Saturday, March 19, 2011

PLKN : Kebaikan & Kelemahan

Oleh : Mohs. Shafiq bin Amri
SMK Agama Sibu


Program Latihan Khidmat Negara dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia sejak tahun 2004. Kandungan program ini terbahagi kepada dua komponen, iaitu 30% latrihan ala tentera dan 70% kemasyarakatan.Program ini menggunakan acuan sendiri yang disesuaikan dengan sosial budaya dan ekonomi.

Kebaikan
Program Latihan Khidmat Negara membantu membina ketahanan mental dan fizikal yang kukuh dalam kalangan remaja.Dalam tempoh tiga bulan latihan tersebut, pelbagai aktiviti berkumpulan seperti mendaki bukit, berkhemah, latihan lasak dan sebagainya dijalankan.Aktiviti-aktiviti ini dapat mempertingkatkan kekuatan mental dan fizikal remaja yang mengikuti program ini. Aktiviti terancang ini turut membantu membina semangat dan keyakinan mereka dalam menghadapi cabaran hidup.

Selain itu,Program Latihan Khidmat Nagara memainkan peranan penting dalam mewujudkan integrasi nasional. Kesemua aktiviti program itu memberi peluang kepada peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar kehidupan untuk saling berinteraksi. Sepanjang tempoh latihan tersebut, peserta dilatih bergatong-royong,bermuafakat,bertoleransi dan lain-lain. Oleh yang demikian, perpaduan kaum mudah tercapai khususnya dinegara yang berbilang kaum ini.

Kelemahan
Walau bagaimanapun,pelaksanaan Program Khidmat Negara ini turut menimbulkan beberapa masalah. Pertama, program ini melibatkan kos yang amat tinggi. Kerajaan terpaksa membelanjakan tidak kurang daripada RM500 juta setiap tahun untuk menjayakan program ini. Kos ini diperlukan untuk menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur seperti tempat penginapan, makan minum, rawatan perubatan, pengangkutan, kelengkapan dan peralatan,bayaran elaun jurulatih dan lain-lain.

Di samping itu, pihak kerajaan juga harus menangani masalah teknikal seperti terdapat remaja yang mengingkari program latihan tersebut. Sehingga kini, tidak kurang daripada 4300 remaja yang tidak melapor diri untuk mengikuti program tersebut. Pihak kerajaan terpaksa berusaha mengesan dan mendakwa mereka di mahkamah. hal ini membazirkan masa dan kos. Sebaiknya duit tersebut digunakan untuk kepentingan rakyat. Bahkan, terdapat juga sesetengah ibu bapa yang kurang memahami hasrat murni pihak kerajaan ini. Sebaliknya, mereka hanya memandang remeh Program Khidmat Negara yang pihak kerajaan anjurkan ini.
Sebenarnya Program Latihan Khidmat Negara ini banyak membantu dalam pembangunan masyarakat. Bukan sahaja kepada diri remaja bahkan kepada masyarakat mahupun negara.Justeru itu, penglibatan semua pihak tidak mengira bangsa, kaum mahupun agama amatlah perlu untuk mencapai cita-cita murni kerajaan ini. 

No comments: