Monday, February 28, 2011

PENDATANG ASING TANPA IZIN : Impak kepada negara

Oleh : Rabiatul Asna Bt Nasir
SMK (Agama) Sibu

Pada zaman yang lebih moden ini, ekonomi Malaysia kini turut berkembang pesat. Manakala projek-projek pembangunan berjalan dengan lancar malah peluang pekerjaan bahagian projek pembangunan turut meluas. Akibat daripada keadaan tersebut, maka timbuk masalah kekurangan tenaga kerja. Oleh itu, Malaysia mencari jalan dengan banyak mengambil pekerja asing dan menimbulkan juga masalah kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin(PATI).

Antara kesan sosial kemasukan pendatang asing tanpa izin ke Malaysia ialah berlakunya kejadian jenayah yang melibatkan kaum pendatang ini. Hal ini demikian kerana kebanyakan pendatang asing melarikan diri ke Malaysia sebagai tempat pelindungan setelah melakukan jenayah. Apabila golongan ini berada di Malaysia, mereka turut melakukan perkara yang sama contohnya yang kerap kita dengar ialah kes-kes rompakan, pembunuhan, pengedaran dadah dan rogol yang sering berlaku. Mereka ini juga mendatangkan masalah di taman perumahan terutama perumahan mewah yang sering menjadi sasaran dimasuki pencuri. Taman perumahan yang kerap dimasuki pencuri ini menimbulkan ketakutan kepada penduduk perumahan tersebut kerana merasakan bahaya yang dilakukan oleh pendatang asing semata-mata untuk mendapatkan wang. Pendek kata, kesab sosial pendatang asing yang merupakan penjenayah membawa keburukan kepada negara.

Selain itu,isu penyebaran penyakit berbahaya juga merupakan kesan kedatangan pendatang asing tanpa izin ke negara kita. Hal ini kerana, pendatang asing tanpa izin memasuki negara ini tidak menjalani pemeriksaan kesihatan. Keadaan ini menjadikan penyakit-penyakit yang terdapat pada diri mereka sukar dikesan. Terdapat di antara mereka yang menghidap AIDS, batuk kering, penyakit kelamin dan lain-lain. Manakala rakyat kita yang bergaul bebas dengan pendatang tanpa izin ini menjadi mangsa penyebaran penyakit berjangkit ini. Keadaan ini bukan sahaja terhadap seseorang individu sahaja malah merebak ke dalam ahli keluarga mangsa, seterusnya ke dalam golongan masyarakat. Akhirnya , masyarakat negara kita berada dalam keadaan yang tidak selamat. Jelaslah di sini bahawa, penyakit-penyakit berbahaya akan merebak dengan meluas akibat kedatangan pendatang asing.

kemasukan pendatang asing tanpa izin ini turut membawa masalah petempatan di negara kita. Hal ini demikian kerana, kedatangan mereka yang mempunyai bilangan yang banyak menyebabkan mereka mendirikan kawasan perumahan secara haram. Kawasan perumahan secara haram ini bukan sahaja menimbulkan banyak masalah malah menyukarkan pihak kerajaan negara. Tambahan pula, mereka juga membuka kawasan hutan sebagai kawasan tempat tinggal mereka. Keadaan ini menjadikan mereka sebagai pesalah kerana menceroboh kawasan menjadi hak negara. Pembukaan kawasan perumahan ini menimbulkan masalah setinggan yang tidak teratur dan kurang kemudahan asas seperti air dan elektrik. Hal ini menunjukkan imej buruk kepada negara lain kerana masalah pencemaran alam sekitar juga akan berlaku. Natijahnya di sini, kemasukan pendatang asing mendatang masalah perumahan kepada negara kita.

Di samping itu, hak rakyat kita juga sedikit sebanyak terjejas akibat kemasukan pendatang asing tanpa izin ini. Hal ini kerana pihak majikan lebih suka mengupah pendatang asing tanpa izin dalam sektor perladangan, pembinaan, dan pembantu rumah kerana gaji mereka jauh lebih murah. Situasi ini pasti menjejaskan peluang pekerjaan rakyat kita sungguhpun bukan semua rakyat kita berminat dalam bidang pekerjaan ini. Tambahan pula, banyak antara mereka juga melibatkan diri dalam perniagaan, misalnya membuka gerai makanan, menjual barang kemas, lampu hiasan, batik dan sebagainya. Keadaan ini menyebabkan ada antara mereka yang menjadi kaya-raya, berumah besar tanpa membayar cukai pendapatan. Pernah pada ketika nilai wang kita jatuh dengan teruknya, peluang pekerjaan rakyat kita juga semakin sempit. Hal ini turut menunjukkan ketidakadilan kepada rakyat kita.Jelaslah di sini bahawa, kemasukan pendatang asing tanpa izin ini sedikit sebanyak menjejaskan hak rakyat negara kita.

Negara kita amat memerlukan tenaga asing dalam pembangunan negara kita pada masa kini. Namun, kehadiran mereka telah menimbulkan banyak masalah di negara ini terutamanya dalam masalah sosial remaja. Kerajaan perlu menangani masalah ini dengan lebih serius bagi kesejahteraan bersama.

No comments: