Tuesday, November 25, 2008

Nota Bahagian A : IKLAN

BAHAGIAN A
BY:NURFARAHIN BT SALEHIN

TAJUK ISU:IKLAN

Pengenalan:
Iklan adalah pemangkin yang penting dalam memaju dan menjayakan sesuatu urus niaga.Pengusaha akan memperuntukkan sejumlah besar perbelanjaan bagi tujuan promosi produk mereka.Tetapi dari sudut yang lain pengiklanan mempunyai kelemahan tersendiri dan banyak yang mempengaruhi pengurusan kewangan pengguna.Justeru itu,pelbagai langkah perlu diambil bagi mengawal industri pengiklanan ini.

a.Impak baik:

1.Iklan berperanan sebagai alat penyebar maklumat atau informasi kepada para pengguna.
Melalui alat sebaran ini kita dapat mengetahui kewujudan sesuatu produk baharu dalam pasaran.Iklan yang baik dapat mendidik para pengguna tentang cara menggunakan sesuatu barangan dan langkah keselamatan yang perlu diambil apabila menggunakan sesuatu produk.

2. Membawa unsur-unsur pendidikan kepada masyarakat.
Kementerian penerangan telah memperketatkan siaran iklan di media elektronik.Pihak berkuasa telah melarang penyiaran iklan-iklan yang bertentangan dengan budaya masyarakat kita.Oleh hal yang demikian banyak iklan yang disiarkan di kaca televisyen telah memaparkan nilai-nilai murni.Contohnya soal integrasi kaum,nilai kasih sayang,menghormati warga tua, mempunyai cita-cita dan aspirasi yang tinggi untuk mencapai kejayaan maka,jelaslah kepada kita bahawa iklan dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam jiwa pengguna .

3.Penting kepada pengusaha
Iklan membantu pengusaha memasarkan barangan mereka.Selain itu,dapat menjimatkan kos,wang dan tenaga.Menghubungkan masyarakat pengguna dengan barangan.Iklan juga membolehkan pengusaha menghadapi persaingan di pasar,contohnya seperti dalam perniagaan,perdagangan dan sebagainya.Di samping itu boleh menonjolkan keistimewaan sesuatu barangan itu.
4.Iklan sesuatu kempen yang penting
Iklan ialah sesuatu mesej yang dapat disebarkan dengan mudah dan meluas.Iklan yang kreatif dapat menarik perhatian orang ramai.Sebagai contohnya,iklan tentang kebaikan susu ibu dan kempen keselamatan jalan raya seperti yang sering disiarkan dalam televisyen.Iklan ini juga dapat mendidik rakyat umum.

b.Impak buruk:
1.Iklan yang disiarkan mengeksploitasi tubuh wanita untuk melaraskan produk.
Pihak tidak bertanggungjawab memaparkan tubuh wanita yang memakai pakaian yang mencolok mata serta dalam keadaan yang mengghairahkan.Fenomena ini bukan sahaja menjatuhkan maruah wanita malah boleh menyebabkan keruntuhan akhlak di kalangan pelajar.Akibatnya,budaya timur tercemar.Pihak-pihak tersebut hanya mementingkan keuntungan semata-mata sehingga sanggup mengorbankan nilai-nilai budaya masyarakat kita.Oleh itu,pihak berkuasa perlu menapis iklan-iklan yang disiarkan agar tidak mendatangkan kesan-kesan negatif kepada masyarakat.

2.Syarikat penyiaran menyiarkan pelbagai jenis makanan ringan
Penyiaran iklan makanan ringan membawa kesan negatif kepada masyarakat terutama golongan kanak-kanak yang masih mentah.Dengan ini iklan dapat mendorong golongan ini untuk membeli makanan tersebut sebagaimana yang kita sedia maklum makanan ringan bukan sahaja tidak berkhasiat malah memudaratkan kesihatan.Oleh sebab itu saya ingin mencadangkan agar kementerian penerangan melarang penyiaran iklan makanan ringan ini.

3.Mencemarkan budaya
Iklan yang tidak baik akan menyebabkan nilai murni masyarakat mungkin terhakis.Iklan seperti mempromosikan barangan kosmetik memupuk sikapmengutamakan kecantikan luaran sahaja.Terdapat juga iklan yang menyebabkan kita boros berbelanja seperti iklan promosi barangan perabot yang menawarkan harga yang rendah dan menyebabkan orang ramai tertarik untuk membelinya.

4.Iklan mengandungi maklumat palsu.
Banyak maklumat-maklumat palsu yang telah dimuatkan dalam iklan kerana segalanya adalah penipuan belaka.Contohnya seperti mengiklankan tentang Skim Cepat Kaya dalam iklan untuk mempengaruhi orang ramai.Dengan itu,pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut akan memperolehi keuntungan dan orang ramai mengalami kerugian.Selain itu,keistimewaan sesuatu produk dilebih-lebihkan seperti produk yang kita sering lihat dalam televisyen tanpa kita ketahui kesan-kesan penggunaannya.


c.Cadangan iklan yang baik

1.Memperkenal kod iklan yang baru.
Kerajaan telah memperkenal kod iklan baru bagi komersial televisyen dan radio mula 1 Oktober 1990.Di antara inti pati kod itu ialah larangan pemaparan cara hidup barat sama ada menerusi model berwajah ‘Pan Asia’(kacukan Barat dan Asia)mahupun situasi gambaran,lokasi,gaya hidup yang tidak bersesuaian seperti bercumpuan antara dua orang dewasa,berlatar belakang disko,kelab malam dan sebagainya.Tujuannya menggantikan semua iklan berunsurkan kebaratan dan menghapuskan kerakusan pihak pengiklan mengekploitasikan wajah ‘Pan Asia’.Di samping,menimbulkan semangat kemalaysiaan di dalam jiwa setiap individu.

2.Iklan komersial perlu dapat kelulusan
Semua iklan komersial perlu mendapat kelulusan Kementerian Penerangan berdasarkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan serta jenis media yang digunakan sebelum ia boleh disiarkan.Arahan ini dimulakan pada awal bulan Ogos 1996.Tujuannya adalah membendung penipuan melalui iklan serta melindungi pengguna daripada taktik kotor peniaga.Dengan adanya peraturan baru ini,Kementerian Penerangan bertanggungjawab mengawal setiap iklan berkaitan dan mengambil tindakan jika iklan itu tidak mematuhi peraturan mengikut akta atau undang-undang masing-masing.

3.Pertubuhan Majlis Pengiklanan Negara
Bagi mengawasi pelaksanaan dasar dan penguatkuasaan aktanya memberi garis panduan kepada pendidikan pengiklanan dan mewajibkan industri pengiklanan meyumbang ke arah gaya hidup yang sihat.Menubuhkan suatu badan khas bagi mengawal iklan kanak-kanak.Adalah penting memandangkan jumlah iklan yang menggunakan kanak-kanak meningkat.

4.Menggubal undang-undang pengiklanan lebih ketat
Undang-undang baru akan menggabungkan pelbagai peraturan serta akta yang ketika ini dikuatkuasakan secara bersaing iaitu Akta Perihal Dagangan 1972 oleh Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Akta Penyiaran oleh Kementerian Penerangan.Kerana Undang-undang sekarang tidak mencukupi bagi menjamin hak pengguna menyebabkan ramai yang tertipu dengan iklan berkenaan.Selain itu,ia dilakukan ekoran iklan jualan langsung melalui pos dan televisyen sejak akhir-akhir ini.Kecenderungan yang amat ketara sehingga mewujudkan budaya baru.

No comments: