Monday, May 25, 2009

RASUAH


TAJUK : RASUAH
DISEDIAKAN OLEH : NURHIDAYAT BIN ALI ( 6A2 )

SMK Agama Sibu, Sarawak


DEFINISI / PENGENALAN :

Perlakuan rasuah dalam erti kata memberikan sesuatu kepada orang yang berkuasa dengan harapan untuk mendapat keistimewaan sebagai balasan, sudah lama wujud dalam sejarah manusia. Isu rasuah terutama bagi negara yang sedang membangun seperti Malaysia adalah satu isu yang cukup emosional. Polemik mengenainya boleh menimbulkan pelbagai reaksi seperti marah, meluat, benci, jijik dan juga kekecewaan. Amalan rasuah yang kini menjadi budaya di sesetengah negara ada kalanya turut dianggap sebagai perkara biasa di kalangan rakyat Malaysia. Gejala negatif ini telah menjadi duri dalam daging sehingga menimbulkan implikasi buruk lain sehingga boleh memporak-perandakan masyarakat dan turut menggangu sistem pentadbiran negara.

SEBAB-SEBAB MENGAMBIL RASUAH :
Keinginan sesuatu jawatan
Akibat terlalu ingin dinaikkan ke sesuatu jawatan yang lebih tinggi dari yang disandang, penjawat jawatan secara kebiasaannya akan memberi rasuah kepada pihak-pihak yang dirasakan berpengaruh untuk mengangkatnya menjawat jawatan yang lebih tinggi daripada yang dijawatnya tersebut. Seorang perunding pembangunan dasar Dr K J.John pula berpendapat pembangunan di Malaysia juga masih terlalu didefinisikan secara matearilistik manakala budaya dan amalan penjawat awam pada masa kini mendorong kepada perlakuan rasuah.

Masyarakat yang tidak bertanggungjawab
Boleh dikatakan apa yang berlaku di Malaysia kini berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab masyarakat itu sendiri. Buktinya, masyarakat Malaysia mengamalkan budaya “ senyap” apabila pihak yang menyaksikan perbuatan rasuah enggan bersuara atau melaporkan kes rasuah yang diamalkan itu. Budaya “ senyap” yang diamalkan oleh masyarakat Malaysia menyebabkan semakin ramai pihak yang mula naik bulu untuk mengamalkan amalan rasuah dalam kehidupan.

Amalan Birokrasi dalam masyarakat
Untuk mendapatkan sesuatu perkara dari pihak-pihak tertentu di Malaysia, memerlukan pelbagai prosedur dan proses hinggalah keputusan untuk mendapatkan sesuatu itu diputuskan. Presiden Malaysian Society for Transparency and Intergrity ( TI Malaysia ), Tan Sri Ramon V. Navaratnam pada pelancaran Global CPI 2006 di Institut Intergriti Malaysia menyebut “ kerumitan dan kekaburan dalam proses kelulusan serta perlesenan oleh pelbagai pihak berkuasa tempatan dan berkanun” sebagai penyumbang kepada masalah rasuah. Hal ini telah membuktikan bahawa, birokrasi yang banyak diamalkan oleh pelbagai pihak menyebabkan masyarakat sanggup mengambil jalan mudah iaitu mengambil rasuah untuk menyelesaikan sesua

KESAN RASUAH :
Pentadbiran terganggu
Jika semua perkara terpaksa melalui sogokan, sistem pentadbiran sesuatu institusi mahupun negara akan lumpuh dengan mudah. Dari segi pembangunan negara sahaja, gejala rasuah akan menjejaskan daya saing, menghakis keyakinan pelabur dan menjejas daya saing perniagaan. Cuba kita bayangkan apabila setiap gerak laku, sama ada yang berkaitan dengan mendapatkan perkhidmatan daripada jabatan kerajaan, memenangi tender, mendapatkan kelulusan permit dan lesen perniagaan, mendirikan kilang, memenangi jawatan politik atau bermacam-macam lagi terpaksa melalui sogokan. Apa akan jadi pada negara ? adakah sistem politik kita akan stabil dan kukuh atau bertahan di awal waktu selepas mengundi sahaja ?

Maruah tercemar
Rasuah juga menggambarkan amalan berat sebelah dan ketidakadilan dalam sesebuah urusan di mana banyak pihak lain yang sebenarnya dianiaya kerana mereka mengamalkan amalan yang tidak baik. Secara tidak langsung imej sesuatu pengurusan itu turut tercemar. Jika kerajaan yang melakukan amalan yang tidak berfaedah ini, tahap kepercayaan pelabur-pelabur asing mulai akan luntur sedikit demi sedikit akibat daripada ketidak adilan pemimpin sesebuah kerajaan itu sendiri dan turut juga akan menjatuhkan maruah sesuatu pihak itu sendiri akibat pengamalan budaya rasuah dalam melicinkan pengurusan.

Meruntuhkan akhlak
Amalan rasuah ini sebenarnya hanya akan meruntuhkan lagi akhlak dan peribadi mulia seseorang insan yang telah dikaburi oleh sejumlah wang atau material. Dan wang yang mereka terima pada ketika itu akan menjadi punca kepada darah daging generasi pelaku dan penerima itu sendiri. Dr Denis Osborne menyatakan bahawa, perlakuan rasuah akan menyebabkan seseorang yang tidak berpuas hati dengan pelaku rasuah akan sanggup melakukan apa sahaja termasuk membunuh hanya kerana ketidak puas hati dengan pelaku rasuah.

Ekonomi negara tergugat
Rasuah semestinya akan menggugat kemajuan negara dari sudut ekonomi. Hal ini adalah kerana ekonomi negara atau ekonomi untuk masyarakat diuruskan oleh mereka yang tidak mempunyai ilmu dalam pengurusan ekonomi untuk menguruskan ekonomim negara. Daripada laman web rasmi pentadbiran Negara Brunei Darussalam, telah menyatakan bahawa kesan kepada terjebaknya gejala rasuah kepada negara dapat menurunkan mutu dan kualiti kerja atau produk yang dihasilkan. Dengan menurunnya mutu dan kualiti sesuat produk, ini bermakna pelabur-pelabur asing dalam sesuatu negara pasti tidak akan berminat lagi untuk melabur di negara tersebut. Bukankah ia telah merugikan negara?

LANGKAH MENGAWAL RASUAH :
Memperkasakan Badan Pencegah Rasuah
Untuk mengawal gejala rasuah menular dalam negara ini, kerajaan harus telus untuk memperkasakan Badan Pencegah Rasuah sebagai badan berkecuali yang akan mengawal menularnya gejala rasuah dalam masyarakat Malaysia. Selain itu, kesemu jawatan ahli-ahli Badan Pencegah Rasuah juga hendaklah disandang oleh mereka yang benar-benar berwibawa, benar dan bertanggungjawab.

Pelan Intergriti Nasional
Dalam Rancangan Malaysia Ke Sembilan ( 2006-2010 ), Bab 25 telah menyebut mengenai Pelan Intergriti Nasional dalam tempoh RMK-8. Pelan Intergriti Nasional yang telah dilancarkan bertujuan membentuk masyarakat yang bermoral dan beretika serta mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan tahap etika yang tinggi dan seterusnya menyahut cabaran keempat wawasan 2020. Dalam erti kata lain, pelancaran Pelan Intergriti Nasional bolehlah disamaertikan dengan pengawalan rasuah yang dinamik dan berlandaskan undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Pengawasan pergerakan kewangan
Pengawasan pergerakan kewangan seseorang boleh dikawal untuk mengelakkan menularnya gejala rasuah dalam kehidupan masyarakat hari ini. Langkah ini boleh dilakukan kerajaan sekiranya kerajaan benar-benar ingin menghapuskan rasuah dalam kalangan penjawat awam di negara ini. Ini kerana jika pengawasan pergerakan kewangan dilakukan, penjawat awam tidak akan dapat menyumbang kepada rasuah.

Tindakan undang-undang
Memetik kata-kata Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi ketika ditemubual oleh pengacara program temubual Talk Asia menerusi CNN yang telah menyatakan bahawa jika mereka yang terbabit dengan rasuah perlu untuk dihadapkan ke mahkamah, pihak bertanggungjawab akan berbuat demikian. Abdullah ternyata telah dapat membuktikan kata-katanya itu ekoran pendakwaan ke atas Pengerusi PERWAJA, Tan Sri Eric Chia dan bekas Menteri Pembangunan Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam.Dua kes itu merupakan, 12 kes rasuah yang membabitkan individu yang berprofil tinggi yang dihadapkan ke mahkamah.



2 comments:

Nor Hafizah Sabri said...

Salam..
thank you for the info.
really appreciated.

Anonymous said...

terima kasih.
sangat membantu saya menjawab ujian 1.