Tuesday, May 10, 2011

Perubahan Iklim

Sumber : http://www.konsumerkini.net.my
KESAN PERUBAHAN IKLIM DAN BANJIR KEPADA PENGGUNA
 
Pada 16 Februari 2011, ahli sains telah membentangkan dua buah jurnal sains yang membuktikan bahawa perlakuan manusia mempunyai kaitan dengan kejadian banjir dan perubahan iklim. Laporan tersebut mengatakan bahawa pemanasan global dan perubahan iklim akan menyumbang kepada peningkatan sebanyak 20 peratus kejadian banjir yang berlaku di seluruh dunia.

Berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh nstitut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), perubahan iklim telah menyebabkan corak hujan di Malaysia berubah. Di bahagian tengah dan selatan Semenanjung Malaysia, lebih banyak hujan akan turun dan tertumpu pada kawasan-kawasan tertentu sahaja, berbanding kepada pada masa dahulu yang tersebar luas di seluruh kawasan. Salah satu contoh adalah hujan lebat dan banjir besar yang berlaku di Johor pada akhir tahun 2006. Catatan hujan yang turun di Johor Bahru mencapai 289mm dalam masa sehari sahaja, iaitu catatan jumlah isipadu hujan yang turun di Johor Bahru iaitu 2400mm setahun.

Terdapat banyak sebab yang menyumbang kepada peningkatan kejadian banjir di Malaysia.
Kebanyakan sebab-sebab ini berpunca daripada perubahan iklim dan projek-projek mitigasi banjir yang kurang berkesan. Fenomena La Nina yang kerap kali berlaku semenjak beberapa tahun kebelakangan ini telah membawa lebih banyak hujan ke negara ini. Hujan yang turun sangat lebat dalam masa yang singkat dan tertumpu kepada satu-satu kawasan. Keadaan ini telah menyebabkan sistem perparitan yang sedia ada tidak dapat menampung isipadu air hujan yang tinggi. Sungai-sungai tidak dapat menampung air hujan tersebut sehingga melimpah, dan akhirnya banjir berlaku. Selain itu, sampah sarap juga dibuang ke dalam sungai oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah menyebabkan sungai tercemar dan tersekat.

Menurut kajian Jabatan Meteorologi Malaysia, corak cuaca sekarang memang sukar untuk diramalkan. Punca utama berlakunya banjir adalah disebabkan oleh cuaca. Namun, kesannya telah jelas dapat dilihat di hadapan mata. Pada awal bulan ini kejadian banjir besar telah melanda hampir keseluruhan bahagian di bahagian selatan Semenanjung Malaysia.

Hujan lebat yang berpanjangan telah menyebabkan sungai-sungai di kawasan tersebut melimpah dan menyebabkan banjir berlaku. Kawasan yang paling teruk terjejas adalah Johor yang menyebabkan hampir 40,000 penduduk terpaksa berpindah ke pusat permindahan banjir sementara. Banjir ini juga mengingatkan mimpi ngeri penduduk Johor yang dilanda banjir besar pada tahun 2006/2007. Mujurnya, banjir besar 2006/2007 telah mengajar penduduk-penduduk tersebut untuk lebih berwaspada terhadap banjir besar. Oleh itu kerugian yang dialami semasa banjir besar awal bulan ini tidaklah teruk sangat.

Kesan banjir besar awal bulan ini amat dirasai kerana ia berlaku semasa sambutan perayaan Tahun Baru Cina. Ramai yang ingin balik kampung di bahagian selatan Semenanjung Malaysia terpaksa membatalkan rancangan mereka kerana landasan kereta api dan jalan raya telah ditenggelami air.

Selain itu, harga barangan juga naik disebabkan bekalan yang tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan di pasaran. Salah satu contoh lagi ialah banjir besar yang berlaku di Pantai Timur Australia. Banjir besar tersebut telah menyebabkan tapak penggalian arang batu tertutup dan menyebabkan kerosakan hingga berbilion dollar Amerika. Bencana alam yang berlaku di negara maju tersebut turut menunjukkan bahawa bencana yang berkait rapat dengan iklim ini boleh berlaku di mana-mana sahaja, tanpa mengira status negara tersebut.

Sebagai salah negara yang mengimpot arang batu daripada Australia, Malaysia terpaksa mencari negara yang lain untuk membekalkan arang batu untuk keperluan penjanaan tenaga negara. Ini menyebabkan kos penghasilan tenaga meningkat.

Untuk mengatasi isu banjir ini , peranan kerajaan amat penting. Projek Mitigasi Banjir di kawasan ”hotspot” banjir yang telah dirancang seharusnya disiapkan dalam masa yang paling singkat. Selain itu, maklumat-maklumat semasa berlaku banjir besar amatlah diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir dan agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab. Sistem penyebaran maklumat ini haruslah dipastikan supaya tidak tergendala semasa berlakunya banjir. Sistem amaran banjir sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga perlu dilaksanakan dan disiapkan pada masa yang ditetapkan.

Kedua ialah peranan pengguna. Salah satu tanggungjawab pengguna adalah tanggungjawab terhadap alam sekitar. Pengguna harus menjaga kebersihan sungai kerana ia merupakan sistem perparitan semula jadi dan membekalkan air minuman. Sampah yang dibuang ke dalam sungai hanya akan menyebabkannya pencemaran dan boleh menyebabkan masalah tersumbat. Apabila ia tersumbat, ia akan hilang fungsinya dan menyebabkan banjir. Di samping itu, pengguna juga seharusnya berani memberi kritikan yang membina dan membuat aduan kepada pihak yang berkuasa apabila mendapati tiada apa-apa usaha yang dijalankan bagi mengatasi banjir ini.

Ketiga adalah peranan pihak swasta. Pihak swasta terutamanya syarikat pembekal air hendaklah memainkan peranan yang lebih aktif dalam rancangan pencegahan banjir kerana mereka merupakan pakar dalam bidang ini. Selain itu, mereka juga harus memastikan air minuman yang bersih masih dapat dibekalkan kepada penduduk-penduduk apabila berlakunya kejadian banjir.

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia



       

No comments: