Wednesday, November 26, 2008

Nota Bahagian A : KEGANASAN ANTARABANGSA

Peperangan dan Keganasan Antarabangsa
Oleh : Nurashikin binti Sandom (U6A2)
SMK AGAMA SIBU, SARAWAK

Pengenalan

Keganasan beerti penggunaan cara yang ganas dan zalim seperti pengeboman, pembunuhan, dan penculikan untuk mendapatkan tuntutan politik daripada sesuatu pihak. Perbuatan ini mungkin disebabkan oleh pertentangan ideologi politik, kegawatan ekonomi, atau pihak pemerintah. Keganasan tidak membawa sebarang faedah selain mengheret negara yang terbabit ke pinggir kehancuran.

Kesan – kesan

1. Keselamatan negara tidak terjamin akibat keganasan.
Ø pergolakan politik akan menyebabkan rakyat melakukan keganasan. Ucapan yang berapi-api oleh pemimpin akan membakar perasaan penyokongnya. Pemimpin mungkin menghasut penyokongnya melakukan keganasan. Sebagai akibatnya, mereka yang menyertai tunjuk perasaan akan bertindak liar seperti merosakkan harta benda dan melakukan pembunuhan. Keadaan ini mengancam keselamatan rakyat dan negara.

2. Ekonomi negara akan runtuh akibat keganasan.
Ø sebagai contoh, keganasan mencetuskan pembunuhan yang kejam di Indonesia. Keadaan politik yang tidak stabil menyebabkan pelabur tidak berani melabur di sana, malah ada pelabur yang terpaksa menarik pelaburan mereka keluar dari Indonesia. Akibatnya, ekonomi Indonesia terjejas dengan teruk. Keganasan yang berlaku di sebuah negara juga akan menjejaskan ekonomi dunia. Sebagai contoh, serangan pengganas terhadap Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Amerika Syarikat menyebabkan harga saham seluruh dunia jatuh. Hal ini menjejaskan ekonomi banyak negara.

3. Industri pelancongan juga terjejas akibat keganasan.
Ø perbuatan merampas kapal terbang akan mengebom bangunan oleh pengganas menyebabkan banyak orang tidak berani melancong ke luar negara. Mereka juga tidak akan melancong ke negara-negara yang dilanda pergolakan politik yang rakyatnya sentiasa mengadakan tunjuk perasaan berbentuk ganas. Sebagai akibatnya, bilangan pelancong yang melancong ke luar negara berkurang. Ekonomi negara-negara yang bergantung pada pelancongan teruk terjejas. Penerbangan antarabangsa juga terjejas dan hal ini menyebabkan banyak syarikat penerbangan mengalami kerugian besar atau terpaksa gulung tikar.


4. Mangsa perang kehilangan kebebasan dan keselamatan diri.
Ø mangsa perang sentiasa dibayangi maut. Mereka mungkin dibunuh oleh askar-askar pihak lawan. Untuk mengelakkan serangan bom, penduduk terpaksa bersembunyi di tempat perlindungan yang dibina khas jika ada. Jika tidak, rakyat terpaksa melarikan diri ke kawasan yang selamat dengan berjalan kaki beratus-ratus kilometer jauhnya. Mangsa yang tidak berdosa akan kehilangan tempat tinggal. Mereka juga kehilangan orang yang tersayang kerana terkorban dalam peperangan. Dalam keadaan sedemikian, tidak ada hak kebebasan diri lagi. Tidak ada pihak yang dapat menjamin keselamatan seseorang.

Langkah – langkah/cara mengatasi

1. Penguatkuasaan undang-undang penting untuk mengatasi keganasan.
Ø pihak polis dan tentera harus bertindak dengan cepat terhadap keganasan. Keganasan yang kecil juga harus dibanteras. Hal ini demikian kerana tanpa tindakan awal, keganasan akan merebak sehingga hilang kawalan. Mereka yang mencetuskan rusuhan dan tunjuk persaan mesti dikenakan hukuman berat. Negara-negara harus menggubal undang-undang khas untuk membolehkan tindakan segera diambil terhadap pengganas. Sebagai contoh, Malaysia mempunyai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membolehkan kerajaan mengambil tindakan segara terhadap mana-mana pihak yang mengancam keselamatan negara. Dengan cara inilah keselamatan dan keamanan negara dapat dikekalkan.

2. Sikap bertolak ansur dan kesederhanaan.
Ø pihak pembangkang dan rakyat sesebuah negara tidak harus menuntut sesuatu yang keterlaluan daripada kerajaan. Semua pihak juga harus bertolak ansur dalam mengatasi masalah. Segala hal hendaklah diselesaikan dengan cara rundingan. Perbuatan mengadakan tunjuk perasaan, merusuh, atau melakukan keganasan untuk mencapai sesuatu tujuan tidak akan dapat mendatangkan kebaikan kepada mana-mana pihak. Perbuatan seperti ini hanya akan mengucar-kacirkan negara dan meruntuhkan sistem politik dan ekonomi negara.

3. Kerjasama antarabangsa juga penting untuk mengatasi keganasan.
Ø semua negara perlu bekerjasama untuk membanteras keganasan yang ada rangkaian antarabangsa. Jabatan perisikan negara-negara perlu bertukar-tukar maklumat tentang kegiatan keganasan yang diperoleh. Negara-negara yang terlibat harus menggiatkan latihan bersama antara pihak polis dan pihak tentera. Negara-negara di dunia juga boleh menyekat aliran wang kumpulan pengganas.


Faktor – faktor

1. Terlalu mengikut perasaan marah yang bermaharajalela dalam diri.
Ø perasaan marah yang sememangnya dibekalkan oleh Allah dalam diri setiap manusia, sekiranya tidak dikawal bahkan menguasai diri, akan membawa kepada kebinasaan sama ada kepada individu yang sedang marah itu, atau kepada orang lain dan benda-benda lain yang ada disekelilingnya. Kemarahan yang tidak dikawal, memberi impak yang cukup besar dalam kehidupan seharian seseorang itu. Sekiranya kemarahan menguasai kelompok atau jumlah individu yang ramai, maka kemusnahan yang akan terjadi jauh lebih besar skalanya. Ia menyebabkan peperangan sehingga berupaya memusnahkan sebuah Bandar, bahkan sesebuah Negara dan sebuah tamadun.

2. Sikap tamak yang menguasai diri.
Ø Sikap tamak dalam diri seseorang menyebabkan timbul rasa untuk menguasai sesuatu. Maka dari situlah timbul niat untuk memerangi seseorang ataupun sesebuah Negara untuk mendapatkan apa yang dikehendakinya itu. Secara tidak langsung, keganasan juga akan berlaku dalam masa tersebut demi untuk mencapai matlamatnya. Sikap tamak terhadap kuasa dan kekayaan membuta mata seseorang sehinggakan tidak dapat membezakan antara yang baik mahupun yang buruk. Mereka tidak lagi peduli akan kesan daripada keganasan yang akan berlaku itu nanti.

3. Lambang kemegahan.
Ø Penaklukan sesebuah Negara membawa maksud yang besar kepada seseorang yang pentingkan diri sendiri. Itu membawa lambang kemegahan kepada diri mereka dan mereka sanggup membuat apa saja untuk menakluk sesebuah Negara tersebut. Sebagai contoh, Amerika Syarikat yang memerangi Iraq demi untuk membalas dendam. Dengan itu, AS akan mendapat kembali namanya yang telah tercemar akibat peristiwa 11 September dahulu. Kesan daripada peperangan tersebut, AS berasa megah dan meletakkan Negara mereka sebagai Negara yang paling kuat di dunia ini.

3 comments:

adam said...

terima kasih bnyak cikgu...
hehhe bnyk fakta yang saya dapt pelajari untuk wat asgment saya...
terima kasih ckgu...

Shea Shin said...

thanks a lot teacher!!!
many point here

cimöt said...

thanx a lot..sgt membantu utk forum sye minggu depan...