Saturday, March 19, 2011

PLKN : Apakah Manfaatnya?

Oleh : Nurul Huda Binti Zayadi
SMK Agama Sibu



‘Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Begitulah ungkapan indah yang mendukung seribu satu makna bagi warga Malaysia. Belia-beliawanis negara tidak lagi dianggap sebagai budak hingusan, tetapi sebagai jentera pemangkin kemajuan dan pemodenan negara dalam menyahut cabaran globalisasi. Justeru, pendidikan kebangsaan telah beranjak ke paradigma baru yang berorientasikan pendidikan daripada segala aspek, baik aspek fizikal, mental, emosi ataupun rohani. Malahan, pihak kerajaan juga telah melancarkan satu program baharu pada tahun 2004 iaitu, Program Latihan Khidmat Negara(PLKN) yang merangkumi skop yang lebih meluas dalam melahirkan remaja yang berwawasan serta berdisiplin. Program ini juga bukan sahaja mampu mendisiplinkan para remaja malahan memberi impak yang besar dalam meningkatkan lagi semangat patriotisme terhadap negara ke dalam diri mereka.


Seperti yang kita sedia maklum, program latihan khidmat Negara(PLKN) memberi kesan yang mendalam terhadap diri seseorang yang menyertainya. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang program berlangsung bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup remaja yang pada amnya menuntut kesabaran, disiplin dan komitmen remaja itu sendiri dalam memastikan sesuatu aktiviti itu berjalan lancar. Dalam aktiviti kawad kaki misalnya, nilai kepatuhan terhadap masa dan arahan amat dititikberatkan. Kita didisiplinkan agar mematuhi arahan pemimpin yang menerajui pucuk pimpinan sesuatu pasukan iaitu ketua bagi setiap platun, ketua company ataupun ketua keseluruhan bagi wira dan juga wirawati. Kita juga sedar akan kebenaran peribahasa ‘bersatu teguh, bercerai roboh’ dalam konteks yang lebih mendalam dan bermakna. PLKN juga mendisiplinkan para remaja melalui aktiviti perkhemahan di dalam hutan. Dalam aktiviti ini, masa adalah sangat berharga dan sikap kepekaaan amatlah dituntut. Ringkasnya, program PLKN dapat melahirkan remaja yang berwawasan dan berdisiplin kerana ianya dapar memotivasikan serta mendisiplinkan remaja itu sendiri.

Selain itu, PLKN juga berperanan mengasah bakat kepimpinan remaja melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Skop pelaksanaan PLKN merangkumi tiga aspek penting iaitu, modul pembinaan karakter, program integrasi serta khidmat komuniti. Melalui aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan menerusi skop-skop ini, bakat kepimpinan akan disemai dan dibajai untuk melahirkan bakal-bakal pemimpin negara bagi menerajui tanpuk pemerintahan negara dan membawa bangsa Malaysia kea rah pembangunan mapan. Hal ini dapat dilaksanakan melalui setiap aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang program berlangsung yang menawarkan pelbagai jawatan dan peluang untuk para remaja mencuba sesuatu yang baru. Jawatan seperti ketua wira dan ketua wirawati misalnya lebih cenderung ke arah menentukan hala tuju sesebuah pasukan dan memimpin ahli-ahlinya kea rah kecemerlangan sahsiah dan etika yang tinggi. Dalam proses mengendalikan sesuatu aktiviti atau projek, para remaja akan belajar secara tidak langsung melalui kesilapan mereka. Langkah-langkah memajukan diri akan diambil agar kesilapan sama tidak akan berulang. Natijahnya, para remaja akan sentiasa menjalankan evaluasi untuk menguji kepimpinan diri dan seterusnya mengorak langkah kea rah pembentukan generasi baru yang progresif dan professional.

Program PLKN juga dapat menjadi wahana perpaduan dalam kalangan remaja ysng berbilang bangsa di negara kita. Semangat muhibah, bertolak-ansur dan bekerjasama sememangnya amat penting dalam melicinkan sesuatu aktiviti atau projek. Ahli-ahli pasukan haruslah saling memahami dan menghormati antara satu 
sama lain agar tidak menimbulkan perselisihan faham atau menimbulkan masalah yang berkaitan dengan sensitiviti kaum kerana secara umumnya, setiap pasukan akan dianggotai oleh remaja yang berbeza latar-belakang mahupun pegangan agamanya sebagai salah satu indikator penting kerajaan dalam melahirkan masyarakat makmuk yang harmoni serta hidup bersatu-padu di bawah satu bumbung. Justeru, konteks yang sama dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian dalam erti kata Malaysia. Bunga-bunga perpaduan yang mekar di hati rakyat Malaysia pasti akan menimbulkan bibit-bibit kemesraan masyarakat dan seterusnya menjana kea rah pembentukan adiwangsa yang unggul dan utopia. Tuntasnya, program PLKN dapat membantu kea rah melahirkan remaja yang berwawasan secara tidak langsung rentetan wujudnya semangat perpaduan yang utuh dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Bukan itu sahaja, program PLKN juga dapat menjamin kesihatan fizikal dan mental para remaja ke arah melahirkan modul insane yang berwawasan dan berdisiplin. Hal ini kerana, program PLKN sememangnya adalah bertunjangkan aktiviti fizikal dan mental yang mencabar. Impaknya, kesihatan fizikal para remaja adalah seiring dengan kesihatan mental mahupun emosi mereka. Kesan jangka panjang akan lahirlah masyarakat yang penyayang, ceria dan prodoktif. Contohnya, aktiviti-aktiviti lasak seperti larian berhalangan dan flying fox yzng sering dijalankan amat mencabar dan menyeronokkan di samping melatih keyakinan diri para remaja. Maka jelaslah bahawa program PLKN mampu melahirkan remaja yang berwawasan dan berdisiplin berlandaskan peribahasa ‘badan sihat, otak cergas’.


Kesimpulannya, PLKN dapat menyemaikan semangat patriotik dan cinta akan negara dalam kalangan remaja. Dengan itu, akan lahirlah masyarakat yang berdisiplin, bersemangat waja dan bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran dan dugaan pada masa hadapan yang berlandaskan prinsip-prinsip serta norma-norma hidup yang disemai sepanjang tempoh menjalani Program Latihan Khidmat Negara.

No comments: