Monday, February 28, 2011

HARTA INTELEK

Oleh : Armila Bt Ibrahim
SMK (A) Sibu

Pembangunan harta intelek di dalam sesebuah negara akan meningkatkan lagi tahap inovasi,ekonomi dan membentuk sebuah negara berasaskan ekonomi pengetahuan.Dalam pada masa yang sama juga,kekuatan undang-undang harta intelek dalam sesebuah negara juga dikenal pasti sebagai faktor penting yang mempengaruhi pelaburan dari luar terutamanya untuk bidang perniagaan yang berasaskan pengetahuan.Perkara ini membuktikan bahawa harta intelek banyak memberi kepentingan kepada negara.

Kepentingan bidang harta intelek ini dapat menyentuh dan mempengaruhi kehidupan di setiap lapisan masyarakat.Sebagai contohnya, karya-karya berhakcipta seperti muzik dan filem yang menjadi medium hiburan kita, rekabentuk perindustrian yang merubah dunia kita, dan cap dagangan yang memberi keyakinan tentang kualiti produk dan perkhidmatan pasaran kita.Tambahan lagi, paten-paten yang ada mewujudkan rekacipta dan teknologi baru untuk keselesaan kehidupan kita. Oleh itu, bidang harta intelek dapat memberikan impak kepada kehidupan masyarakat di negara kita.

Selain itu, harta intelek merupakan hasil ciptaan daya fikiran manusia yang membawa kemajuan dan kesenangan kepada masyarakat umum. Hasil ciptaan dan penyelidikan yang praktikal dan berkesan dapat meningkatkan mutu dan mempelbagaikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.Justeru itu, langkah-langkah wajar perlu diambil untuk memberi perlindungan kepada ciptaan dan paten yang terhasil untuk menggalakkan ciptaan-ciptaan baru yang berterusan .Oleh itu, penguatkuasaan yang tegas perlu diambil untuk melindungi ciptaan-ciptaan tersebut daripada dieksploitasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Dalam pada masa yang sama, kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Malaysia, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta perlu dipertingkatkan lagi.Oleh itu,perlindungan serta pembangunan harta intelek yang baik merupakan pemangkin untuk memperkukuhkan kegiatan (R&D) di dalam negara.Oleh itu, pihak kerajaan perlu memastikan pihak yang berkenaan dapat memanfaatkan pelaburan (R&D) mereka dan meraih pulangan yang memuaskan. Dengan adanya lanskap harta intelek yang stabil dan kukuh dapat menarik lebih ramai pelabur asing ke Malaysia serta memberi ruang untuk "Technology Transfer" yang lebih cepat dan berkesan. Lanskap harta intelek yang stabil juga dapat menggalakkan lebih banyak transaksi perniagaan berlaku dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan pembangunan dan penggunaan harta intelek. Oleh itu, kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu dipergiatkan lagi supaya negara akan mendapat manfaat yang lebih banyak daripada perlindungan harta intelek.

Pada masa yang sama, sememangnya harta intelek dapat menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi negara. Di peringkat antarabangsa,terdapat beberapa cap dagangan ternama yang melambangkan kemajuan sesebuah negara. Jika disebut sesuatu jenama, maka ia terus sahaja dikaitkan dengan negara-negara tertentu. Sebagai contohnya, jenama Nokia yang mengharumkan Negara Finland, jenama Samsung dikaitkan dengan Republik Korea, sementara Sony, Matsushita, dan Toyota di antara jenama lain yang membanggakan Negara Jepun di peringkat antarabangsa. Di Malaysia seperti PETRONAS dan SELANGOR PEWTER telah memperkenalkan Malaysia ke seluruh dunia. Oleh itu, kita perlu yakin bahawa pembangunan harta intelek di Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk menghasilkan jenama tempatan yang mampu bersaing di arena antarabangsa.

Justeru, semua lapisan masyarakat perlulah bijak dalam menjaga dan melindungi harta intelek negara supaya harta intelek dapat dijadikan sebagai sumber kebanggaan dan warisan negara di masa akan datang. Oleh itu, peranan dan perhatian pihak yang terlibat amat diperlukan pada masa kini dan masa-masa yang akan datang bagi memastikan kewujudan harta intelek tidak pupus di telan zaman.

1 comment:

rashid.abuabas said...

tqvm atas info amat berguan..saya meminati blog ini....
http://rashidliar.blogspot.com