Thursday, July 7, 2011

PELANCONGAN KESIHATAN : Artikel daripada Utusan Online

Malaysia tempat ke-3 Pelancongan Kesihatan

SUBANG 22 Jun - Malaysia berada di kedudukan ketiga selepas India dan China dalam industri pelancongan kesihatan bagi tahun ini menurut kaji selidik A.T. Kearney Global Services Location Index (GSLI).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kedudukan tersebut berdasarkan pengurusan kewangan, kemahiran pekerja dan persekitaran perniagaan yang baik di kebanyakan hospital.

"Kita menyasarkan lebih daripada 1,000 ujian dijalankan di bawah Kajian Klinikal Malaysia (CRM) bagi menarik lebih ramai pelabur dalam industri berkenaan menjelang 2020.

"Walaupun kita masih baru dalam bidang ini, namun tahun lalu lebih 1,000 kakitangan hospital termasuk doktor dan jururawat mempunyai kelayakan Kemahiran Klinikal Cemerlang (GCP)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan CRM 2011 sempena Persidangan Kebangsaan Kajian Klinikal kali kelima di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman dan Pengarah CRM 2011, Dr. Goh Pik Pin.

Jelas Tiong Lai, sebanyak sembilan hospital awam akan dijadikan Pusat Kajian Terbaik (CoRE) bagi melatih kakitangan hospital dalam pelbagai bidang untuk menggiatkan lagi industri tersebut.

Beliau berkata, hospital terlibat ialah Hospital Sarawak, Hospital Queen Elizabeth di Sabah, Hospital Tengku Bainun di Perak, Hospital Pulau Pinang, Hospital Serdang, Selayang dan Ampang di Selangor manakala di Wilayah Persekutuan adalah Hospital Putrajaya dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dalam pada itu, beliau turut bimbang mengenai kegiatan tidak bertanggungjawab beberapa klinik swasta yang memberi pengesahan kesihatan kepada segelintir pemandu kenderaan awam dan perdagangan tanpa perlu menjalani pemeriksaan doktor.

"Sekiranya pemandu kenderaan awam tidak menjalani pemeriksaan kesihatan, mereka tidak boleh mendapat sebarang sijil pengesahan kesihatan dari klinik kerana bimbang akan membahayakan keselamatan orang ramai," katanya.

Ini kerana katanya, kemungkinan pemandu kenderaan awam di negara ini mempunyai penyakit kronik seperti mempunyai masalah penglihatan, menghidap sawan atau menagih dadah.

Tiong Lai berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu sebelum membuat sebarang keputusan dan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.

No comments: