis pegaga yang agak popular seperti pegaga gajah dan pegaga kampung dikategorikan di bawah spesies centella asiatica.

Pegaga yang turut dikomersialkan masa kini antaranya dalam bentuk sabun namun menurut Prof Suhaila, ia boleh dimanfaatkan dalam pelbagai bentuk barangan lain termasuk barangan kosmetik memandangkan keupayaan pegaga serupa seperti vitamin C.

“Lebih elok jika mengambil pegaga mentah atau segar tetapi lantaran kesuntukan waktu kini, tak salah jika ia dikomersialkan kerana penggunaannya mungkin lebih mudah. Tidak hanya pegaga, pelbagai tumbuhan tempatan memiliki banyak khasiat dari sudut kesihatan seperti kunyit, sirih dan mengkudu,” katanya yang bakal memperkatakan kelebihan rumpai laut dalam Persidangan Perubatan Tradisional Asia dan Kesihatan Wanita pada 28 hingga 30 Julai ini di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarang Journal of Tropical Medicinal Plants, Prof A N Rao, mengakui perubatan tradisional berasaskan tumbuhan herba mampu melengkapi dunia perubatan moden kini.

“Gabungan rawatan moden dan tradisional tentunya menghasilkan penemuan yang cukup baik dalam bidang kesihatan. Justeru, tidak hairan jika masyarakat di Barat kini lebih cenderung kepada perubatan tradisional malah mereka turut memanfaatkan penggunaan herba secara lebih baik dan meluas berbanding masyarakat Timur sendiri.

“Sayang sekali masyarakat di negara membangun sering bergantung kepada sistem perubatan Barat termasuk penggunaan perubatan herba. Keadaan ini mesti diubah. Kita yang seharusnya berusaha membuktikan keupayaan perubatan tradisional ini dari pelbagai segi seperti mutu dan piawaiannya,” katanya.

Menurutnya, dunia perubatan herba bermula sekitar 6,000 hingga 7,000 tahun lalu meliputi beberapa negara seperti China, India, Jepun dan Korea yang memiliki herba istimewa masing-masing. Perubatan Barat yang berasaskan sistem perubatan Yunani bermula sekitar 2,000 tahun lalu yang menumpukan kaedah merawat penyakit demi penyakit.

“Ini berbeza dengan sistem perubatan tradisional Asia yang merawat seluruh tubuh dan bukannya rawatan berdasarkan sesuatu penyakit. Meskipun rawatan herba ini mengambil masa yang lebih lama, kesan sampingannya kurang malah tidak meninggalkan sebarang sisa berbanding ubat-ubatan moden,” katanya.

Prof Rao yang bakal menyertai persidangan berkenaan turut memperakui khasiat pegaga di samping beberapa herba lain seperti kacip fatimah dan misai kucing yang popular di kalangan masyarakat kini.

HIV Aids

HIV Aids : Punca Dan Bagaimana Mengatasinya
Aslan Rapiee

Penyakit AIDS(Acquirel Immune Deficiency Syndrome) adalah sejenis penyakit yamg kronik yang disebabkan oleh jamgkitan kuman HIV yang merupakan sejenis Virus.HIV tergolong dalam kumpulan virus Retrovirus iaitu virus yang lemah dan tidak dapat bergerak dengan sendirinya.Virus ini akan masuk ke dalam badan dqpan masuk ke dalam sel perumah dan mencuri perumah untuk membiak.Virus HIV mengambil masa 8 hingga 10 tahun yang akan menyebabkan penyakit AIDS berlaku.

Punca
Penyakit AIDS ini berpunca daripada beberapa faktor.Beberapa laporan tentang penyakit ini ditemui dalam kalangan lelaki homoseksual dan penagih dadah yang menggunakan suntikan.Penerima darah dan pasangan seks atau anak-anak kumpulan ini juga didapati menghidap penyakit yang sama iaitu pendatang dari kepulauan Haiti,pesakit hemofilia(sejenis penyakit keturunan yang semula jadi membunuh sel darah).Hubungan seks dan pemindahan darah dengan orang-orang yang dijangkiti penyakit ini turut menyebabkan ianya merebak kepada orang lain.Beberapa agen mikrob telah ditemui dan dianggap sebagai penyebab kepada penyakit ini.

Punca jangkitan yang menyebabkan penyakit ini semakin menular di antara lainnya ialah homoseksual,penggunaan dadah yang menyuntik(IDU) iaitu secara pengkongsian,perlakuan heterosekual,industri darah yang telah tercemar dengan penyakit ini dan juga aktiviti seks yang dilakukan secara rambang iaitu seks dengan lebih daripada satu pasangan yang kerap diamalkan ini akan mendatangkan kemudaratan terhadap pasangan tersebut.Mereka hanya mementingkan kenikmatan semata-mata tanpa menghiraukan kesan jangka panjang yang akan berlaku terhadap mereka.

Cara Mengatasi
Setiap jenis penyakit pasti ada ubatnya.Tetapi lain pula dengan AIDS.Penyakit ini tiada ubat yang khusus untuk mengatasinya.Cara yang perlu kita lakukan untuk mengatasi masalah ini terutamanya bagi penagih dadah iaitu menggalakkan penggunaan dadah methadone atau bupenorphrin.Dadah jenis methadone ini boleh menahan gian untuk 24 jam bagi sekali makan.Selain itu penggunaan kondom juga harus digalakkan tetapi bukan seratus peratus ia berkesan kerana berkemungkinan boleh bocor.Antara lain langkah pencegahan yang dapat menghindasrkan daripada berlakunya gejala ini ialah dengan memghindari daripada perbuatan seks di luar perkahwinan.Selain itu elakkan melakukan seks dengan orang yang tidak diketahui latar belakangnya.Pengambilan ubat AZT iaitu ubat yang terawal yang digunakan sebagai penghalang enzim transeriptase yang dapat menghalang virus HIV.Pengambilan ubat ini dikalangan ibu yang mengandung dapat mengurangkan jangkitan HIV dari 30 peratus ke 7 peratus.

Seterusnya ialah dengan mengelakkan hubungan seks dengan berbilang pasangan agar tidak di jangkiti AIDS.Penggunaan kondom di galakkan bagi pasangan suami atau isteri yang mempunyai penyakit AIDS ini agar tidak berjangkit kepada pasangan.Kita juga ditegah melakukan hubungan seks sejenis dan juga jangan berkongsi peralatan peribadi seperti pisau cukur,berus gigi dan lain-lain peralatan yang boleh dicemari oleh darah.Apabila seseorang itu dijangkiti penyakit ini,mereka dilarang untuk menderma organ atau darah mereka kepada orang lain supaya orang lain tidak dijangkiti juga.Berikan didikan agama dan moral kepada anak-anak supaya dapat membentuk satu tingkah laku yang positif dan mengelakkan tingkah laku yang berisiko tinggi.Bagi kaum lelaki dan perempuan,berkhatan turut juga boleh mencegah daripad berjangkitnya penyakit HIV AIDS ini.

Kesimpulan
Tuntasnya,penyakit HIV AIDS ini mendatangkan kesan yang amat buruk dan kesan yang lama.Bagi golongan yang tidak berdosa seperti anak-anak yang dilahirkan oleh ibu yang mempunyai jangkitan yang berbahaya ini akan memberi impak kepada anak tersebut.Oleh itu,elakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan kepada penyakit ini seperti pengkongsian jarum untuk menyuntik(menagih dadah) dan seks di luar nikah yang dilakukan secara rambang.

ROKOK

Rokok : Kesan Terhadap Kesihatan Manusia
Hazimah Mohamad (U6A2)

Merokok sudah menjadi perkara biasa dalam senario dunia kini. Malah golongan remaja juga tidak terkecuali. Kaji selidik yang dilakukan oleh Global Youth Survey mendapati 20 peratus daripada pelajar yang berumur 13 tahun hingga 15 tahun adalah perokok, manakala remaja bawah 18 tahun yang merokok juga meningkat sehingga 20 peratus. Tabiat merokok ini membawa pelbagai implikasi dan kesan terhadap manusia khasnya kesihatan.

Merokok boleh menyebabkan seseorang itu menghidap penyakit seperti koronori jantung, kanser peparu, brokintis kronik dan emfisima. Hal ini disebabkan oleh asap rokok atau tembakau yang mengandungi 4000 bahan kimia beracun. Antaranya ialah bahan radioaktif, tar, nikotin, karbon monoksida dan lain-lain lagi.

Selain itu, merokok dapat melesukan badan dan akal fikiran. Bau asap rokok dapat mengganggu dan menyakiti orang yang tidak merokok. Asap rokok yang dihidu boleh menyebabkan penyakit dibahagian esofagus, perut dan pankreas. Hal ini kerana asap rokok yang dihidu akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan.

Merokok juga memberi kesan kepada keluarga si perokok. Contohnya bagi mereka yang mempunyai isteri yang mengandung, merokok dapat membahayakan janin yang dikandung oleh si ibu. Selain itu, bayi yang akan dilahirkan akan kurang berat badan atau tidak cukup bulan. Si ibu pula akan lebih terdedah kepada kanser. Oleh itu, ibu bapa yang merokok dinasihati supaya berhenti merokok demi menjaga kesihatan keluarga.

Kesan lain merokok ialah dapat meracuni sistem penafasan. Walaupun hanya setengah batang rokok, asap rokok daripadanya boleh menghalang laluan udara yang melalui bronkus. Hal ini boleh memyebabkan pengurangan isipadu udara yang ditarik dan dihembus pada setiap kali penafasan. Setiap kali perokok menghisap rokok, kadar degupan jantung mereka akan meningkat. Selain itu, perokok juga akan mudah menghadapi tekanan darah tinggi.

Berdasarkan huraian di atas, jelaslah menunjukkan merokok dapat membahayakan kesihatan manusia. Pelbagai penyakit boleh terjadi akibat daripada merokok yang juga boleh membawa maut. Oleh itu, jauhilah rokok dan katakan “ TAK NAK ” kepada rokok demi kesihatan diri dan orang sekeliling

Kegiatan Kokurikulum (Bahagian 3)

Kebaikan kegiatan kokurikulum
Oleh Hanis Sufia
(sumber : http://www.semestian.net)

Kegiatan kokurikulum dapat didefinisikan sebagai kegiatan yang dijalankan di luar bilik darjah. Kegiatan ini termasuklah kegiatan sukan dan permainan, pertubuhan pakaian seragam dan kelab atau persatuan. Setiap pelajar diwajibkan supaya menyertai sekurang-kurang satu daripada setiap aktiviti tersebut. Kegiatan kokurikulum ini bukan sahaja dapat memberikan keseronokan malahan dapat mendatangkan pelbagai kebaikan kepada pelajar yang menyertainya.
Salah satu daripada kebaikan yang diperoleh daripada kegiatan kokurikulum ialah para pelajar dapat meningkatkan daya kepemimpinan. Daya kepemimpinan ini dapat dipupuk apabila seseorang pelajar dilantik sebagai ketua dalam sesuatu kegiatan. Daya kepemimpinan ini juga amat berguna kepada para pelajar apabila sudah dewasa. Sebagai contohnya, pelajar yang pernah memimpin sesuatu pertubuhan seperti pengakap, kadet remaja, dan sebagainya, mereka akan lebih yakin untuk menjadi pemimpin sesuatu organisasi pada suatu hari nanti. Oleh itu ,daya kepemimpinan ini haruslah dipupuk sejak di sekolah lagi, iaitu melalui kegiatan kokurikulum.

Selain itu, kesihatan yang baik dan otak yang cerdas akan dapat diperoleh daripada kegiatan kokurikulum. Kebanyakan para pelajar di sekolah lebih suka menyertai kegiatan sukan atau permainan disebabkan faktor-faktor tertentu. Kegiatan sukan ini dapat membina stamina yang kuat serta membolehkan para pelajar mengeluarkan peluh, iaitu salah satu daripada bahan perkumuhan manusia. Sebagai contohnya, aktiviti sukan dan permainan seperti bola sepak dapat membina kekuatan stamina, manakala sukan catur pula akan mencerdaskan minda seseorang. Pepatah Melayu mengatakan bahawa badan sihat, otak cerdas.

Seterusnya, kegiatan kokurikulum juga dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar. Semangat perpaduan ini adalah amat penting dalam mewujudkan negara yang aman dan makmur. Semangat perpaduan dapat dipupuk apabila pelajar berbilang kaum bekerjasama dalam sesuatu kegiatan. Sebagai contoh, pelajar berbilang kaum mewakili pasukannya untuk bertanding dalam acara sukan yang diadakan setiap tahun seperti dalam pasukan bola sepak. Secara tidak langsung, hubungan antara pelajar akan bertambah erat dan kukuh serta bersatu untuk mencapai matlamat yang diharapkan.

Kegiatan kokurikulum juga dapat mengembangkan potensi seseorang pelajar. Sesetengah pelajar tidak mengetahui kelebihan yang terdapat pada dirinya. Melalui kegiatan kokurikulum, kelebihan itu akan dapat diketahui apabila seseorang pelajar bergiat dalam kokurikulum. Sebagai contohnya, ada pelajar yang tidak mengetahui kelebihan yang ada pada dirinya, tetapi setelah menyertai kegiatan kokurikulum, bakatnya terserlah dan terus bergiat dalam acara yang diminati, yang akhirnya menjadi juara di kelabnya. Dengan ini, pelajar itu akan berpeluang untuk mewakili kelabnya untuk bertanding di peringkat sekolah. Secara tidak langsung, kejayaan di peringkat sekolah ini akan membawa pelajar ini untuk mewakili daerah, negeri , dan kemudiannya negara .

Kesimpulannya, pihak sekolah hendaklah memainkan peranan supaya pelajar bergiat cergas dalam kegiatan kokurikulum. Hal ini demikian kerana kegiatan kokurikulum ini memberikan peluang kepada para pelajar untuk menjadi lebih giat dan cergas. Selain itu, kerjasama daripada semua pihak terutamanya ibu bapa harus diperkukuh supaya segala aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan. Pepatah Melayu mengatakan bahawa hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Oleh itu, semua pelajar digalakkan mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum supaya pelajar yang berdaya saing, berketerampilan, kreatif dan inovatif dapat dihasilkan.

Kokurikulum (Bahagian 2)

KEPENTINGAN KEGIATAN KOKURIKULUM
Aizuddin (U6A2)

Kegiatan Kokurikulum merangkumi aktiviti badan beruniform, kelab dan persatuan serta kegiatan sukan dan permainan. Kegiatan ini adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kepentingan kokurikulum adalah setara dengan kepentingan aktiviti di kurikulum dalam darjah kerana peranannya sebagai penyumbang dan pelengkap kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran secara menyeluruh.

Oleh yang demikian, kokurikulum dilihat sebagai salah satu cabang yang utama dalam melahirkan anak muda yang cemerlang. Kokurikulum muncul sebagai alat bantu untuk membolehkan para pelajar mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam kehidupan seharian. Selama ini, sistem pelajaran di negara kita terlalu mengutamakan kecemerlangan akademik sehingga banyak potensi pelajar yang tenggelam begitu sahaja. Kokurikulum merupakan satu medium yang paling ideal dalam mencungkil bakat anak muda selain mengasah bakat baru dalam diri pelajar.

Selain itu, para pelajar juga memperoleh kemahiran sosial melalui aktiviti kokurikulum. Kemahiran untuk bersosial merupakan satu aspek yang tidak dapat dipelajari melalui akademik semata-mata, sebaliknya dipelajari melalui pengalaman berkomunikasi. Kemahiran ini adalah penting untuk menjamin segala idea dan pendapat pelajar dapat disalurkan dengan jelas dan betul. Bukan itu sahaja, mereka juga belajar tentang cara berkomunikasi dalam kumpulan. Mereka diajar supaya bekerjasama serta berani menyuarakan pendapat melalui aktiviti kokurikulum. Kemahiran ini adalah amat relevan, terutamanya sebagai persiapan diri ke pasaran kerja kelak.. Oleh itu, melalui aktiviti kokurikulum, semangat bekerjasama dapat dilahirkan.

Bukan itu sahaja, aktiviti kokurikulum turut melatih bakat kepemimpinan dalam diri pelajar. Melalui aktiviti kokurikulum, para pelajar diberi pelung untuk menyandang pelbagai jawatan seperti presiden, setiausaha, bendahari dan sebagainya. Jawatan-jawatan yang diwujudkan ini dapat melatih para pelajar untuk memimpin rakan-rakan sebaya yang lain. Para pelajar mestilah berfikiran strategik serta sanggup memikul tanggungjawab untuk menjadi seorang pemimpin yang baik. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sekiranya para pelajar telah biasa memimpin rakan-rakan, maka mereka tidak akan teragak-agak untuk memimpin negara pada masa akan datang. Pelajarlah yang bakal memegang tampuk pemerintahan negara.

Penganjuran pertandingan yang berteraskan kokurikulum akademik turut mewujudkan keyakinan dalam diri pelajar. Misalnya, pertandingan yang berteraskan bahasa seperti pertandingan perbahasan, pertandingan pidato, pertandingan bercerita dan lain-lain lagi telah memupuk keyakinan para pelajar untuk berucap di khalayak ramai. Bahkan, pertandingan sebegini turut mewujudkan semangat kompetitif dalam kalangan pelajar. Mereka akan berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh untuk memenangi pertandingan yang disertai. Mereka juga dapat membiasakan diri dengan adat pertandingan yang sihat. Mereka tidak akan memandang kekalahan sebagai kegagalan, tetapi sebagai alas untuk kejayaan pada masa depan.Aktiviti kokurikulum merupakan pemampan bagi kecemerlangan seorang pelajar.

Melalui penglibatan dalam aktiviti kokurikulum ini diharapkan akan melahirkan individu atau pelajar yang sempurna, seimbang dan harmoni dari segi jasmani, rohani, emosi, intelek, sosial dan menghayati nilai estetika selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.Semua pelajar diwajibkan untuk mendaftar dan mengambil bahagian dalam satu Selain itu, kokurikulum juga merangkumi semua aspek pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan individu yang seimbang dan harmonis

Kegiatan Kokurikulum

KEGIATAN KOKURIKULUM : APAKAH KEPENTINGANNYA
Roziah Juni (U6A2)

PENGENALAN:
Kegiatan kokurikulum telah dianggap satu aktiviti yang penting tetapi pembabitan pelajar agak mengecewakan. Ada pelbagai faktor yang menyebabkan pelajar tidak mahu melibatkan diri mereka dalam aktiviti ini. Sikap tidak acuh pelajar ini telah menyebabkan kerajaan mewajibkan kegiatan ini dan menjadi syarat unntuk pemilihan ke universiti. Sebenarnya, kokurikulum mempunyai banyak kebaikan yang tersirat.

Pelajar yang terlibat dengan kokurikulum dapat menyihatkan badan mereka. Peluh yang keluar dapat menghilangkan toksik badan. Pelajar yang menghadapi era persekolahan zaman ini memang penuh masalah, jadi pembabitan dalam kokurikulum mampu mengurangkan tekanan ini. Kegiatan yang dijalankan itu mampu mengalih fikiran pelajar sejenak daripada persiapan peperiksaan mereka yang penuh dengan penghafalan dan membuat latihan. Jelaslah, minda mereka dapat berehat sebentar apabila melakukan aktiviti yang berbeza iaitu kegiatan kokurikulum.

Dalam masa yang sama pembabitan pelajar memastikan mereka tidak terbabit dengan aktiviti yang tidak sihat. Kegiatan kokurikulum dilakukan pada masa-masa yang telah ditetapkan. Penetapan masa ini menyebabkan pelajar terpaksa menguruskan masa mereka dengan bijak. Pelajar yang terbabit dalam aktiviti ini akan mengutamakan aktiviti kokurikulum dan pembelajaran mereka. Ringkasnya, mereka kekurangan masa untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak sihat seperti melepak.

Selain itu, pelajar turut dapat menambah keyakinan diri mereka melalui aktiviti kokurikulum ini. Kokurikulum menyediakan satu “medan” yang sesuai kepada pelajar untuk memimpin atau mengetuai sesuatu pertubuhan. Situasi ini memberikan mereka satu keyakinan terhadap kemampuan mereka dalam aspek-aspek tertentu. Mereka mula menyedari bakat yang ada dan berupaya untuk mengembangkannya serta mengasahnya menjadi sesuatu yang lebih cemerlang lagi seperti memimpin pertubuhan belia, syarikat dan mungkin juga negara.

Malahan, aktiviti kokurikulum membuka minda dan mata pelajar tentang erti persahabatan dan pergaulan. Mereka akan bertemu dengan pelbagai orang dalam menjalankan aktiviti kokurikulum itu. Mereka mengenal jenis manusia sebenar terutama apabilamenghadapi masalah untuk menganjurkan sesuatu aktiviti. Mereka juga mengenali erti persahabatan yang sejati. Pengalaman ini semua akan mengajar pelajar erti kehidupan yang tidak boleh mereka peroleh di luar.

Pelajar juga mengetahui banyak perkara baru. Aktiviti dalam pertubuhan beruniform akan mendedahkan mereka kepada cara-cara untuk menyelamatkan mangsa ketika kecemasan, cara berkhemah, cara memasak dan cara menguruskan perbelanjaan persatuan. Semua ini memberi satu pengetahuan yang berguna kepada pelajar. Ilmu ini turut memberi pelajar satu dimensi baru dalam cara mereka melihat sesuatu pertubuhan apabila mereka keluar dari sekolah.

Kesimpulannya, aktiviti kokurikulum haruslah disertai oleh semua pelajar tanpa sebarang prasangka buruk. Mereka tidak harus menganggap aktiviti ini akan menghalang kemajuan mereka dalam peperiksaan. Mereka tidak harus menyalahkan kokurikulum kalau mereka tidak memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Mereka seharusnya melihat aktiviti ini sebagai satu proses pembelajaran yang harus dialami oleh semua orang sebagai sebahagian daripada proses kehidupan kita sebagai manusia.