Cadang stok penimbal ayam
KUALA LUMPUR 21 Mac – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan membawa cadangan penubuhan Program Stok Penimbal Ayam ke Kabinet bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan daging itu selepas musim perayaan.
Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, menerusi program itu, lebihan bekalan ayam akan dibeli, diproses dan kemudiannya disimpan dalam keadaan sejuk beku untuk kegunaan apabila berlakunya kekurangan bekalan.
‘‘Saya akan bawa perkara ini ke Kabinet secepat mungkin. Kami juga telah membuka tawaran projek kepada mana-mana syarikat yang berminat untuk terlibat di dalam program ini.
‘‘Kementerian akan membantu dari segi penyediaan kemudahan prasarana dan juga pinjaman bagi memastikan program ini berjalan lancar sekali gus mengatasi kekurangan bekalan serta kenaikan harga ayam seperti dihadapi ketika ini,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kenaikan harga ayam di peringkat ladang yang mencecah RM4.91 sekilogram telah memaksa peniaga menaikkan harga di pasaran runcit sekali ganda berbanding sebelum ini.
Bagaimanapun menurut Noh, pengguna tidak perlu risau kerana harga ayam dijangka kembali stabil sekitar April ini apabila ayam yang mula diternak selepas Tahun Baru Cina sudah boleh dijual.
Katanya, kenaikan harga ayam berlaku berikutan perayaan Tahun Baru Cina dan cuti sekolah yang begitu hampir yang mana permintaan ayam pada kedua-dua waktu berkenaan sangat tinggi.
‘‘Ia menyebabkan permintaan daging haiwan itu melebihi penawaran. Perkara ini di luar jangkaan kami.
‘‘Bagaimanapun pengguna tidak perlu risau kerana kami yakin masalah tersebut tidak akan kekal lama dan harga ayam dijangka kembali stabil menjelang bulan depan,’’ jelasnya.
No comments:
Post a Comment