Wednesday, March 16, 2011

Klon -- Penyelamat binatang terancam?







Klon -- Penyelamat binatang terancam?



MAMPUKAH kaedah pengklonan mengatasi masalah kepupusan binatang di muka bumi ini? Kajian-kajian yang pernah dilakukan di negara barat mendapati kaedah ini mempunyai potensi walaupun ia menemui beberapa kegagalan.

Kematian bebiri Dolly yang merupakan binatang pertama yang diklon mengugat sedikit sebanyak keyakinan terhadap kemampuan teknik pengklonan meneruskan kelangsungan binatang-binatang yang terancam.

Bagaimanapun baru-baru ini dua ekor lembu liar daripada spesies Banteng berjaya dilahirkan di Iowa, Amerika Syarikat hasil teknik pengklonan.

Salah satu daripada anak lembu jantan itu mempunyai berat badan dua kali lebih daripada apa yang dijangkakan.

Kejayaan ini memberi harapan bahawa teknik pengklonan kacukan silang ini mampu mengatasi masalah kepupusan lebih 100 spesies.

Di samping itu kejayaan ini juga memberi harapan untuk menambahkan lagi kepelbagaian genetik bagi meningkatkan populasi binatang.

Jika berjaya hidup dengan selamat, binatang-binatang ini akan dibawa ke Taman Hidupan Liar San Diego untuk dibiakkan lagi.

Banteng adalah antara binatang yang diancam kepupusan. Bilangannya kini kurang daripada 8,000 ekor dan kebanyakannya terdapat di Pulau Jawa, Indonesia.

Walaupun teknologi yang digunakan masih diselubungi dengan pelbagai masalah, saintis sebenarnya sangat kagum dengan kejayaan ini. Ini diakui oleh pakar genetik di Pusat Reproduksi Spesies Terancam di Zoo San Diego, Oliver Ryder.

Pada tahun 1977, pihak zoo telah pun memulakan usaha mengawet bahan-bahan genetik daripada beratus-ratus binatang di bawah program ‘Zoo Beku’ atau Frozen Zoo. Kesemua sampel tisu daripada setiap binatang dibekukan dalam cecair nitrogen.

“Ketika itu, kami tidak tahu bagaimana sumber-sumber ini boleh digunakan, tetapi kami tahu ia sangat penting untuk menyelamatkan spesies-spesies terancam,’’ kata Ryder.

Sel kulit beku Banteng yang telah lama disimpan ini di hantar ke sebuah syarikat pengklonan - Advanced Cell Technology di Masschusects untuk proses pengklonan seterusnya.

Sebenarnya, ini bukan merupakan uji kaji keadah pengklonan kacukan silang yang pertama.

Dua tahun lalu, seekor lembu telah melahirkan anak lembu yang diklonkan daripada sejenis kerbau liar dan dinamakan Noah. Noah bagaimanapun mati dua hari selepas itu.

Usaha pengklonan binatang ini sebenarnya ditentang hebat oleh aktivis hak binatang. Mereka mendakwa pengklonan binatang tidak harus dilakukan kerana ia dianggap zalim kerana hasil binatang yang diklonkan itu tidak dapat bertahan lama dan selalunya mempunyai tahap kesihatan yang sangat rendah seperti apa yang dialami oleh bebiri Dolly.

Dolly terpaksa ‘dimati’ pada Februari lalu kerana penyakit paru-paru. Dolly terpaksa dimatikan ketika usianya enam tahun sedangkan bebiri itu dijangka mampu hidup sehingga 12 tahun.
Selain itu, saintis di China juga kini sedang menjalankan kajian untuk menjadikan arnab sebagai ibu tumpang bagi mengklonkan panda.

Dijangkakan panda yang dihasilkan menerusi penyelidikan ini hanya akan mempunyai saiz sebesar sebuku mentega.

No comments: