Saturday, March 19, 2011

Penyeludupan Haiwan Liar


Masalah rasuah punca penyeludupan hidupan liar

ARKIB : 23/06/2010



KOTA KINABALU 22 Jun - Masalah rasuah dikenal pasti menjadi antara punca utama menyebabkan penyeludupan hidupan liar eksotik masih terus berlaku di negeri ini.


Menteri Kebudayaan Pelancongan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun berkata, gejala rasuah yang menjadi budaya sesetengah ahli masyarakat menyebabkan kesukaran menangani penyeludupan haiwan liar berkenaan.


"Jadi bagaimana kuat peraturan kita dan bagaimana kuat pegawai-pegawai kita (melakukan operasi) apabila ini (gejala rasuah) masih menjadi sebahagian budaya kita, terus terang saya katakan agak sukar mengatasi masalah penyeludupan ini," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian seminar jaringan inisiatif Heart of Borneo di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Laurintus Ambu; Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supritendan Rowel Marung dan penyelaras seminar, Claire Beastall.


Menurut Masidi, gejala rasuah yang dianggap biasa dalam kehidupan seharian oleh sesetengah pihak pada masa ini menyebabkan usaha mengatasi masalah penyeludupan haiwan eksotik terus menghadapi jalan buntu.


Katanya, ditambah pula dengan kecanggihan teknologi kini menyebabkan masalah penyeludupan haiwan eksotik itu terus berlaku.


"Manusia nampaknya lebih pintar dalam konotasi yang negatif sekarang di mana dia boleh melepasi kastam, imigresen dan sebagainya tanpa kita ketahui dengan membawa satu bagasi yang berisi barangan seludup.


"Malah perkhidmatan penghantaran kini juga menyebabkan mereka boleh memastikan penghantaran binatang di dalam kotak bertahan dan sampai ke destinasinya," katanya.


Sementara itu Masidi berkata, dalam usaha mengatasi masalah ini pihak kerajaan sentiasa mengambil tindakan proaktif dan berterusan melibatkan semua pihak berkuasa terbabit.


"Pertama yang harus kita buat ialah memastikan tidak ada pemburuan yang dibenarkan di kawasan-kawasan yang ditegah.


"Kedua ialah kita harus meningkatkan kemahiran penguatkuasaan dan bagaimana kita boleh mengenali cara-cara dan kaedah penyeludupan yang terbaru," ujarnya.

No comments: