Monday, March 21, 2011

Bandar Teknologi Hijau

Lima teras Melaka menjadi bandar teknologi hijau

Dipetik dari Utusan Malaysia


MELAKA 9 Mac – Kerajaan negeri telah menggariskan lima Teras Strategik Pelan Induk Teknologi Hijau ke arah mencapai sasaran negeri bandar teknologi hijau menjelang tahun 2020.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, lima teras tersebut adalah mengukuhkan kerangka institusi, menyediakan persekitaran pembangunan teknologi hijau yang kondusif dan memperkukuh pembangunan modal insan.
Menurutnya, teras lain yang turut diberi penekanan ialah menggiat penyelidikan dan inovasi teknologi hijau serta promosi dan kesedaran awam.
”Setelah mencapai status negeri maju pada 2010, kerajaan telah menetapkan sasaran negeri ini ke arah negeri bandar teknologi hijau pada 2020.
”Bagi tujuan tersebut kita akan meneruskan pencapaian 32 indikator negeri maju, menyediakan blue print negeri bandar teknologi hijau dan menyediakan indikator-indikator yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggal Keempat hari kedua di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Mohd. Ali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Baru menjawab soalan Betty Chew Gek Cheng (DAP-Kota Laksamana) mengenai usaha yang diambil oleh kerajaan negeri untuk menjadikan negeri Melaka negeri hijau.
Mengulas lanjut beliau berkata, sebanyak 16 sasaran telah ditetapkan untuk mencapai negeri bandar teknologi hijau menjelang tahun 2020.
Antara yang diberikan keutamaan katanya ialah penerapan teknologi hijau dalam budaya rakyat di negeri ini, peningkatan aplikasi dalam sektor ekonomi, mendapatkan pelaburan asing dan tempatan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan teknologi hijau.
”Selain itu, semua institusi pengajian tinggi (IPT) akan bekerjasama untuk mengembangkan penyelidikan, pembangunan dan aktiviti inovasi teknologi hijau ke arah pengkomersialan,” ujarnya.
Menjawab soalan Datuk Abdul Wahab Abdul Latip (BN-Durian Tunggal) mengenai sasaran penurunan gas hijau yang ingin dicapai Mohd. Ali berkata, kerajaan mensasarkan pengurangan sebanyak 40 peratus kadar pengeluaran 2005.
Beliau menambah, pada masa kini pengeluaran karbon dioksida per kapita negeri ialah 6.7 peratus dan ia jauh lebih rendah berbanding beberapa negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) seperti New Zealand (8.5 peratus), Jepun (9.7 peratus) dan Korea (10.1 peratus).
Bagi soalan Datuk Ir. Ismail Othman (BN-Kuala Linggi) berkaitan pembangunan fizikal dan spiritual pula beliau berkata, kerajaan negeri akan meneruskan pembangunan berimbang.
”Pembangunan spiritual akan terus diberikan tumpuan di samping pembangunan fizikal kerana kedua-dua perkara tersebut tidak boleh dipisahkan,” katanya.

No comments: